PN menggesa umat Islam di seluruh negara mengadakan solat hajat serentak pada jam 8 malam ini, bagi memohon keadilan untuk ketua whip mereka, Takiyuddin Hassan, yang bakal berdepan usul penggantungan daripada parlimen.
Walaupun belum ada pengesahan bila atau sama ada usul itu akan dibentangkan, usul tersebut turut mendapat kecaman keras daripada ahli-ahli parlimen PN yang tampil pada sidang media di parlimen hari ini sebagai tanda solidariti terhadap setiausaha agung PAS itu.
“Jam 8 malam ini kita nak buat solat hajat serentak seluruh negara untuk minta pengadilan terhadap kes yang berlaku ini.
"Kita tidak ada tempat lain kecuali kita memohon kepada Allah,” kata Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengemukakan usul supaya Takiyuddin digantung enam bulan berhubung kenyataannya mengenai insiden Masjid Rusila pada September lalu.
Usul tersebut disenaraikan sebagai urusan ke-8 hari ini, selepas bacaan kedua enam rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Anti-Buli 2025 yang sedang dibentangkan.
Bagaimanapun, sehingga usul itu dibahas dan diluluskan, tiada tindakan boleh diambil terhadap ahli parlimen Kota Bharu itu.
Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyuarakan kebimbangan bahawa Takiyuddin berdepan nasib serupa dengannya.

“Apa yang akan berlaku kepada YB Kota Bharu adalah benda yang sama yang terjadi kepada saya tahun lepas.
"Saya digantung enam bulan kerana kerajaan sewaktu itu ingin luluskan penswastaan MAHB…
"Mungkin kalau saya tidak digantung, kerajaan tidak dapat luluskan. Jadi saya nampak ada satu muslihat di situ…
"Apa yang berlaku di sini adalah kegagalan demokrasi di Malaysia,” tegasnya.

Ketua pembangkang Hamzah Zainuddin pula menyifatkan tindakan tersebut sebagai “penindasan majoriti” (tyranny of the majority) dan cerminan kerajaan yang bertindak demi kepentingan sendiri.
Dia turut mempersoalkan sama ada tindakan itu bertujuan membungkam pengkritik serta mencerminkan kegagalan kerajaan menunaikan janji reformasi yang dilaungkan.
“Yang saya marah hari ini adalah kerana - kenapa mesti dibawa ketua whip utk digantung selama 6 bulan?
"Masyaallah, takut sangat dengan ketua whip ke? Kalau kerajaan benar-benar melakukan sesuatu yang reformasi, tidak patut macam ini,” katanya.

Mempertikaikan asas usul Saifuddin, dia mengingatkan isu itu sebenarnya telah “diselesaikan” antara kedua-dua pihak apabila Takiyuddin dan menteri berkenaan mencapai kata putus dalam Dewan pada 30 Okt.
Hamzah juga mengingatkan bahawa kenyataan awal Takiyuddin hanya menyentuh SOP latihan ketenteraan, tanpa niat menimbulkan ketakutan atau kontroversi.
Sementara itu, Takiyuddin sendiri berkata dia berada dalam kedudukan yang tidak adil, seolah-olah berdepan “double jeopardy” (dihukum dua kali untuk kesalahan sama).
Dia berkata pada 27 Okt, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (PH) turut mengusulkan supaya dia dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tindakan disiplin susulan kenyataan Masjid Rusila.

Namun, katanya, sehingga hari ini dia masih menunggu perkembangan lanjut.
“Sehingga kini belum ada keputusan lagi mengenai usul Pulai, kenapa terus nak digantung?”
"Apa muslihat dan motif mereka untuk gantung saya daripada parlimen?
"Kita tahu kerajaan ada majoriti… Jadi niatnya (usul ini) memang nak gantung saya,” katanya.
Pada 22 Okt, Takiyuddin mendakwa APMM telah menjalankan latihan di Masjid Rusila pada 19 Sept, dan membandingkan tindakan itu dengan insiden Memali 1985, ketika polis cuba menangkap pemimpin PAS, Ibrahim Mahmood.
Sebagai maklum balas, Saifuddin menyifatkan kenyataan itu sebagai “mengelirukan”, selain menjejaskan kredibiliti APMM dan mencemar reputasinya.
