SPRM membuka kertas siasatan terhadap peguam Mahajoth Singh atas dakwaan dia enggan bekerjasama selepas dikenal pasti sebagai saksi yang dikehendaki membantu siasatan terhadap dakwaan yang dibuat oleh anak guamnya Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pegawai penyiasatnya telah mengambil semua langkah yang perlu, mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard, dalam memanggil Mahajoth untuk disoal siasat.
Kata Azam, ini termasuk memberikan notis kepada peguam itu yang mengarahkannya hadir di ibu pejabat SPRM untuk direkodkan kenyataannya, yang menurut Azam, peguam itu telah berbuat demikian pada 2 Dis.
Tambah Azam, meski hadir di ibu pejabat SPRM, peguam itu enggan bekerjasama dalam memberikan kenyataannya atau menyerahkan eksibit yang diminta, yang mendorong mereka untuk merujuk perkara ini kepada timbalan pendakwa raya untuk diteliti.
“Pendakwa raya, pada pandangan mereka, (melihat) Mahajoth bukanlah seorang peguam yang mempunyai maklumat sulit atau tidak sulit yang perlu dilindungi tetapi sebaliknya, dia (dilihat sebagai saksi) yang perlu bekerjasama, untuk membantu siasatan kami.
“Di bawah Seksyen 30 Akta SPRM 2009, jelas bahawa dia perlu hadir untuk memberikan kenyataannya. Ia adalah satu kemestian,” katanya dalam sidang media hari ini.
Azam juga maklum beberapa reaksi yang diterima berhubung tindakan memanggil Mahajoth, termasuk daripada Majlis Peguam yang mendakwa SPRM telah melanggar Seksyen 46 Akta tersebut.

Dakwaan sedemikian, kata Azam, tidak berasas kerana Seksyen 30(1) dan Seksyen 30(2) telah “jelas” memberi mereka kuasa untuk memanggil peguam untuk disoal siasat.
“Undang-undang tidak mengecualikan mana-mana peguam mahupun profesion lain (daripada dipanggil untuk memberi kenyataan).
“Seksyen 46 adalah berkaitan dengan komunikasi keistimewaan anak guam-peguam, yang mana SPRM tidak pernah meminta atau menuntut maklumat sulit sedemikian.
“(Tetapi) apa yang diminta adalah bukti dan maklumat dalam simpanannya sebagai individu yang mempunyai maklumat penting yang berkaitan dengan siasatan (yang sedang dijalankan),” katanya.
Prinsip undang-undang adalah jelas, kata Azam, iaitu keistimewaan tidak melindungi individu daripada kewajipan untuk hadir apabila dipanggil oleh pihak berkuasa, dan ia tidak melindungi dokumen atau bahan kes yang bukan sebahagian daripada nasihat undang-undang.
Peguam Mahajoth, Zaid Malek, memberitahu Malaysiakini pada 1 Dis bahawa mereka telah hadir di ibu pejabat SPRM, seperti yang diminta.
Namun, katanya, tiada soal siasat dijalankan kerana mereka telah menyampaikan surat kepada SPRM mengenai keistimewaan peguam-anak guam, yang menurut Zaid, enggan diiktiraf oleh SPRM.
“Kami mengatakan (dalam surat itu) bahawa notis yang mereka sampaikan kepada Mahajoth (pada 30 Nov) adalah tidak sah, ia menyalahi undang-undang kerana notis itu cuba memaksanya untuk mendedahkan maklumat istimewa yang (SPRM) tidak boleh lakukan.
“Saya telah menyampaikan surat itu kepada mereka dan meminta mereka untuk mengakuinya. Mereka enggan mengakui surat itu (jadi) saya berhenti, menjelaskan surat itu (sekali lagi), dan kami beredar. Kami tidak nampak ada gunanya berbincang, kerana mereka enggan mengakui surat itu,” katanya.
Pegawai SPRM telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM kepada Mahajoth pada 30 November yang meminta kehadirannya dan mendapatkan dokumen tertentu serta telefon bimbit.
Mahajoth, dalam satu kenyataan pada 1 Disember, berkata dia menerima notis ini di bawah bantahan keras dan akan menghadiri soal siasat di ibu pejabat SPRM di bawah bantahan yang sama.
SPRM menyerbu kediaman Tei di Puchong pada 28 November, dengan pegawai yang memakai jaket kalis peluru dan balaclava menahan ahli perniagaan itu.
Serbuan dan penangkapan itu susulan tuduhan Tei baru-baru ini terhadap bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin.
Tei mendakwa telah membelanjakan RM629,000 ke atas Shamsul selepas diyakinkan bahawa ahli politik PKR itu boleh membantu mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Selain membiayai pengubahsuaian, peralatan dan perabot untuk dua hartanah, Tei mendakwa dia telah membelanjakan ribuan ringgit untuk cerut premium dan sut yang dijahit khas untuk Shamsul, yang juga didakwa meminta wang daripada ahli perniagaan itu semasa melancong ke luar negara.
Tei dan Shamsul dijadualkan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok untuk menghadapi empat pertuduhan, setiap seorang.
