Polis sekali lagi memanggil Fahmi Reza, dengan aktivis serta pereka grafik itu kini disiasat berhubung satu pelekat yang dipaparkan ketika siaran langsung TikTok “Kelas Demokrasi”.
Menurut satu notis daripada polis, pihak berkuasa semalam menerima satu laporan terhadap Fahmi, susulan itu satu siasatan dibuka bawah Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan manakala Seksyen 505(c) melibatkan kenyataan, khabar angin atau laporan yang disebarkan dengan niat menghasut kesalahan terhadap pihak lain.
Seksyen 233 AKM pula melibatkan penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian.
Notis yang dikongsi Fahmi di Facebook hari ini turut mengarahkan artis satira itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada jam 2 petang esok bagi tujuan merakam kenyataan berhubung kes berkenaan.
Fahmi turut diarahkan membawa bersama sebarang dokumen atau bahan yang berkaitan kes tersebut, yang bertumpu kepada pelekat seekor tikus coklat memakai kot dan tali leher dengan huruf PM tertera pada pakaiannya.
“Kegagalan mematuhi notis ini boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Seksyen 174 Kanun Keseksaan,” menurut notis itu, merujuk kesalahan ingkar arahan penjawat awam untuk hadir ke tempat dan waktu ditetapkan.
Bulan lalu, Fahmi dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung siaran langsung TikTok “Kelas Demokrasi” yang diadakannya menjelang pilihan raya negeri Sabah.
Pada waktu itu, Fahmi berkata dia akan disiasat berhubung satu video tertentu yang menerangkan bagaimana pengundi secara teori boleh mengundi untuk menyingkirkan gabenor Sabah ketika itu, Musa Aman.
Tahun lalu, aktivis itu ditahan dan disiasat atas dakwaan hasutan selepas mempamerkan lukisan karikatur gabenor Sabah, menggambarkannya sebagai “Perasuah Nombor Satu Sabah”.
Pada 29 Mei tahun ini, Fahmi tidak dibenarkan memasuki Sabah dan dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Dia masih lagi disenaraihitamkan daripada memasuki negeri itu.
Pada Jun, dia juga tersilap dihalang daripada meninggalkan negara — sesuatu yang kemudian dijelaskan Jabatan Imigresen sebagai “kekeliruan”, kerana sekatan perjalanannya hanya terpakai di Sabah.
Sejak itu, Fahmi memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa, menuntut ganti rugi berhubung perkara tersebut.
