Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berharap rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dapat dibentangkan esok, hari terakhir sesi Dewan Rakyat bagi tahun ini.
"Ia RUU Persendirian. Saya tak menaruh harapan tinggi.
“Namun, cadangan pindaan ini diharap boleh menjadi titik permulaan bagi kementerian berkaitan,” katanya.
Katanya, menteri berkaitan boleh menggunakan draf yang dirangkanya bersama beberapa wakil rakyat di Kuala Lumpur sebagai permulaan dalam usaha mereformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, menteri mempunyai pasukan peguam dan penasihat undang-undang yang lebih arif.
"Saya pernah berada dalam kerajaan sebelum ini, dan memang kadangkala untuk menyediakan draf undang-undang memerlukan proses yang panjang.
"Namun, kami telah bekerjasama dengan beberapa pasukan untuk menyediakan cadangan yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dan kami berharap ia dapat dibentangkan esok," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 20 November, sekumpulan ahli parlimen Kuala Lumpur daripada blok kerajaan mengemukakan RUU Persendirian itu.
Nik Nazmi, yang juga bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam, berkata pindaan tersebut dibuat susulan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Ogos lalu.
Semak-imbang keputusan Datuk Bandar
Katanya, DBKL beroperasi dengan perbelanjaan mencecah RM2.835 bilion pada 2025–hampir menyamai negeri Selangor dan lebih tinggi daripada Johor–namun kuasa membuat keputusan tertumpu kepada Datuk Bandar yang dilantik kerajaan, dengan mekanisme semak-imbang terhad.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata pendekatan yang diambil mereka adalah tindakan konstruktif dan bukan sekadar mengkritik tanpa cadangan.
"Kami telah menyediakan RUU sendiri, dan jika ada kelemahan, ia boleh diperbaiki melalui perbincangan. Masa ini adalah tepat untuk Kuala Lumpur," katanya.
Dia turut berkata bahawa sebanyak tujuh ahli parlimen menyokong RUU tersebut.
"Kami di Kuala Lumpur mempunyai sebelas ahli parlimen, sepuluh daripadanya daripada Pakatan Harapan.
"Walaupun beberapa ahli parlimen memegang jawatan dalam jemaah menteri, dan ahli parlimen Bandar Tun Razak (Wan Azizah Wan Ismail) merupakan isteri perdana menteri, kami berjaya mendapatkan sokongan tujuh ahli parlimen.
