Catatan editor: Nama individu yang ditemu bual telah ditukar bagi melindungi identitinya.
Bagi Mike (bukan nama sebenar), seorang perunding muda, 28 Nov bermula seperti hari biasa.
Mengharapkan malam Jumaat yang tenang, dia teruja apabila menemui satu iklan di platform media sosial menawarkan akses RM35 bagi sekali masuk ke sebuah gim di Kuala Lumpur, lengkap dengan pelbagai kemudahan kesihatan yang lazimnya jauh lebih mahal. Sebagai peminat kecergasan yang gemar mencari tawaran berbaloi, iklan itu terus menarik perhatiannya.
Apa yang disangka sebagai tawaran mudah itu, tanpa diduga, akhirnya mengubah seluruh hidupnya. Malam itu, polis melancarkan serbuan mengejut ke pusat berkenaan, mendakwa ia menjadi lokasi perhimpunan lelaki gay yang melakukan aktiviti seksual.
Polis berkata serbuan itu tercetus hasil maklumat awam dan dua minggu pemantauan. Nama operasi itu Ops Songsang.
Mike menegaskan dia seorang lelaki straight (heteroseksual, tertarik kepada wanita) dan “nasib malang”nya hanyalah berada di lokasi tersebut pada waktu yang salah.
“Saya lelaki straight, kini terpaksa menanggung akibat hanya kerana berada di dalam pusat kesihatan berlesen, uruskan hal sendiri, makan biskut di kafe.
“Saya pergi gim, masuk bilik sauna. Lepas tu rasa panas, saya pergi ke kafe dan saya memakai tuala, mestilah. Itu bukan bogel. Lelaki bertuala dalam pusat kesihatan khusus lelaki. Tapi dalam video diviralkan, mereka kata bogel, bogel.
“Ada satu video tanpa tapisan yang tunjuk lelaki bogel sebab dia di dalam jakuzi. Jakuzi. Takkan nak pakai tuala? Macam mana nak tutup diri dalam jakuzi? Tak masuk akal, kan? Malangnya bila lelaki itu bangun dari jakuzi, polis sudah pun merakam,” kata Mike ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.
Permulaan masalah
Mike berkata igauan buruk itu bermula selepas itu. Menurutnya, polis mula mengasingkan orang Islam dan bukan Islam serta mengenal pasti penjawat awam — yang didakwanya menerima soalan dan layanan yang menjatuhkan maruah.
Sebelum beratur, dia sempat menyelinap masuk ke tandas dengan telefonnya yang disembunyikan dalam seluar dalam, lalu menghantar mesej ringkas kepada keluarga memberitahu dia akan pulang lewat. Dia tidak memaklumkan telah ditahan kerana menyangka akan dibebaskan tidak lama lagi - namun harapannya itu musnah sama sekali.
“Saya sepatutnya makan malam dengan keluarga malam tu.
“Mereka rampas telefon kami. Semua telefon dan IC dalam satu bakul — semua dirampas.
“Jadi sehari kami tak balik rumah,” katanya, mendakwa ramai ahli keluarga tahanan — termasuk ibu bapanya — terpaksa membuat laporan orang hilang.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan tindakan polis menyerbu kelab kesihatan yang dikatakan terlibat aktiviti hubungan sesama jenis itu.
Saifuddin mendakwa serbuan yang menahan lebih 200 individu itu tidak melanggar privasi mereka.
"Privasi kalau seorang diri di rumah, ini premis awam dengan 201 orang, privasi apa lagi...
“Itu perbuatan tak bermoral, tak boleh dipertahankan oleh mana-mana agama," katanya,” katanya.
‘Cina boleh cepat keluar’
Semasa ditahan, Mike berkata dia bertanya kepada seorang anggota polis bila dia boleh pulang.
Anggota itu kemudian didakwa berkata: "Tak apa kamu Cina, kamu boleh cepat keluar."”
Berdasarkan apa yang diberitahu polis, Mike berasa yakin bahawa insiden itu yang disangkanya hanya satu salah faham -akan segera berakhir.
Namun pada 29 Nov, semuanya berubah.
“Selepas semua prosedur siap, sekitar pukul 2 hingga 3 petang, saya tanya pegawai bila boleh balik. Dia jawab: ‘Tak boleh balik. Kami nak lokapkan awak dan kami nak reman awak’,” dakwa Mike.
Disangka gay, ditanya soalan lucah
Ketika dipanggil memberi kenyataan, Mike berkata dia terkejut dan jijik dengan soalan “teramat tidak wajar” yang ditanya pegawai penyiasat.
Mike mendakwa dia ditanya soalan peribadi bersifat seksual secara terperinci, termasuk sama ada dia melakukan hubungan seks di kelab itu, posisi yang digunakan atau jika berlaku seks oral atau anal.
Soalan menjadi semakin berbaur lucah, katanya, apabila dia ditanya di mana dia “memancutkan air mani” — termasuk sama ada di mulut atau muka.
Paling mengejutkan, Mike mendakwa dia disuruh meniru bunyi seksual selepas memberitahu pegawai bahawa dia mendengar suara atau bunyi tertentu. Dia mendakwa pegawai bertanya bagaimana dia tahu bunyi itu bersifat seksual dan Mike menjelaskan bahawa dia hanya terdengar suara dan tidak pasti maknanya.
Pegawai lelaki itu kemudian didakwa menyuruh Mike “buat semula bunyi itu”.
“Saya tak faham kenapa. Macam mana ini membantu siasatan? Kenapa mereka nak saya mengerang?” soalnya.
Pada 1 Dis, Timbalan Ketua Pemuda PSM, Muhammad Aiman Mohd Sees mendakwa pihaknya dimaklumkan tentang dakwaan kekerasan polis dan hak asasi tahanan diabaikan.
Namun, Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam menafikan dakwaan itu ketika dihubungi.
Serbuan tanpa dakwa
Malaysiakini melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan 171 suspek kemudian dibebaskan selepas pihak berkuasa gagal mendapatkan perintah reman.
Katanya, permohonan reman ditolak kerana dikemukakan lewat — sesuatu yang dikaitkan dengan jumlah tahanan terlalu ramai — dan polis tidak dapat meneruskan siasatan bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan kerana tiada bukti kukuh.
Seksyen 377 merujuk kepada pelbagai kesalahan berkaitan hubungan seks luar tabii manakala Seksyen 372 pula merujuk kesalahan pelacuran.

Katanya tiada seorang pun tahanan mengaku menjadi mangsa eksploitasi, pelacuran atau seks luar tabii — menyebabkan tiada pertuduhan boleh dibuat.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Azani Omar sebelum ini berkata daripada lebih 200 yang ditahan, 80 beragama Islam dan selebihnya warga Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.
Trauma sepanjang hayat
Mike berkata kejadian itu meninggalkan kesan mendalam sehingga dia mempertimbangkan kaunseling kesihatan mental dan kini berdepan kesukaran berada di tempat awam selepas apa yang disifatkannya sebagai “40 jam trauma”.
Di rumah, hubungan dengan ibu bapa dan adik-beradiknya menjadi renggang.
“Ibu saya sekarang terlalu kerap periksa saya, dan nampak curiga setiap kali saya keluar.
“Saya rasa adik-beradik tengok saya macam tertanya-tanya dalam hati: ‘Kenapa abang aku macam ni?’
“Imajinasi bukan bukti. Persepsi telah seret saya ke lumpur dan menjejaskan hidup saya dan semua yang lain,” katanya.
