Selepas diarahkan untuk hadir bagi sesi siasatan buat kali ke-20, aktivis Fahmi Reza sekali lagi menjadikan arahan itu sebagai satira dengan mendakwa ia adalah “hubungan jangka panjangnya” dengan polis.
Dia juga melampirkan karikatur yang menunjukan dirinya sedang dilamun percintaan dengan seorang pegawai polis.
“Aku ada date lagi dengan polis jam 2 petang nanti! Ini dah masuk kali ke-20.
“Relationship kami sangat konsisten… dia panggil, aku datang,” tulisnya di Facebook.
Pereka grafik itu terkenal dengan karikatur satira yang menyentap sensitiviti tokoh politik, termasuk wajah Najib Razak yang diubahnya menjadi badut.
Fahmi turut mengimbas semula “kenalan pertama” dengan polis pada 2004, ketika Abdullah Ahmad Badawi adalah perdana menteri.
“Kali pertama kami jumpa tahun 2004 kat Pudu Jail... aku muda lagi masa tu.
“Kali terakhir minggu lepas kat Bukit Aman, tempat biasa kami lepaskan rindu,” katanya sambil menggambarkan ibu pejabat polis itu seolah-olah lokasi nostalgia bagi dua kekasih lama.
Dia turut menyindir bahawa IPD Dang Wangi tetap menjadi lokasi “dating” kegemaran mereka.
“Selalunya kami dating kat Dang Wangi je, sebab dekat, dan polis tak payah susah-susah kejar aku jauh-jauh,” katanya.
Namun untuk “temu janji” petang ini, Fahmi mengaku sedikit gementar.
“Tapi hari ni dia ajak pergi port baharu kat Klang. Nervous juga. Wish me luck geng!” tulisnya.
Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa Fahmi diarahkan hadir ke IPD Klang Utara berhubung pelekat yang ditunjukkan dalam siaran langsung TikTok “Kelas Demokrasi”.
Aduan itu mencetuskan siasatan di bawah Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kes itu melibatkan pelekat tikus coklat berbaju suit bertanda “PM”.
Bagaimanapun Pemuda DAP tidak senang dengan “hubungan erat” polis-Fahmi itu, sambil mengingatkan pihak berkuasa bahawa era menekan pengkritik sudah berakhir.
“Kerajaan Madani seharusnya terus menjanakan harapan dalam kalangan rakyat dengan membezakan kerajaan kini dengan rejim dahulu, iaitu menghormati kebebasan perbezaan pendapat dan bukannya menutup mulut penyindir,” kata ketuanya Woo Kah Leong.
Woo berkata keputusan PRN Sabah membuktikan rakyat adalah penentu mutlak, dan agensi seperti polis tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya seperti dahulu kerana ia menjejaskan imej kerajaan.
“Kerajaan harus menggerakkan segala usaha untuk mereformasikan institusi demi meyakinkan rakyat, bukannya membiarkan agensi di bawah kelolaan untuk terus menjerumuskan keadaan.
“Hentikan segala intimidasi terhadap sesiapa pengkritik biarpun penyindir. Jangan lupa kesemua mereka pernah bersama dengan kami bila sebagai pembangkang. Standard yang sama harus digunapakaikan tidak kiranya sebagai kerajaan atau pembangkang.
“Rakyat khususnya penyokong tegar PH sedang menilai,” katanya.
