Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini menangguhkan usul untuk menggantung Takiyuddin Hassan susulan kenyataan Ketua Whip PN itu yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan peristiwa Memali.

Keputusan itu dibuat selepas perbahasan hangat dan pertikaman lidah di antara ahli parlimen kerajaan dengan pembangkang yang berhujah mengapa Takiyuddin harus dikenakan tindakan melalui proses pengundian di Dewan Rakyat atau dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata kerajaan bersetuju untuk menangguhkan usul terhadap Takiyuddin pada sesi Dewan Rakyat akan datang selepas meneliti semua hujah yang dikemukakan semasa perbahasan.

“…namun begitu, Tan Sri (Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul), kami faham, dan selepas mendengar semua hujah serta menimbang segala perkara yang dibentangkan, bagi pihak kerajaan, saya memohon agar usul ini ditangguhkan dan dibawa ke sesi akan datang. Terima kasih,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat, hari ini

Menurut usul yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan memohon Dewan Rakyat menggantung Takiyuddin (PN–Kota Bharu) selama enam bulan.

Usul itu menyatakan, Takiyuddin membandingkan insiden melibatkan APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dengan peristiwa berdarah Memali pada 1985, dan mendakwa ia percubaan menakut-nakutkan rakyat.

Ia juga mencadangkan supaya Takiyuddin digantung daripada sidang Dewan Rakyat dan jawatankuasa pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul diluluskan.

Takiyuddin mengeluarkan kenyataan itu ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada 22 Okt lalu.

Usul itu menerima tentangan keras daripada PN termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin serta Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee (Beluran) dan Radzi Jidin (Putrajaya).

Antara lain, mereka membangkitkan isu bahawa Saifuddin tidak sepatutnya membawa usul itu sebagai cadangan kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3).

Ahli-ahli parlimen PN juga menggesa agar perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang menurut mereka akan memberi peluang kepada Takiyuddin untuk membela diri, bukannya dihukum melalui proses pengundian “kezaliman majoriti”.

Semasa membahaskan usul itu Takiyuddin - yang juga Setiausaha Agung PAS - berkata sepatutnya ia dibawa ke jawatankuasa tersebut terlebih dulu bagi membolehkan laporan dibuat dan diteliti oleh semua ahli parlimen.

“Ia akan memperincikan apa yang berlaku di sana (dalam jawatankuasa). Kemudian ahli-ahli dewan boleh mengundi.

“Jadi saya minta dihantar ke sana dahulu, biar jawatankuasa mendengar saya (membela diri) dan hantar laporan mereka ke sini, kemudian (anda boleh) panggil untuk undi sama ada mahu menggantung saya atau tidak, itu yang saya minta,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen dari blok kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Mereka termasuk Syahredzan Johan (PH–Bangi) yang berhujah bahawa kenyataan Takiyuddin itu telah mencemarkan imej APMM dan setiap orang harus bertanggungjawab atas kenyataan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS