Presiden Upko, Ewon Benedick, menepis tanggapan dia memperdaya pengundi dan sebaliknya menegaskan bahawa agenda 'Sabah First' parti itu tidak diabaikan, meski Upko memainkan peranan dalam membentuk kerajaan negeri yang merangkumi parti-parti kebangsaan.
Ewon mengundang kecaman selepas mengisytiharkan sokongan Upko terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus, yang diketuai oleh Ketua Menteri Hajiji Noor. Gabungan itu terdiri daripada GRS, BN, Pakatan Harapan (PH) dan Upko.
Pengkritik berkata langkah itu bercanggah dengan seruan Upko untuk barisan politik berpangakalan di Sabah, mesej yang telah menjadi sandaran parti itu sepanjang kempen.
Kini, Upko mendapati dirinya berkongsi kuasa dengan bekas sekutunya, PH dan BN, yang sebelum ini ditinggalkan parti itu susulan kontroversi berhubung hak hasil 40 peratus Sabah.
Ewon, yang mengangkat sumpah sebagai timbalan ketua menteri, berkata dia faham sebab sesetengah rakyat Sabah berasa tidak senang.
Namun dia menegaskan bahawa pendirian Sabah First adalah untuk mengejar hak hasil 40 peratus Sabah yang telah lama dijanjikan dan hak perlembagaan negeri yang lebih luas, yang Ewon percaya masih boleh dicapai dalam kerajaan perpaduan Sabah yang baru.
Dia juga berkata orang ramai harus menilai dirinya bukan berdasarkan kemarahan waktu selepas pilihan raya, tetapi berdasarkan hasil kitaran politik seterusnya.
“Serahkan kepada rakyat tentang kepimpinan saya selepas lima tahun.
“Saya serahkan kepada tafsiran anda (pengundi). Sabah First saya adalah untuk mengejar hak 40 peratus dan Sabah.
“Tetapi kerajaan telah dibentuk… Kini kebijaksanaan ada pada ketua menteri. Ia kini sebuah kerajaan perpaduan dan saya mahu terus ke hadapan.
“Kita boleh mengejar 40 peratus dalam kerajaan perpaduan,” tambahnya, merujuk kepada perintah Mahkamah Tinggi agar kerajaan menyelesaikan ‘tahun-tahun yang hilang’ dalam tempoh 180 hari.
Dalam kempen pilihan raya, Ewon berulang kali memberi amaran bahawa Sabah berisiko kehilangan pengaruh ke atas hak 40 peratus jika pemimpin parti kebangsaan dilantik dalam kerajaan negeri, atau pemimpin yang “merujuk kepada presiden parti mereka di seberang laut”.
Dia berhujah ini akan memperlahankan rundingan dan melemahkan kekuatan tawar-menawar Sabah.
Ewon sebelum ini, meletak jawatan daripada kabinet persekutuan sebagai tanda protes selepas meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi dan hujah Jabatan Peguam Negara, yang dia percaya bercanggah dengan jaminan perlembagaan Sabah.
Dia kemudian menarik Upko keluar dari PH.
Ewon menegaskan walaupun Upko kini bekerjasama dengan parti-parti nasional dalam kerajaan semasa, kedudukan politik Sabah kini lebih kukuh berbanding sebelum ini.
“Kita mesti faham bahawa majoriti komponen dalam kerajaan Sabah adalah parti-parti tempatan.
“Parti-parti nasional hanya mempunyai dua menteri. Dalam erti kata lain, kami (parti-parti tempatan) adalah majoriti dari segi membuat keputusan. Dan ia jauh lebih baik daripada kerajaan sebelumnya dari segi komposisi,” katanya.
Adun PKR Jamawi Jaafar kini Menteri Pertanian Sabah, manakala Adun Umno Jafry Ariffin ialah Menteri Pelancongan.
Ewon, yang juga merupakan Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, percaya bahawa dominasi parti tempatan memberi ruang yang cukup kepada Sabah untuk berunding secara tegas mengenai isu-isu yang telah lama berlarutan seperti pelaksanaan hak 40 peratus di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Dia juga merujuk kepada pengalamannya dalam kabinet persekutuan bahawa perbincangan untuk menyelesaikan hak hasil 40 peratus akan diperkukuhkan.
“Datang dari Upko, setelah berkhidmat di peringkat persekutuan, saya telah melihat dan mungkin mempunyai sedikit pengetahuan tentang bagaimana kerajaan persekutuan melihat isu (hak) 40 peratus.
“Dan saya percaya tempoh tiga tahun saya sebagai menteri persekutuan dapat membantu kerajaan negeri untuk bertegas apabila berbincang dengan kerajaan persekutuan mengenai perkara ini,” katanya.
Ewon juga mengalu-alukan keputusan untuk meletakkan portfolio pengangkutan di bawah kementeriannya, menyifatkannya sebagai penyelesaian yang telah lama tertangguh kepada salah satu cabaran besar yang menjejaskan ekonomi Sabah.
Dia berkata pengeksport dan industri kecil negeri telah lama bergelut dengan logistik, daripada memindahkan bahan mentah ke Sabah hinggalah penghantaran barang siap keluar dari taman perindustriannya.
Memusatkan pengangkutan, pelabuhan dan agensi berkaitan di bawah satu kementerian, menurutnya, akan membantu menyelesaikan kesesakan dan memberi pelabur Sabah laluan yang lebih lancar.
Dia menggelarkan penstrukturan semula itu sebagai “anjakan ketara”, yang menyelaraskan dasar pengangkutan dengan lebih dekat dengan pembangunan perindustrian.
Penyelarasan dengan badan pengangkutan dan pelesenan persekutuan, tambahnya, akan diteruskan di bawah peranannya sebagai ahli majlis eksekutif pengangkutan negeri.
