Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayer desak Kula segera siasat kes tembak di Melaka
Diterbitkan:  Dec 4, 2025 9:46 PM
Dikemaskini: 2:18 PM

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, menggesa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran untuk segera menyiasat dakwaan bahawa polis melakukan pembunuhan di luar proses undang-undang terhadap tiga suspek perompak di Melaka.

Ahli Parlimen DAP itu mendesak Kulasegaran - yang juga mewakili DAP - agar “segera menyiasat kes itu sampai ke akar umbi."

“Kes ini melibatkan penggunaan kekerasan maut yang menyebabkan tiga kematian dan ia mesti ditangani dengan tahap keseriusan tertinggi,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Rayer turut menggesa Kulasegaran memastikan agar seorang koroner menjalankan siasatan penuh mengikut undang-undang bagi menentukan punca dan keadaan sebenar kematian ketiga-tiga lelaki terbabit.

“Keluarga mangsa dan orang ramai berhak mengetahui kebenaran — apa yang berlaku, bagaimana ia berlaku, dan sama ada penggunaan kekerasan itu wajar atau tidak,” katanya.

Rayer juga menuntut Ketua Polis Negara Khalid Ismail mengarahkan pegawai yang terlibat dalam kejadian untuk bercuti sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan inkues dijalankan.

“Ini penting untuk menjaga integriti siasatan dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis,” katanya.

Dia turut menggesa kerajaan mewajibkan semua anggota polis memakai kamera badan ketika operasi dan menegaskan bahawa ia bukan lagi suatu pilihan.

“Sekarang ini menjadi satu keperluan melindungi orang awam dan anggota yang mematuhi undang-undang, memastikan ketelusan, dan mengelakkan pertikaian fakta pada masa depan.

“Seruan ini bukan untuk menghukum seluruh pasukan polis. Ia untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, menjamin keadilan kepada keluarga, dan menjaga kepercayaan rakyat terhadap institusi kita.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan. Keluarga berhak mendapat keadilan. Dan keadilan bukan saja perlu ditegakkan, tetapi perlu dilihat ditegakkan,” katanya.

Semalam, isteri salah seorang daripada tiga suspek terbabit mendedahkan satu rakaman audio yang didakwa mengandungi maklumat bercanggah dengan versi rasmi polis.

Sebelum ini polis mendakwa anggota mereka mengalami kecederaan parah apabila diserang oleh suspek di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov lalu.

Peguam keluarga, Rajesh Nagarajan, menggesa pegawai polis yang terlibat dalam insiden itu didakwa atas tuduhan membunuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS