ULASAN SUKAN | Malaysia ada sejarah bola sepak yang gemilang dirantau ini. Skuad Malaysia pernah layak ke Olimpik 1972 di Munich .
Untuk layak ke Munich kita menumbangkan jaguh Asia seperti Korea Selatan, Jepun selain daripada pasukan Filipina dan Taiwan.
Semasa di Munich kita kurang bernasib baik apabila gagal melepasi cabaran peringkat kumpulan. Bagaimanapun Malaysia berjaya menewaskan AS melalui jaringan oleh Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Zawawi Yusoff.
Namun perlawanan lain kita tunduk 0-3 kepada Jerman Barat 3-0 dan 0-6 di tangan Maghribi.
Pada masa sama pemain kebangsaan dapat menimba pengalaman berguna apabila berhadapan dengan pemain hebat dunia seperti Uli Hoenes dan Ottmar Hitzfeld dari Jerman Barat.
Kita sekali lagi ke Olimpik kira-kira lapan tahun kemudian melalui garapan ketua jurulatih kebangsaan, Karl Heinz Weigang, yang mengadun pemain hebat seperti R Arumugam, Jamal Nasir Ismail, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Shukor Salleh, Bakri Ibni, Khalid Ali, Hassan Sani, James Wong dan Abdullah Ali.
Untuk bersedia menghadapi laluan sukar Weigang melaksanakan latihan ala tentera di Kem Sungai Udang Melaka.
Perlawanan menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka pada 6 April 1980 adalah detik keramat apabila Malaysia secara rasmi – dan merit - layak ke Olimpik di Moscow, Russia.

Peristiwa bersejarah itu disaksikan kira-kira 50,000 penonton yang membanjiri Stadium Merdeka.
Satu aspek yang menarik ketika itu ialah hubungan para pemain Malaysia pada masa ibarat adik-beradik walaupun berlainan bangsa dan agama.
Kita tidak pergi ke Olimpik pada masa itu kerana memboikot Russia. Bagi mengubati duka, pemain Malaysia dibawa melawat ke Eropah dan Brazil.
Pencarian bakat yang mantap
Apa yang hendak saya katakan di sini ialah, sebenarnya kita tidak perlu pun pemain-pemain dari luar untuk mengharumkan nama negara.
Pembabitan pemain import hanya sesuai untuk saingan di peringkat kelab bagi menyediakan persekitaran yang sihat buat anak tempatan.
Ketika era liga semipro pada 1980-an membawa ke awal 1990-an ranking skuad negara pernah berada di tangga ke-75. Pada masa itu saingan liga tempatan mengehadkan hanya empat pemain import dibenarkan bagi sesebuah pasukan.
Kemudian berlakukan skandal rasuah pada 1994 yang membawa kepada memusnahkan bola sepak negara.
Pemain import hanya sesuai untuk pasukan kelab, bukan untuk skuad kebangsaan.
Kita boleh lihat kelab-kelab liga Inggeris, Itali dan Jerman – bahkan Jepun dan Korea Selatan – yang mempunyai ramai pemain import, tetapi tetap tidak kemaruk menjadikan mereka pemain naturalisasi atau mencari ‘pemain warisan’ di entah ceruk mana dunia.

Pada masa sama mereka ada projek pencarian bakat dan pembangunan bola sepak yang mantap. Untuk skuad kebangsaan, mereka tetap mengutamakan pemain sendiri sehingga ia dapat membentuk identiti negara.
Ya, mungkin ada pemain naturalisasi seperti yang Portugal dan Sepanyol lakukan, tetapi pemain yang dipanggil mestilah betul-betul berkualiti dan mengatasi kemampuan pemain tempatan.
Pemilihan juga dibuat dengan penuh teliti dah hanya seorang dua saja dipanggil, bukannya bukan hampir lengkap satu pasukan.
Itulah datangnya Deco dari Brazil yang mewakili Portugal, manakala Diego Costa – juga kelahiran Brazil – bermain untuk Sepanyol. Tetapi lihatlah kualiti yang mereka pamerkan.
Kita pernah cuba bangkit melalui program seperti Mencari Ramli dan projek Harimau Muda. Hasilnya kita berjaya memenangi Piala AFF pada 2010.
Jauh meninggalkan kita
Antara nama yang dilahirkan dari projek tersebut ialah Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Safiq Rahim, Gurusamy, S Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha, Saffee Sali dan Chanturu Suppiah.
Dengan R Rajagobal sebagai jurulatih, skuad negara juga menjuarai Sukan SEA 2009 dan 2011.

Malangnya rentetan kemenangan itu tidak dilanjutkan dengan sebaiknya. Kita sibuk dengan projek naturalisasi dan cuba mencari pemain-pemain warisan untuk bersaing dengan negara Asean.
Dalam bahasa lain, kita nampaknya cuba “meng-kelab-kan” pasukan kebangsaan.
Memanglah bukan Malaysia saja yang melaksanakan projek naturalisasi.
Apa yang tidak kita sedari ialah pasukan gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan sudah jauh meninggalkan kita dengan program anak tempatan.
Kita terikut-ikut negara yang gagal ke Piala Dunia. Sementara itu Cape Verde yang hanya ada kira-kira 550,000 penduduk sudah melakar sejarah gemilang.
Lebih aib, Curacao yang mempunyai penduduk kira-kira 155,000 orang juga telah layak ke Piala Dunia.
Arang terconteng di muka
Kita usah mengikut jejak Indonesia yang skuad kebangsaannya seolah-olah Belanda B. Penduduk Indonesia ada lebih 286 juta tetapi masih kempunan ke Piala Dunia. Negara itu juga tidak pernah menang Piala AFF, sebaliknya sekadar enam kali menjadi naib juara.
Kesibukan kita meneutralisasikan pemain luar dan mencari pemain warisan akhirnya menjerumuskan bola sepak ke dalam masalah dan aib sekali gus.
Beberapa pakar perundangan sukan menyatakan keputusan untuk merayu mungkin bahkan membawa hukuman yang lebih keras ke atas Harimau Malaya serta FAM.
Pengalaman itu pernah dilalui Timor Leste kerana memalsukan dokumen kelahiran 12 pemain berasal dari Brazil untuk pertandingan antarabangsa. Akibatnya Timor Leste dilarang menyertai Piala Asia 2023.

Tidak cukup dengan itu, keputusan 29 perlawanan mereka yang dikelola AFC dan melibatkan pemain tidak sah itu dibatalkan, manakala pihak lawan dihadiahkan dengan kemenangan 3-0.
Persatuan Bolasepak Timor Leste didenda, selain setiausaha agung persatuan bola sepak mereka digantung selama tiga tahun.
Melihat kepada dokumen setebal 63 halaman dikeluarkan Fifa untuk FAM sangat memalukan.
Jika kita berjaya dalam rayuan nanti, noda-noda hitam yang terconteng di muka akan dipadamkan, tetapi sebaliknya andai kalah, arang itu bukan saja kekal, malah meninggalkan parut yang sukar dipadamkan.
Kita mesti move on dan memulakan balik projek pembangunan bola sepak tempatan. Ia perlu bermula di peringkat akar umbi dan menyeluruh. Buang jauh-jauh sikap pilih kasih – kalau ada – demi maruah negara.
Kita perlu membina skuad seperti yang pernah tertegak pada 1972 dan 1979. Skuad itu juga dianggotai pelbagai kaum dan dari serata negeri, bukannya dalam kalangan negeri tertentu saja.
Ayuh, Malaysia boleh bangkit semula dengan semangat baru dan perancangan baru.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam dan peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam sebelum bersara pada 2023. Dia kini menjadi penulis bebas dan turut memberi nasihat undang-undang keluarga Islam secara sambilan serta menjadi penceramah jemputan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
