Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabun Fleximart murah, tak perlu beli mesin basuh guna duit Tei - Rafizi
Diterbitkan:  Dec 5, 2025 11:47 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, sempat mengambil peluang mempromosikan kedai Fleximart miliknya ketika membincangkan pertuduhan rasuah melibatkan bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan Albert Tei.

Dalam sebuah podcast, ketika ditanya gelaran “hero” dan “pembocor maklumat” terhadap Tei kerana mendedahkan skandal perlombongan di Sabah, bekas menteri itu berkata dia tidak bersetuju dengan gelaran tersebut, namun mengatakan amalan memberi wang sememangnya biasa dalam dunia perniagaan di Malaysia.

"Ada orang bagi duit, ada orang ambil duit. Nak kata terkejut, tak terkejut punlah. Cuma Albert Tei ini keadaan dia tersepitlah sebab duit tu bukan duit dia, dia broker.

"Kalau kita berada dalam keadaan dia, mungkin nyawa dia dalam keadaan bahaya. Kerana duit itu dah habis, kita pun tak tahu berapa puluh juta dah habis, dia duk menanggung mesin basuhlah, drying machine..” katanya.

Pada ketika itu, Rafizi beralih kepada mempromosikan Fleximart.

“Oh, saya nak buat iklan,” katanya.

“Tak perlu mesin basuh yang mahal, dryer yang mahal yang perlukan duit Albert Tei. Kalau nak basuh baju yang cantik, pergi beli sabun dekat Fleximart — RM1 seliter. Paling murah sekali,” selorohnya.

Fleximart ialah sebuah kedai serbaneka berkonsep perusahaan sosial diasaskan Rafizi di Shah Alam, bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup dengan menawarkan barangan keperluan harian dan makanan pada harga bawah RM5.

Selain harga mampu milik, Fleximart turut menyediakan peluang pekerjaan kepada belia dan keluarga B40.

Ahli Parlimen Pandan itu merujuk dakwaan Tei bahawa antara barangan yang dibelinya untuk Shamsul untuk kelengkapan dua kediamannya — termasuk kediaman rasmi di Putrajaya — ialah mesin basuh dan pengering.

Pada 25 Nov, Malaysiakini melaporkan dakwaan Tei bahawa dia membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk cerut premium dan sut tempahan khas, selepas diyakinkan bahawa Pengerusi PKR Melaka itu akan membantunya mendapatkan semula wang yang didakwa diberikannya kepada ahli politik Sabah sebagai pertukaran lesen cari gali mineral.

Shamsul, yang turut terpalit dalam kontroversi surat sokongan seminggu sebelumnya, mengumumkan peletakan jawatannya beberapa jam selepas Malaysiakini menghubunginya untuk mendapatkan komen.

‘Rakyat tak boleh terima jika hanya Tei kena’

Dalam podcast berkenaan, Rafizi berkata, dari sudut “moral”, mereka yang memegang amanah dan tanggungjawab awam - iaitu pegawai kerajaan - memikul tanggungjawab lebih besar apabila melibatkan dakwaan rasuah.

“Dari segi tuntutan undang-undang, mereka yang patut dihukum. Tetapi kita perlukan pembuktian dan keterangan daripada Albert Tei.

“Jadi, terpulanglah kepada kerajaan, SPRM ataupun pendakwa raya macam mana kita nak plea bargain itu - sama ada dia (Tei) pun dikenakan hukuman tetapi dijatuhkan hukuman lebih rendah atau diberikan kompaun.

"Yang itu saya sebut minggu lepas, sebab tu ada mekanisme kompaun, yang itu terpulang kepada pihak berkuasa. Tetapi yang tak boleh berlaku ialah yang menerima duit tu terlepas, Albert Tei yang kena. Yang itu takkan boleh diterima oleh rakyat,” katanya sama seperti kenyataan di media sosialnya semalam.

Pendedahan Tei

Sejak Nov lalu, Tei mengaitkan sekumpulan ahli politik Sabah dengan mendedahkan rakaman perbualan rahsia, tangkap layar mesej WhatsApp, serta pelbagai dokumen lain.

Dia juga menyerahkan lebih 300 halaman dokumen kepada SPRM, yang didakwa menunjukkan wang transaksi tersebut.

Tei mendakwa para ahli politik berkenaan menerima rasuah daripadanya sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral. Kecewa selepas lesen-lesen itu dibatalkan, ahli perniagaan itu memilih untuk tampil mendedahkannya.

Pada Jun lalu, Tei bersama dua Adun yang terlibat telah didakwa di Sabah, namun pengkritik mendakwa kerajaan melindungi mereka yang lain.

Anwar menafikan dakwaan melindungi sesiapa pun dengan menyatakan kes itu masih terbuka dan kertas siasatan berada di Jabatan Peguam Negara.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, lapan ahli politik yang dinamakan Tei - termasuk beberapa pemimpin kanan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - berjaya mempertahankan kerusi masing-masing.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor sebelum ini mendakwa Tei merupakan individu daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS