Paling Popular
Terkini

Ahli perniagaan Albert Tei menafikan dakwaan bahawa dia terlibat dalam konspirasi bersama bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, berhubung skandal rasuah di Sabah dan kes berkaitan bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim.

"Gambar tular yang menampilkan saya bersama Dr Mahathir hanyalah pertemuan pertama saya dengan beliau. Saya berumur 37 tahun, dan itu kali pertama saya berjumpa beliau. Itu sahaja.

"Jangan fitnah Mahathir," katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

Demikian katanya ketika diminta mengulas mengenai penularan sekeping gambar yang menunjukkan pertemuannya dengan Mahathir, yang didakwa sebagai bukti "konspirasi gelap".

Menurutnya, pertemuan itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada bekas perdana menteri, bukan untuk sebarang agenda politik.

"Beliau seorang negarawan, sudah berumur 100 tahun. Saya hanya seorang anak muda yang ingin belajar daripada pengalaman beliau.

"Saya ada melihat komen di media sosial kononnya saya terlibat dalam konspirasi. Saya lihat sahaja dan ketawa. Itu semua tidak benar," katanya.

Tei mula menjadi perhatian selepas mendedahkan dakwaan skandal pemberian lesen perlombongan di Sabah. Pendedahan itu termasuk video yang mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah menerima rasuah daripadanya.

Dalam pendedahan terbaru, Tei mendakwa bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Mohd Akin, menerima lebih RM600,000 dengan janji untuk membantu menyelesaikan skandal rasuah di Sabah.

Tei dan Shamsul kini menghadapi lima pertuduhan di mahkamah atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

Selain itu, turut tersebar dua klip video yang mengaitkan Anwar dan Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dalam skandal ini. Dalam video itu, seorang wanita mendakwa Anwar dan Azam mengetahui skandal tersebut.

Tei juga sempat bergurau kepada pemberita bahawa dia berharap boleh menjadi anak angkat Mahathir.

"Ada gurauan di media sosial tentang saya menjadi anak angkat Mahathir. Itu sekadar gurauan orang di media sosial.

"Saya pun berharap, sebab kononnya beliau ada banyak wang. Tapi itu hanya dalam mimpi. Saya pun tidak layak," katanya.

Bisik ‘reformati’ kepada pemberita

Sementara itu, seorang pegawai menghentikan Tei apabila dia cuba melaungkan perkataan "reformati".

"Ini mahkamah, jangan gunakan perkataan itu," kata pegawai itu.

Tei kemudian memohon maaf kepada pegawai sebelum berbisik "reformati" kepada pemberita yang berada di situ.

‘Reformati’ adalah perkataan yang sering digunakan oleh pihak pembangkang dan rakyat untuk menyindir kerajaan, khususnya Anwar, yang didakwa gagal melaksanakan agenda reformasi dalam kerajaan atau sistem politik, seperti membanteras rasuah, nepotisme, dan penyelewengan kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS