Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebuah NGO memberitahu mereka sedang melihat kemungkinan untuk berarak ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya jika Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, terus enggan bertemu dengan M Indira Gandhi dalam usaha wanita terbabit untuk bersatu semula dengan anak bongsunya, Prasana Diksa.

Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat), Arun Dorasamy, berkata dia sudah menghubungi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, semalam untuk mendapatkan perkembangan mengenai permohonan pertemuan itu, tetapi tidak mendapat maklum balas.

“Kami masih belum terima apa-apa perkembangan daripada mereka (Kulasegaran dan Mohd Khalid). Indira sangat kecewa.

“Ini membuatkan kami tiada pilihan selain berarak ke PMO ketika mesyuarat kabinet atau selepas kabinet,” kata Arun kepada Malaysiakini.

Malaysiakini juga sudah menghubungi Kulasegaran untuk mendapatkan komennya mengenai perkara itu.

Pada 22 Nov, kira-kira 200 orang berarak dari Kompleks Sogo ke Bukit Aman bagi mendesak polis mengesan keberadaan Prasana Diksa selepas dia dilarikan oleh bekas suami Indira kira-kira 16 tahun lalu.

Orang ramai berjalan bersama Indira, yang membawa sebuah kereta sorong bayi (stroller) berisi anak patung beruang milik Prasana — hadiah yang dirancang untuk diserahkan kepada Mohd Khalid.

Namun Mohd Khalid tidak muncul, menyebabkan kumpulan itu bertekad untuk tidak beredar sehingga pegawai tertinggi polis berkenaan datang dan bertemu Indira.

Selepas menunggu hampir empat jam, kumpulan itu bersurai hasil campur tangan Kulasegaran yang berjanji untuk mendapatkan janji temu di antara Indira dan Mohd Khalid dalam beberapa minggu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS