DAP – yang menjadi parti tunggal memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat – dilihat meningkatkan tekanan mereka terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Melalui Facebook, penasihat DAP, Lim Guan Eng, berkongsi ucapannya dalam satu acara di Pulau Pinang baru-baru ini dengan menegaskan bahawa ada pihak yang berpendapat Anwar belum berbuat secukupnya sebagai kerajaan.
Kata Lim, DAP mendengar suara daripada rakyat dan memberi perhatian serius terhadap keresahan mereka kepada kerajaan, justeru ia akan disampaikan kepada Anwar agar kerajaan dapat menunaikan janji yang dibuat sebelum ini secepat mungkin.
“Apabila perdana menteri buat perkara yang betul, kita mesti bercakap dia melakukan perkara yang betul, tapi apabila dia buat silap atau tak memadai, kita ada tanggungjawab untuk bersuara. Ini prinsip asas sebagai wakil rakyat,” katanya.
Ucapan Lim itu dibuat kira-kira 48 jam selepas Sabah mengadakan pilihan raya negeri yang ke-17 dan menyaksikan DAP mengalami kekalahan teruk apabila ditolak di semua lapan kerusi yang ditandinginya.
Keadaan itu dilihat boleh berulang dalam bentuk yang lebih lebih buruk, iaitu kalah dalam PRU akan datang.
DAP kemudian mengadakan mesyuarat tergempar melibatkan jawatankuasa eksekutif pusat mereka pada 1 Dis lalu dan setiausaha agungnya, Anthony Loke, menyifatkan keputusan PRN Sabah sebagai “mesej jelas dan kuat daripada pengundi” dan mencerminkan krisis keyakinan serius terhadap DAP serta PH.

Dia juga memberitahu yang DAP akan bekerjasama rapat dengan perdana menteri untuk mempercepat agenda reformasi dalam enam bulan akan datang.
Lim yang pernah menjadi menteri kewangan semasa PH menjadi kerajaan pada 2018 berkata, dia mengharapkan Anwar akan umumkan “berita baik pada hujung tahun ini” dan tidak mengecewakan sokongan serta kepercayaan bukan Melayu kepada PH.
“Bukan Melayu mesti rasa undi mereka tidak sia-sia.
“Langkah paling penting ialah menambah peruntukan untuk masyarakat bukan Melayu, terutama sekolah dan kuil, supaya pendidikan dan agama masing-masing boleh berkembang dengan lebih baik,” katanya.
Semalam, Lim turut menyuarakan rasa kecewanya sekali lagi kerana Anwar mengabaikan gesaan berulang kali yang membantah peluasan cukai barangan dan perkhidmatan (SST) dan langkah lain yang membebankan rakyat.
“Perdana menteri boleh pilih untuk tak dengar saya. Tapi dia tak boleh abaikan suara pengundi Sabah,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.
