Jemaah Menteri hari ini membuat keputusan untuk merujuk Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya mengenai insiden di Masjid Rusila pada Sept yang melibatkan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan yang dibangkitkan ahli-ahli parlimen ketika perbahasan di Dewan Rakyat.
"Ini untuk memastikan bahawa ahli parlimen juga diberikan ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta membolehkan sebarang dapatan dibuat Jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Kerajaan Madani percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi APMM di Masjid Rusila
Pada 22 Okt lalu, Takiyuddin membangkitkan isu mengenai latihan anggota APMM di Masjid Rusila, Terengganu, pada 19 Sept dan mengaitkannya dengan insiden Memali 1985.
Dalam insiden Memali, polis cuba menangkap guru agama, Ibrahim Mahmood dan pengikutnya di Kampung Memali, Kedah, yang mengakibatkan pertembungan kedua-dua pihak hingga menyaksikan 14 penduduk kampung dan empat anggota polis terkorban.
Ketika latihan APMM pada Sept lalu, beberapa pegawai yang menjalani latihan komando berhenti untuk menunaikan solat di Masjid Rusila, yang menimbulkan kebimbangan penduduk dan pemimpin PAS, memandangkan masjid tersebut terletak bersebelahan rumah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Semalam, ahli parlimen kedua-dua pihak bertelagah mengenai perkara itu, menyebabkan kerajaan menangguhkan usul untuk menggantung Takiyuddin.
Keputusan itu dibuat selepas perbahasan hangat dan pertikaman lidah di antara ahli parlimen kerajaan dengan pembangkang yang berhujah mengapa Takiyuddin harus dikenakan tindakan melalui proses pengundian di Dewan Rakyat atau dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata kerajaan bersetuju untuk menangguhkan usul terhadap Takiyuddin pada sesi Dewan Rakyat akan datang selepas meneliti semua hujah yang dikemukakan semasa perbahasan.
“…namun begitu, Tan Sri (Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul), kami faham, dan selepas mendengar semua hujah serta menimbang segala perkara yang dibentangkan, bagi pihak kerajaan, saya memohon agar usul ini ditangguhkan dan dibawa ke sesi akan datang. Terima kasih,” katanya.
Menurut usul yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan memohon Dewan Rakyat menggantung Takiyuddin (PN–Kota Bharu) selama enam bulan.
Usul itu menyatakan, Takiyuddin membandingkan insiden melibatkan APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dengan peristiwa berdarah Memali pada 1985, dan mendakwa ia percubaan menakut-nakutkan rakyat.
