Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ucapan Memali': Kabinet tiada kuasa arah rujuk Takiyuddin ke Jk parlimen - PAS
Diterbitkan:  Dec 5, 2025 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

PAS menyoal keputusan kabinet merujuk setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan, ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya mengenai insiden di Masjid Rusila yang melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari berkata keputusan itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai kemungkinan berlakunya campur tangan eksekutif dalam urusan legislatif, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Tatacara dan disiplin Ahli Dewan adalah bidang kuasa eksklusif Dewan Rakyat sendiri, bukan Kabinet.

"Hal ini dijamin dengan jelas oleh Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan: Setiap Majlis boleh dari semasa ke semasa membuat peraturan-peraturan bagi mengawal atur tatacara mesyuaratnya sendiri,” kata ahli parlimen Pasir Mas itu pada hantaran di Facebook hari ini.

Dia berhujah peruntukan tersebut mengesahkan hanya Dewan Rakyat, melalui prosedur dalaman yang sah, boleh menentukan sebarang tindakan tatatertib atau rujukan melibatkan seorang ahli parlimen.

Menurutnya, cabang eksekutif tidak mempunyai kuasa untuk menentukan perjalanan sesuatu usul atau mengarahkan rujukan kepada mana-mana jawatankuasa.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata usul asal yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam – yang menuntut penggantungan Takiyuddin berhubung kenyataannya – akan diperhalusi.

Pindaan itu bagi membolehkan kes itu dirujuk kepada jawatankuasa tersebut, dengan Azalina menegaskan bahawa Takiyuddin juga akan diberi ruang untuk didengar di peringkat jawatankuasa.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan parlimen institusi bermaruah dan berautoriti yang tidak boleh dijadikan platform untuk ahli parlimen bertindak sewenang-wenangnya.

Tindakan sedemikian, katanya, termasuk menyebarkan fitnah dan dakwaan yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi legislatif negara.

Bagaimanapun, Fadhli merujuk Peraturan Mesyuarat 80A Dewan Rakyat, yang menyatakan jawatankuasa berkenaan hanya boleh menyiasat perkara yang dirujuk oleh Dewan Rakyat dan melaporkannya semula kepada Dewan Rakyat.

“Teks ini menunjukkan dengan terang bahawa hanya Dewan, melalui keputusan rasmi yang dibuat dalam persidangannya, boleh merujuk sesuatu isu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Jawatankuasa itu pula hanya boleh bertindak atas rujukan Dewan — bukan arahan Kabinet, bukan keputusan Jemaah Menteri,” katanya.

Menegaskan Dewan Rakyat bebas daripada eksekutif dalam demokrasi berparlimen, Fadhli mengkritik keputusan kabinet yang menurutnya seolah-olah “menentukan” perjalanan usul atau tindakan terhadap seorang ahli parlimen.

Tindakan sebegitu, katanya tidak mempunyai asas undang-undang, menceroboh bidang kuasa Dewan dan menetapkan duluan berbahaya terhadap doktrin pengasingan kuasa.

“Urusan Dewan mesti diputuskan di dalam Dewan, oleh Yang di-Pertua Dewan, dan menurut Peraturan Mesyuarat, bukan melalui keputusan politik eksekutif,” katanya.

Pada 22 Okt lalu, Takiyuddin menimbulkan kebimbangan mengenai latihan APMM yang dijalankan di Masjid Rusila pada 19 Sept, dengan membandingkan perkara itu dengan insiden Memali 1985.

Dalam tragedi Memali, polis cuba menahan pemimpin PAS Ibrahim Mahmood dan para pengikutnya di Kampung Memali, Kedah, sehingga mencetuskan konfrontasi yang mengorbankan 14 penduduk kampung dan empat anggota polis.

Semasa latihan komando APMM pada September itu, beberapa anggota berhenti untuk menunaikan solat di Masjid Rusila, yang terletak bersebelahan rumah Presiden PAS Abdul Hadi Awang — lalu mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan dan pemimpin PAS.

Semalam, ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang bertembung mengenai isu itu, sehingga menyebabkan kerajaan menangguhkan usul untuk menggantung Takiyuddin.

Usul itu juga dibentangkan walaupun Takiyuddin dan Saifuddin dilihat telah mencapai penyelesaian baik berhubung pertikaian mengenai latihan APMM tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS