Bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa presiden parti itu Muhyiddin Yassin menjadi faktor utama perpecahan bekas partinya itu.
Mengulas desakan akar umbi Sabah agar presiden Bersatu itu berundur, Wan Saiful berkata kemelut di negeri itu menzahirkan kegagalan Muhyiddin membina keutuhan parti, yang menurutnya merupakan kebimbangannya sebelum ini.
"Aura kepimpinan Muhyiddin sudah hilang dan tokoh itu kini sekadar pemimpin luput tempoh yang bergantung kepada kejayaan silam tanpa visi masa depan.
"Muhyiddin sebenarnya sedar kedudukannya semakin lemah, namun enggan berundur kerana terperangkap dalam ego politiknya sendiri.
"Jalan keluar paling mudah ialah Muhyiddin meletakkan jawatan mengikut perlembagaan parti, tanpa perlu mengadakan persidangan khas untuk menyingkirkannya," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, punca perpecahan terlalu jelas dan kepimpinan Muhyiddin tidak lagi membawa penyatuan.
Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan Setiausaha Bersatu Sabah Yunos Nordin mendakwa 20 daripada 24 bahagian Bersatu sebulat suara bersetuju mendesak bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan serta-merta sebagai presiden Bersatu dan pengerusi PN.
Namun, semalam lapan ketua bahagian Bersatu Sabah mendakwa diminta menandatangani dokumen bagi mendesak presiden, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan.

Dalam satu kenyataan bersama mereka berkata mereka diminta berbuat demikian ketika dipanggil oleh Yunos ke Pejabat Bersatu Negeri untuk memberikan laporan pasca pilihan raya berkenaan.
Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata penyokong tegar Muhyiddin kini tinggal sedikit dan sanggahan mereka terhadap kritik dalaman tidak lagi meyakinkan ahli parti.
Dia juga merujuk mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 7 September lalu ketika Muhyiddin dilapor bertegas “I will fight!”, satu tindakan yang menurutnya hanya memanjangkan konflik dalaman.
"Mereka (penyokong Muhyiddin) mungkin boleh mengelirukan orang luar, tetapi ahli Bersatu tahu cerita sebenar,” katanya.
"Ramai pemimpin Bersatu sebenarnya mahu perubahan kepimpinan, tetapi takut bersuara kerana bimbang tidak mendapat watikah calon pilihan raya.
"Apa gunanya watikah kalau akhirnya kalah?” soal Wan Saiful, sambil menambah bahawa budaya takut ini menjejaskan kredibiliti parti di mata rakyat.
Dia juga menuduh ego Muhyiddin menghalang perubahan dan menyeru seluruh ahli bangkit mendesak pembaharuan.
"Jika semua terus takut, beliau tidak akan sedar diri," katanya.
Untuk rekod, Wan Saiful dipecat daripada Bersatu pada Mac lalu dan terus menjadi pengkritik lantang kepimpinan tertinggi parti.
