Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa keperluan dan komitmen kewangan berkaitan isu tanah Felda di Terengganu telah pun dilunaskan oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Anwar yang juga Menteri Kewangan telah memberikan penjelasan mengenai perkara itu sewaktu Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa semua keperluan kewangan berkaitan tanah telah dilunaskan, telah dibayar sebelum ini dan tapi ada beberapa perkara yang tidak disusuli oleh pihak kerajaan negeri.
“Petang ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Johan Mahmood Merican) ada perbincangan dengan kerajaan negeri Terengganu untuk memastikan apa yang telah kerajaan Persekutuan lunaskan, kini perlu disusuli oleh pihak kerajaan negeri. Itu sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Putrajaya hari ini.
Pada Ahad lepas, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu, selepas mendakwa selama lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.
Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Datuk Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberikan maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri yang diteroka sejak 40 tahun lepas.
- Bernama
