Menteri Digital Gobind Singh Deo mengalu-alukan arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk siasatan yang telus terhadap kejadian polis menambak mati tiga lelaki di Melaka, dengan mengatakan ia menghantar isyarat jelas bahawa kerajaan serius tentang akauntabiliti polis dan kedaulatan undang-undang.
Gobind berkata desakan Anwar bahawa tiada pegawai polis harus dilindungi jika didapati bertindak secara menyalahi undang-undang adalah penting dalam memulihkan kepercayaan orang ramai.
“Saya percaya arahan ini menghantar isyarat yang jelas dan kuat bahawa walaupun polis perlu tegas dan menguatkuasakan undang-undang, kerajaan serius tentang akauntabiliti polis dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Peguam itu berkata bahawa dia telah membangkitkan kebimbangan mengenai akauntabiliti polis, dan kenyataan yang bercanggah berhubung kejadian tembakan tersebut, dan keperluan untuk pembaharuan sistemik semasa mesyuarat kabinet, hari ini.
“Kami konsisten dalam membangkitkan isu-isu yang melibatkan penggunaan kekerasan dan kekejaman yang berlebihan oleh agensi penguatkuasaan. Kita mesti segera dan tegas menangani masalah ini. Tiada tempat untuk penderaan atau kematian tahanan di Malaysia,” tambah Ahli Parlimen Damansara itu.
Gobind juga menggesa Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, untuk bertindak segera berhubung arahan Anwar.
“Ini menuntut siasatan yang telus dan berasaskan integriti terhadap semua kes sedemikian tanpa sebarang kelewatan. Tindakan segera mesti diambil terhadap semua yang didapati melanggar prosedur operasi standard atau yang bertindak di luar batas undang-undang,” tambahnya.
Anwar hari ini menuntut Khalid menjalankan siasatan yang telus terhadap kejadian tiga lelaki ditmbak mati oleh polis di ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka.
Buletin TV3 melaporkan bahawa perdana menteri juga meminta Khalid mengemukakan laporan terperinci mengenai kejadian itu kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata kejadian itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melindungi penjenayah atau polis yang mengambil tindakan yang bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.
Semalam, peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili ahli keluarga tiga lelaki yang maut itu, memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai polis yang menembak mati ketiga-tiga mereka minggu lalu, harus didakwa dengan tuduhan membunuh.
Dia menyangkal versi polis tentang peristiwa itu, yang mendakwa lelaki itu telah menyerang pegawai polis dengan parang dan menyebabkan kecederaan parah kepada salah seorang daripada mereka.
Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata insiden itu tidak boleh dilihat secara secara terasing dan terpisah, sebaliknya mendakwa bahawa banyak kontroversi yang melibatkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri berlaku kebelakangan ini.
Takiyuddin juga menyeru agar penggunaan senjata api oleh mana-mana agensi tertakluk kepada semakan semula melalui siasatan yang telus dan bebas sepenuhnya.

“Keadilan hendaklah ditegakkan tanpa takut dan pilih kasih.
"Dalam pada itu, PAS juga berpandangan bahawa insiden tragis dan malang ini tidak boleh dilihat secara terasing dan terpisah begitu sahaja,” katanya.
Takiyuddin berkata insiden baru-baru ini—termasuk kematian pelajar Zara Qairina Mahathir di Papar dan dakwaan kekurangan dalam siasatan awal polis, isu rasuah yang melibatkan pegawai Jabatan Imigresen di pintu masuk sempadan, dan kontroversi mengenai pemberian kewarganegaraan secara salah oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada pemain bola sepak asing—telah menimbulkan persoalan tentang kemungkinan kelemahan sistemik dalam kementerian.
"Insiden-insiden ini bukan sahaja mendedahkan kelemahan operasi agensi terbabit, tetapi turut menyerlahkan kemungkinan kegagalan tadbir urus, kawalan dan pemantauan, kepimpinan dan juga pertanggungjawaban yang menuntut perhatian dan tindakan pemulihan segera,” tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Takiyuddin, yang juga seorang peguam, mengalu-alukan keputusan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) untuk mengambil alih siasatan kejadian tembakan di Melaka, dan membentuk pasukan khas untuk meneliti laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa.
Dia menekankan bahawa sebarang penggunaan senjata api oleh agensi penguatkuasaan mesti menjalani semakan yang telus dan bebas sepenuhnya.
“Kredibiliti agensi penguatkuasaan kita bukan sahaja bergantung pada keupayaan menyelesaikan kes-kes individu, tetapi juga dalam keberhasilan menangani isu-isu sistemik lebih luas yang membolehkan kes-kes itu terus berlaku,” tambah Takiyuddin.
Takiyuddin juga menggesa pihak berkuasa—terutamanya polis—untuk memberikan maklumat terkini tentang kes orang hilang yang tertunggak, termasuk kehilangan Pamela Ling, yang hilang pada 9 April 2025 semasa dalam perjalanan untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
