WAWANCARA | Bagi Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 63, anak jati Kuala Terengganu, menjadi ketua hakim negara ke-17 suatu yang tidak pernah terlintas langsung di fikirannya — sehinggalah pelantikan itu dimeterai secara rasmi pada Julai lalu.
Bercakap kepada pemberita di Istana Kehakiman hari ini, bekas ahli politik itu mengimbas detik menjelang pelantikannya, ketika desas-desus bertiup bahawa seorang lagi hakim Mahkamah Persekutuan dikatakan bakal menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat.
“Keputusan (pelantikan saya) mengejutkan saya. Saya sudah berada di mahkamah selama 10 tahun, dan kira-kira setahun lebih di Mahkamah Rayuan (yang membuatkan saya berfikir) agak luar biasa seorang hakim Mahkamah Rayuan dilantik sebagai ketua hakim negara.
“Itu mengejutkan saya, dan isteri saya juga. Saya rasa tak pernah langsung terlintas di fikirannya bahawa suatu hari nanti, suaminya akan menjadi ketua hakim negara.

“Pada masa sama, walaupun tidak pernah terlintas, apabila saya dapat tahu secara rasmi, saya anggap ia satu penghormatan besar,” katanya sambil menambah dia menerima ucapan tahniah daripada penyandang terdahulu, yang dianggapnya satu pengiktirafan terhadap pengalaman kehakimannya.
Wan Ahmad Farid berkata lagi, pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 28 Julai itu menjadi cabaran peribadi, termasuk aspirasinya untuk menyatukan institusi kehakiman dan mengukuhkan keyakinan awam.
“Apa yang saya pelajari setakat ini ialah ketua hakim datang dan pergi… tetapi apa yang saya fikirkan ialah meletakkan dasar jangka panjang dan pelan hala tuju 10 tahun untuk badan kehakiman.”
Apa beza hakim dan ahli politik?
Sebelum menyertai badan kehakiman, Wan Ahmad Farid — lulusan undang-undang — merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu pada 2001, serta setiausaha politik kepada perdana menteri kelima, Allahyarham Abdullah Badawi, antara 2004 hingga 2008.
Dia kemudian menjadi timbalan menteri dalam negeri dari 2008 hingga 2009 sebelum kembali ke bidang kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2015.
Berpengalaman dalam dua bidang berbeza dalam hidupnya — sebagai hakim dan ahli politik — Wan Ahmad Farid melihat perbezaan besar antara kedua-duanya, terutama kerana satu profesion melibatkan orang ramai dan satu lagi lebih terasing serta sentiasa diperhatikan.
“Ketika saya dinaikkan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan bertanya: ‘Apa beza menjadi hakim dan ahli politik?’

“Jawapan saya: ahli politik berfikir selepas membuat keputusan manakala hakim berfikir sebelum membuat keputusan,” selorohnya, disambut gelak ketawa.
“Memang berbeza sama sekali… Saya boleh katakan, saat saya bergelar Pesuruhjaya Kehakiman, telefon saya terus berhenti berdering. Tiada siapa telefon saya lagi; saya jadi ‘lelaki sunyi’.”
Katanya, kerjaya sebagai hakim merupakan kehidupan yang terasing — sangat berbeza daripada ahli politik yang sering dicari dan mendekati masyarakat. Dia juga mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri.
“Saya pernah lalui perubahan itu, dan sebagai ketua hakim negara, saya boleh menggunakan pengalaman pentadbiran semasa menjadi timbalan menteri untuk membantu kerja pentadbiran jawatan ini. Pengalaman itu sangat berguna.”
Falsafah kehakiman
Wan Ahmad Farid mengaitkan falsafah kehakimannya kepada gurunya ketika era bekas presiden Mahkamah Rayuan Allahyarham Wan Adnan Ismail.
“Beliau membentuk falsafah hidup dan amalan saya… seorang yang tegas dan tidak melayan karut-marut. Saya belajar banyak daripada beliau.
“(Falsafah kehakiman saya ialah) apa pun keputusan yang perlu dibuat, hati nurani mesti jelas. Selagi hati nurani jelas, tiada keraguan, tiada penyesalan.”
Nasihatnya kepada peguam muda dan hakim: “Jangan sekali-kali tunduk pada godaan.”

Sebagai hakim, katanya, seseorang ada kuasa membuat keputusan yang boleh memihak ke mana-mana.
Maka, ada yang cuba mempengaruhi — sama ada sendiri atau melalui kenalan dan keluarga.
“Buat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang. Jangan sekali-kali tunduk kepada godaan.
“Keputusan kita, untuk meraih kepercayaan awam, mesti hanya berasaskan fakta dan undang-undang. Itulah integriti.”
Kesejahteraan hakim
Selaku ketua hakim negara, Wan Ahmad Farid berkata antara fokusnya kesejahteraan mental hakim — memastikan mereka berada dalam keadaan minda yang baik sebelum menulis penghakiman.
“Bagi saya, selepas keluar dari bilik bacaan (di rumah), biasanya lewat malam, saya perlu ‘unwind’. Saya tak terus tidur.
“Saya akan menonton Netflix, Tom and Jerry… Siri Netflix kegemaran saya ialah Blacklist.
“Kita perlu ‘unwind’. Tak boleh serius setiap masa. Itu membantu kesejahteraan saya sebagai hakim.”
Wan Ahmad Farid bercakap pada sesi temu bual berkumpulan sempena 100 hari dia menyandang jawatan.
Dalam sesi itu, ketua hakim negara turut berseloroh bahawa dia masih pelanggan setia Malaysiakini walaupun portal berita itu “tidak sentiasa baik” kepadanya.
Ketika diminta bergambar, Wan Ahmad Farid sekali lagi bergurau, “perdana menteri pun tak boleh suruh saya buat apa-apa… kecuali media."
