Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek lembu Kedah: MP PN akan diseret ke mahkamah
Diterbitkan:  Dec 5, 2025 10:10 PM
Dikemaskini: 2:30 PM

Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahannya atas tujuan pertuduhan membabitkan projek ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.

Melalui hebahan di media sosial, wakil rakyat PN itu berkata dia akan dihadapkan ke mahkamah bersama dua lagi suspek pada Isnin 8 Disember depan.

Tegas Azman, pertuduhan rasuah terhadapnya merupakan pendakwaan terpilih selepas membuat ulasan di media sosialnya berkenaan jawapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin.

"Jadi itulah yang saya nak beritahu kepada warga sekalian bahawa saya daripada seorang saksi yang memberikan keterangan untuk membantu siasatan terus diberikan pertuduhan untuk didakwa.

"Jadi saya melihat ini ada unsur-unsur pengaruh politik untuk mencemarkan imej ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional, khususnya sayalah.

"Sebab kemungkinanlah baru-baru ini saya membuat ulasan, komen di media TikTok tentang jawapan PM terhadap jawapan soalan yang diberikan oleh (ahli parlimen) Masjid Tanah tentang soalan tentang setiausaha politik beliau… yang dituduh, yang kononnya ditohmah… melakukan rasuah, menerima rasuah dan meminta suapan.

"Jadi selepas beberapa hari saya pula didakwa, jadi saya melihat ini seolah-olah seperti pendakwaan terpilih yang mana-mana yang dilihat vokal melawan isu rasuah akan dikenakan tindakan dan akan didakwa," katanya pada hantaran video di TikTok.

Jelasnya, dia sebelum ini dipanggil ke SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan berkaitan projek fidlot di bawah Kedah Agro.

Namun, SPRM Kedah menahan Azman pada petang semalam bagi tujuan pertuduhan melibatkan projek usaha sama ternakan lembu milik kerajaan Kedah itu.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber berkata siasatan dibuat sejak Februari melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek ternak lembu fidlot.

Sumber mendakwa suspek didakwa menyalahgunakan jawatan semasa menjadi exco pertanian negeri.

Difahamkan SPRM membebaskannya dengan bon peribadi setelah diambil keterangan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut ketika dihubungi.

Katanya individu tersebut dirakam percakapan bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 dan dilepaskan dengan jaminan.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS