Mr F (bukan nama sebenar) hidup dalam ketakutan dan terasing sejak dia ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat sauna, yang digambarkan pihak berkuasa sebagai lokasi disyaki menjalankan aktiviti seks songsang.
Segala-galanya bermula pada 28 Nov lalu apabila dia yang hadir untuk latihan gim tiba-tiba diserbu pihak berkuasa.
“Saya datang ke premis itu untuk aktiviti gim. Saya bukan orang KL, saya kebetulan berada berdekatan dan menemui tempat itu secara dalam talian.
“Saya berada di gim, kemudian ke sauna dan jakuzzi, semuanya kelihatan normal. Tiada apa-apa mencurigakan di tempat itu. Ketika saya hendak keluar, saya tiba-tiba dimarahi dan disuruh berkumpul,” katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini.
Mr F menggambarkan detik awal serbuan itu sebagai kekecohan, dengan mereka yang ditahan dikumpulkan, dipaksa duduk di lantai simen tanpa makanan atau minuman, dan tidak dibenarkan menggunakan tandas.

Dia cuba bertanya sebab penahanannya dan hak mempertahan diri dari sudut undang-undang tetapi tiada penjelasan diberikan sehinggalah perkara itu didengar di hadapan majistret hampir 40 jam kemudian.
Dia juga mendakwa seorang tahanan warga asing mengalami sawan.
“Saya belum keluar rumah sejak dibebaskan.
“Saya sentiasa gelisah takut dikenali, terutama apabila video tanpa suntingan dari serbuan itu tersebar dalam talian. Gambar kami juga diambil di balai polis, menambahkan lagi ketakutan.
“Polis menjerit kepada kami tanpa sebab, dengan stereotaip kononnya kami semua lembut.
“Kami langsung tidak diberitahu hak kami, tetapi saya tahu apa yang mereka lakukan itu melanggar hak kami,” katanya.
Kesan kepada emosi
Walaupun sudah dibebaskan, Mr F masih bergelut dengan kesan sosial dan emosi.
Dia bimbang kejadian ini menjejaskan reputasi profesional, peluang pekerjaan, serta hubungan peribadinya. Hubungannya dengan ibu turut menjadi tegang sejak dia keluar dari tahanan.
“Banyak gambar diambil dan saya tidak tahu bagaimana ia tersebar. Ada yang tidak disunting,” katanya, sambil mendakwa beberapa klip video yang dipercayai dirakam polis turut tersebar di internet, dan dia bimbang dapat dikenal pasti.

Ibu bapanya juga terpaksa menggunakan duit simpanan mereka bagi mendapatkan khidmat guaman, memandangkan dia baru hendak memasuki dunia pekerjaan.
“Ibu bapa saya terpaksa mengeluarkan duit untuk mendapatkan peguam mempertahankan saya, dan saya rasa sangat malu,” katanya.
Mr F juga mengakui tidak mendapatkan sokongan kesihatan mental kerana takut identitinya terdedah, menyebabkan dia terpaksa menghadapi tekanan dan kegelisahan seorang diri.
Pada 1 Dis lalu, Timbalan Ketua Pemuda PSM Aiman Sees mendakwa mereka dimaklumkan mengenai kekasaran polis sepanjang serbuan, termasuk pengabaian hak asasi dan hak undang-undang tahanan.
Namun, Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam menafikan perkara itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan bahawa 171 suspek dibebaskan selepas pihak berkuasa gagal mendapatkan perintah reman.
New Straits Times melaporkan bahawa permohonan reman ditolak kerana lewat dikemukakan, yang menurut polis disebabkan jumlah tahanan yang besar, dan pihak berkuasa tidak dapat meneruskan siasatan di bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan kerana kekurangan bukti.
Dia menambah tiada seorang pun tahanan boleh didakwa kerana tiada yang mengaku menjadi mangsa eksploitasi, pelacuran atau seks songsang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Azani Omar sebelum ini berkata daripada lebih 200 yang ditahan, 80 beragama Islam dan selebihnya warga Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.
Hilang hormat kepada pihak berkuasa
Ketika dalam tahanan, Mr F mendakwa ujian air kencing dibuat secara terpilih ke atas beberapa tahanan lelaki.
“Ia mengelirukan kerana kami diberitahu akan dibebaskan jika keputusan air kencing negatif dadah, tetapi bukan semua diuji, dan itu pun tidak benar. Mereka memalukan kami dan mengatakan kami lembut dan gay,” katanya.
Mr F berkata walaupun majistret memerintahkan mereka dibebaskan tanpa reman lanjut, polis terus berkelakuan seolah-olah mereka masih ditahan secara sah.
Dia mendakwa pegawai-pegawai polis sengaja melengahkan pembebasan, mendakwa mereka hanya akan dilepaskan apabila semua penjamin tiba.
“Saya ingat seorang pegawai yang sengaja menyembunyikan tag namanya. Malah ramai yang buat begitu.
“Dia berkata: ‘Kami akan tahan kamu sehingga semua penjamin tiba. Penyokong di bawah (NGO, peguam dan ahli keluarga) takkan tunggu lama’,” kata Mr F.
Mengulas lebih lanjut, Mr F berharap ada kebertanggungjawaban dan pembaharuan pada masa hadapan.
“Saya berharap polis memohon maaf kerana melanggar hak kami, dan pegawai yang terlibat dalam serbuan itu dikenakan tindakan.
“Saya berharap pada masa depan, pegawai polis benar-benar diberi pendidikan tentang undang-undang, kerana pada saya mereka tidak faham undang-undang. Mereka adalah penguat kuasa undang-undang, dan adalah bahaya jika mereka tidak mahir mengenainya,” katanya.
Mr F berkata dia sangat tertekan, dan mendakwa beberapa ahli politik menggunakan kejadian itu untuk publisiti dengan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut, walaupun mahkamah telah menolak permohonan reman polis.
“Saya rasa gelisah dengan keperluan untuk kembali ke mahkamah. Saya rasa bersalah kerana membuat ibu bapa saya turut cemas,” katanya.
Ramkarpal vs Saifuddin
Pada 3 Disember, Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh mengkritik Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail selepas dia mendakwa pelanggan spa itu terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Ramkarpal mengingatkan bahawa kes itu belum disiasat dengan sewajarnya.

Saifuddin pula mempertahankan tindakan polis menyerbu spa yang didakwa terlibat dalam aktiviti seks sejenis. Dia mendakwa serbuan tersebut, yang membawa kepada penahanan lebih 200 individu, tidak melanggar privasi mereka.
"Privasi kalau seorang diri di rumah, ini premis awam dengan 201 orang, privasi apa lagi..
“Itu perbuatan tak bermoral, tak boleh dipertahankan oleh mana-mana agama.
Bernama melaporkan bahawa 17 penjawat awam dikenal pasti antara lebih 200 lelaki yang ditahan dalam serbuan itu, yang dikritik NGO sebagai diskriminasi.
