Paling Popular
Terkini

Dua dekad selepas menerima diagnosis HIV, artis visual abstrak Caroline Rajan tampil buat pertama kali ke ruang publik — dan melakukannya mengikut caranya sendiri.

Pameran solo sulungnya, The Unsung Voices: Women Living with HIV, yang dilancarkan di Temu House semalam, menawarkan pandangan jujur dan tanpa berselindung tentang perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita yang menghidap HIV.

Menerusi warna-warna terang, tekstur berlapis, serta simbol berulang tentang kurungan dan kebebasan, Caroline mengubah kisah yang lama dipendam menjadi karya catan yang “jujur, mentah dan sangat manusiawi.”

“Semuanya bermula ketika saya pergi berjumpa doktor saya. Saya beritahu beliau saya merancang satu pameran ‘coming out’ kecil untuk bercakap mengenai wanita hidup dengan HIV.

“Kemudian beliau mencadangkan supaya saya menghubungi Majlis AIDS Malaysia. Dari situlah semuanya berkembang,” katanya, menjelaskan bagaimana impian kecilnya berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar.

Keputusan untuk tampil dan berdepan stigma awam terhadap HIV bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ketika menghasilkan karya, Caroline berkata dia akhirnya menemui keberanian yang lama sukar digenggam.

“Pada mulanya, pameran ini hanya tentang wanita hidup dengan HIV. Saya tidak pernah terfikir untuk menceritakan kisah saya.

“Tapi apabila saya benar-benar mula menyiapkan karya dan memikirkan keseluruhan idea serta apa yang perlu dimasukkan dalam pameran ini, ia cuma masuk akal jika saya tampil.

“Dan akhirnya saya menemui keberanian untuk tampil dan bercakap tentang sesuatu yang begitu lama saya simpan,” katanya.

Pameran ini memaparkan 19 buah lukisan — dua belas karya besar merakam pelbagai fasa hidupnya, dan tujuh karya lain berpusat pada tema stigma.

Motif sayap berulang dalam catannya, yang menurut Caroline melambangkan “kebebasan yang tidak pernah dia miliki.”

“Apabila anda hidup dengan HIV, anda memenjarakan diri dalam fikiran tanpa sedar,” katanya.

Wanita berdepan stigma tidak seimbang

Menurut laporan Global AIDS Monitoring 2025 Kementerian Kesihatan, sebanyak 3,185 kes baru HIV direkodkan pada 2024, dengan wanita merangkumi 10 peratus daripada jumlah tersebut.

Walaupun angka itu kecil berbanding kes dalam kalangan lelaki, para aktivis menegaskan wanita masih bergelut dengan diagnosis akibat salah faham, stigma dan tekanan sosial yang memberi kesan tidak seimbang terhadap mereka.

Tokoh pejuang hak asasi manusia Marina Mahathir ketika berucap merasmikan pameran itu mengimbas kembali tempohnya sebagai presiden Majlis Aids Malaysia dua dekad lalu, menggambarkan perjuangan menangani wabak itu sebagai sesuatu yang “tidak kelihatan, dibungkam dan sangat diselubungi stigma.”

“Ketika itu, persepsi mengenai Aids sangat terarah kepada pengguna dadah. Angka untuk wanita juga sangat kecil, bawah 1 peratus pada tahun 90an.

“Strategi kami ketika itu ialah bercakap tentang wanita sebagai ibu, seolah-olah tiada wanita lain yang dijangkiti. Pendekatan itu berjaya menyentuh hati masyarakat dan itulah cara kami menggerakkan isu itu ke hadapan.

“Tapi ia perjalanan melawan stigma, diskriminasi dan misogini dalam banyak bentuk,” katanya.

Ujian dan harapan

Bagi Caroline, pameran ini antarany bertujuan untuk menjadikan ujian HIV sebagai hal biasa dan menghapuskan rasa malu yang sering mengiringinya.

“Kita perlu menghapuskan ketakutan terhadap ujian. Orang perlu bertanggungjawab.

"Kalau anda tidak tahu status anda, anda membahayakan nyawa sendiri dan boleh menyumbang kepada peningkatan kes tanpa sedar.

“Kita tidak mahu sampai ke tahap sudah terlambat,” katanya.

Tegasnya HIV hari ini boleh diurus sepenuhnya dengan ubat yang berkesan dan mudah diakses, sambil menggesa mereka yang didiagnosis supaya mendapatkan rawatan awal kerana mereka masih boleh menikmati kehidupan sihat dan berkualiti.

Bagi mereka yang tidak tahu di mana hendak bermula, platform dalam talian TestNow — dibangunkan Kementerian Kesihatan bersama Yayasan Aids Malaysia, Majlis Aids Malaysia dan Global Fund — menyediakan ujian kendiri HIV secara sulit, maklumat pra-ujian, penilaian risiko dan panduan langkah demi langkah.

Pengguna juga boleh menghantar keputusan dengan selamat, mengakses direktori sokongan psikososial dan dirujuk ke fasiliti kesihatan berdekatan — menjadikannya pilihan mudah dan privasi bagi sesiapa yang ingin mengetahui status mereka.

Ketika pengunjung berjalan melalui pameran, Caroline berharap mereka membawa pulang mesej keberanian, untuk diri sendiri atau orang lain.

“Saya cuma mahu memberi harapan kepada wanita. Jangan takut lagi. Ini boleh diuruskan.

"Rawatan berkesan. Dan anda masih boleh hidup penuh dan indah,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS