Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri pastor Koh tulis surat mohon sokongan Gobind Singh
Diterbitkan:  Dec 6, 2025 10:36 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew, menghubungi Gobind Singh Deo bagi meminta pengerusi DAP itu memberi sokongan kepada keluarganya dalam usaha menuntut keadilan.

Langkah itu diambil selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari kepada keluarga Koh, bermula dari tarikh dia diculik pada 13 Februari 2017, sehingga dia ditemui atau keberadaannya dikenal pasti.

“Saya menghubungi saudara kerana saudara adalah suara yang memperjuangkan ketelusan dan maruah manusia, seperti mendiang bapa saudara yang sangat kami hormati dan hargai.

“Saya telah membaca bagaimana saudara bersuara bukan sahaja untuk sesuatu kes, tetapi juga untuk prinsip, dan saya benar-benar percaya suara saudara amat penting pada saat ini,” kata Liew dalam surat yang ditujukan kepada menteri digital itu pada 1 Dis.

Dalam keputusan mahkamah pada 5 Nov lalu, hakim Su Tiang Joo memerintahkan bayaran RM4 juta sebagai ganti rugi, serta RM1 juta sebagai ganti rugi tambahan akibat kelewatan tempoh mencari pastor berkenaan, dan RM1 juta lagi bagi tindakan tidak berperlembagaan yang diambil terhadapnya oleh defendan.

Hakim juga mengarahkan polis membuka semula siasatan terhadap kes ini dan melaporkan perkembangan tersebut kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Mahkamah turut memerintahkan pampasan berasingan untuk Liew, plaintif kedua dalam saman itu, iaitu RM2 juta bagi ganti rugi am dan tambahan atas tekanan mental, serta RM1 juta lagi sebagai ganti rugi teladan.

Keluarga Amri

Su juga membuat keputusan yang memihak kepada aktivis Amri Che Mat, yang diculik pada 2016.

Su memerintahkan isteri Amri, Norhayati Ariffin, menerima RM3 juta sebagai ganti rugi, iaitu RM2 juta bagi ganti rugi am dan RM1 juta bagi ganti rugi teladan.

“Saya mendapati terdapat kekurangan usaha untuk memaklumkan perkembangan kepada keluarga Amri dan pengkelasan salah terhadap kehilangan Amri, yang sepatutnya diklasifikasikan sebagai penculikan dan bukannya orang hilang,” kata hakim itu.

Keesokan harinya, AGC memfailkan rayuan, dengan Peguam Negara Dusuki Mokhtar menyatakan dia percaya Mahkamah Tinggi telah terkhilaf.

Tiada sokongan daripada kerajaan Madani

Sehubungan itu, Liew mempersoalkan tindakan AGC yag segera memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, walaupun alasan penuh kedua-dua keputusan belum dikeluarkan.

Dia juga menyatakan kekesalannya kerana agensi tersebut tidak menzahirkan sebarang kebimbangan mengenai keseriusan keputusan mahkamah yang mengaitkan penglibatan polis.

“Kami bimbang proses ini akan kembali kepada kelewatan dan ketidakpastian.

“Kerajaan Madani ini tidak tampil menyokong keputusan mahkamah dan tidak mengikut penemuan serta cadangan Laporan Pasukan Khas mereka sendiri,” katanya.

Dia seterusnya memohon Gobind agar membantu keluarganya dalam usaha menuntut keadilan, dengan mengeluarkan kenyataan awam dan membangkitkan isu ini di Parlimen.

Liew juga memohon mengadakan pertemuan dengan Gobind bagi berkongsi maklumat yang boleh membantu menteri itu membangkitkan isu tersebut di khalayak ramai, sambil menambah dia telah meminta peguamnya bersedia untuk pertemuan tersebut.

“Ini adalah perkara yang sangat peribadi dan menyakitkan bagi saya dan keluarga saya. Selepas bertahun-tahun, perintah Mahkamah Tinggi memberi kami harapan untuk penutupan kes.

“Keluarga saya dan saya dengan rendah hati memohon agar anda bergabung dengan suara mereka yang menuntut keadilan dan kebenaran,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS