PAS menyambut baik dan mengucapkan tahniah kepada AirAsia berhubung keputusan membenarkan kru kabin mengenakan pakaian menutup aurat bermula Ramadan akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu mencerminkan keberanian kepimpinan korporat AirAsia yang peka terhadap nilai masyarakat dan perlu dicontohi syarikat penerbangan lain di negara ini.
Dia berkata langkah itu bukan sahaja selaras dengan tuntutan beragama dan keberkatan mencari rezeki, malah mencerminkan realiti demografi negara di mana lebih 60 peratus rakyat Malaysia beragama Islam.
"Ia juga mencerminkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam konteks ekonomi moden, dasar inklusif yang menghormati keperluan agama dan budaya pekerja terbukti meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat.
"Banyak syarikat global telah bergerak ke arah faith-friendly workplace, dan langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan tersebut," katanya dalam kenyataan.

Semalam, AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam dasar pakaian seragam kru kabin yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab ketika bertugas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, berkata ini selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.
Kaji semula minuman keras
Menurut Tuan Ibrahim langkah ini wajar menjadi penanda aras kepada syarikat penerbangan negara lain untuk mempamerkan standard yang mencerminkan identiti nasional serta mementingkan nilai agama dan budaya.
"Pada masa yang sama, sudah tiba masanya industri menilai semula penyediaan minuman keras dalam penerbangan domestik.
"Selain pertimbangan keselamatan dan risiko gangguan dalam pesawat, negara-negara yang mempunyai norma sosial yang lebih konservatif telah pun mengehadkan atau menghentikan penyediaannya tanpa menjejaskan daya saing industri.
"Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan serupa, selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kehendak majoriti pengguna tempatan," kata Tuan Ibrahim.
