Keluarga tiga lelaki yang ditembak mati polis di Durian Tunggal, Melaka hari ini tampil menyerahkan sendiri bukti rakaman audio penuh insiden itu ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Penyerahan bukti audio rakaman itu dibuat selepas mendakwa tiada pegawai penyiasat menghubungi mereka walaupun laporan polis telah dibuat pihak keluarga.
Menurut peguam mewakili keluarga, N Surendran, audio yang dirakam isteri salah seorang mangsa itu merupakan bukti kritikal yang memaparkan detik-detik sebelum kejadian tembakan pada 24 Nov lalu.
“Rakaman ini tidak disunting, ia dirakam oleh Jayshree (salah seorang isteri mangsa) sendiri.
“Ia bukti yang amat penting. Tetapi keluarga terpaksa datang ke Bukit Aman sebab tidak ada siapa daripada pihak polis tang datang meminta rakaman audio (terbabit). Tidak ada komunikasi antara pihak polis dan keluarga tentang apa yang dah berlaku walaupun sudah dimaklumkan sejak Rabu,” kata Surendran kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.
Audio rakaman itu diserahkan kepada Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintenden Ta Kah Loon.

Surendran berkata hanya selepas keluarga membuat desakan di ibu pejabat polis, barulah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengambil bukti berkenaan.
Surendran turut mempersoalkan komitmen polis terhadap siasatan dan menyifatkan kegagalan mengambil bukti utama sebagai tidak masuk akal.
“Bagaimana siasatan mahu bermula kalau bukti paling penting pun tidak diambil?
“Keluarga yang terpaksa datang dari Perak dan negeri lain semata-mata kerana tiada siapa hubungi mereka. Jadi siasatan apa?” soalnya.
“Kami sangat kecewa. Tidak ada gunanya cakap siasatan telus kalau bukti paling penting pun tidak diambil,” tambahnya.
‘Kenapa tiada tindakan segera?’
Sementara itu, seorang lagi peguam keluarga mangsa Rajesh Nagarajan mendakwa bukti audio dan dapatan bedah siasat sudah cukup untuk polis merakam keterangan dan membuat tangkapan terhadap anggota yang bertanggungjawab.
“Mana tindakan segera? Kenapa belum ada tangkapan? Rakaman CCTV lebuhraya PLUS pun belum diperiksa.
“Keluarga kini melakukan siasatan sendiri kerana polis masih tidak memulakan apa-apa selepas 72 jam,” katanya.

Selain itu, Surendran turut mengesahkan rakaman audio yang diserahkan kepada pihak polis hari ini adalah asli dan dirakam sendiri oleh Jayshree yang merupakan isteri kepada mangsa, Logeswaran.
“Kita semua sudah dengar audio ini. Ia sendiri cukup memberi gambaran apa yang berlaku,” katanya.
Surendran juga menuntut kes ini disegerakan seiring dengan ketegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sering menegaskan Malaysia adalah negara hukum.
“PM sendiri suka kata ini negara hukum. Jadi, buktikan. Ambil tindakan segera berdasarkan keterangan yang telah diberi,” tegasnya.
Rabu lepas, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada 4.30 pagi itu didakwa menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Pihak polis mendakwa kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.
Bagaimanapun peguam keluarga menolak sepenuhnya versi polis yang mendakwa ketiga-tiga lelaki itu menyerang anggota polis dengan parang sehingga menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah.
Menurut peguam berdasarkan audio, ketiga-tiga individu itu telah berada dalam tahanan polis selama lebih 10 minit sebelum mereka ditembak dan dibunuh.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan telah mengarahkan PDRM melaksanakan siasatan secara telus, terbuka dan terperinci tanpa melindungi mana-mana pihak berhubung insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, serta kes kematian dalam tahanan di negara ini.
Anwar berkata Jemaah Menteri mengalu-alukan ketegasan PDRM dalam mengambil tindakan terhadap penjenayah, namun menegaskan setiap aduan berkaitan salah laku atau ketidakpatuhan prosedur mesti disiasat secara terbuka.
Perdana menteri juga telah meminta Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail menyampaikan laporan terperinci, telus, terbuka dan profesional kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berhubung kes itu.
Kelmarin MIC menghantar surat secara rasmi kepada perdana menteri bagi menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berhubung insiden tembakan berkenaan.
Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata melalui surat tersebut MIC menegaskan hanya siasatan bebas dapat memastikan kes itu dapat dirungkai dengan telus, profesional dan bebas daripada konflik kepentingan.
