Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam dakwa kes tembak tiga lelaki di Melaka mirip 'hukuman mati'

Peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati polis di Durian Tunggal, Melaka mendakwa kematian mereka menunjukkan unsur ‘execution-style killing’ atau ‘hukum mati’, berdasarkan bukti yang diterima pihak keluarga.

Peguam, Rajesh Nagarajan berkata, maklumat itu diterima daripada pakar patologi Hospital Besar Melaka, yang menurutnya memaklumkan bahawa salah seorang mangsa ditembak dari sudut atas ke bawah dengan peluru memasuki hidung dan mengenai jantung.

“Pakar patologi maklumkan sudut tembakan adalah dari atas ke bawah. Kalau tembak dari depan, peluru masuk dan keluar. Ini masuk dari hidung dan turun ke jantung menunjukkan mangsa melutut dan ditembak dari atas.

“Ini hanya berlaku jika seseorang sedang melutut dan ditembak dari atas. Itu gambaran ‘execution style killing’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, dia bersama ahli keluarga tiga mangsa tembakan berkenaan hadir ke IPD tersebut untuk menyerahkan audio yang dirakam salah seorang isteri mangsa ketika kejadian dikatkan berlaku kepada pihak polis.

Rajesh berkata dua lagi mangsa turut menunjukkan corak luka tembakan dari sudut atas ke bawah, walaupun titik masuk peluru berbeza.

Rabu lepas, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kejadian pada 4.30 pagi itu didakwa menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Bagaimanapun peguam keluarga menolak sepenuhnya versi polis yang mendakwa ketiga-tiga lelaki itu menyerang anggota polis dengan parang.

Menurut peguam, berdasarkan audio yang dirakam menunjukkan ketiga-tiga individu itu berada dalam tahanan polis selama lebih 10 minit sebelum mereka ditembak dan dibunuh.

Sementara itu, seorang lagi peguam keluarga mangsa, Latheefa Koya mempersoalkan kewajaran polis menggunakan kuasa untuk menembak mati atas alasan mangsa dipercayai penjenayah.

“Sejak bila polis ada kuasa untuk menghukum mati berdasarkan apa yang mereka sendiri dakwa?” ujarnya, menyifatkan alasan seperti “mangsa adalah perompak” atau “anggota geng” sebagai naratif berulang setiap kali berlaku kes tembak mati.

Dia merujuk kes-kes terdahulu termasuk kes pembunuhan seorang remaja, Aminulrasyid Amzah di Shah Alam sebagai contoh insiden tembakan yang menimbulkan keraguan awam.

Kenapa siasatan bawah Seksyen 307?

Selain itu Latheefa turut mempersoalkan tindakan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) membuka siasatan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh), sedangkan tiga mangsa terbabit telah ditembak mati.

“307 itu apa? Percubaan membunuh. Jadi siapa yang cuba membunuh? Mangsa yang dah mati cuba bunuh polis?" soalnya.

“Kenapa bukan Seksyen 302, kes pembunuhan?" soalnya.

Latheefa turut menegaskan bahawa keluarga mangsa masih bergelut dengan kesedihan, namun terpaksa pula berdepan tuduhan bahawa si mati adalah penjenayah.

“Macam mana kita tahu dia penjahat? Ada siasatan? Ada dakwaan? Ada dibawa ke mahkamah?.

"Dalam negara hukum, seseorang hanya dihukum selepas dibicarakan dan disabitkan bersalah. Mana keperimanusiaan?” tegasnya.

Sehubungan itu dia sekali lagi menuntut agar siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 dan mendesak Peguam Negara serta kerajaan bertindak mengikut undang-undang tanpa kompromi demi memastikan keadilan kepada semua pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS