Tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat menunjukkan kerajaan tidak mengambil tanggungjawab terhadap isu itu.
Bercakap pada sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini, peguam Gurdial Singh Nijar – yang mewakili keluarga Koh dalam saman tersebut – berkata rayuan itu seolah-olah bermaksud kerajaan enggan mengakui bahawa mereka bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian terhadap apa yang telah diputuskan oleh pelbagai institusi dan badan sebelum ini.
“Selepas kami menang dalam saman sivil itu, mereka (AGC) terus memfailkan rayuan, (yang) bermakna mereka enggan mengakui ada tanggungjawab yang terletak pada mereka untuk mencari penyelesaian terhadap sesuatu yang begitu jelas telah diputuskan oleh berbagai institusi dan badan sebelum ini.
“Tagline Madani yang kononnya berasaskan belas ihsan, keadilan dan kebenaran bunyinya memang indah — ketika ia diumumkan kami semua teruja — tetapi kini kita tahu realitinya sangat berbeza,” kata peguam kanan itu.

Dia berhujah sebelum rayuan AGC dibuat, pihak kerajaan sendiri telah menghalang sebarang bentuk keadilan terhadap mangsa kehilangan paksa itu.
“Pada setiap peringkat, kerajaan menghalang pencarian kebenaran — keadilan yang sepatutnya ditegakkan telah disekat oleh negara sendiri apabila polis dan AGC, yang sepatutnya bertindak demi kepentingan awam, subverted (mensabotaj) keseluruhan proses (keadilan),” katanya.
“Kerajaan sendiri 'merobek' semua perlindungan yang kita ada dalam Perlembagaan Persekutuan — mereka 'mengoyakkan' Perlembagaan dan merosakkan semua proses perlindungan di bawah Kanun Prosedur Jenayah,” tambah Gurdial.
Dia memberi amaran bahawa selagi kerajaan dan agensi penguatkuasaan enggan mengakui peranan mereka dalam isu itu, kehilangan paksa yang dikaitkan dengan pihak berkuasa akan terus berlaku dalam bentuk yang “lebih canggih”.

“Walaupun bagus untuk kita mempunyai undang-undang dan inkuiri Suhakam tentang kehilangan paksa namun selagi kerajaan dan agensi tidak dipertanggungjawabkan, saya khuatir penculikan akan berterusan.
“Sehingga kerajaan mengakui (tugasnya) dan mengambil tanggungjawab, segala usaha gigih keluarga dan mahkamah hanya akan tinggal sebagai dead letter (sia-sia, wujud atas kertas tetapi tidak dikuatkuasakan),” katanya pada forum awam bertajuk Justice for the Disappeared di auditorium Majlis Peguam hari ini, yang dianjurkan oleh Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam).
Amri, seorang yang didakwa penganut dan penyebar ajaran Syiah hilang pada 24 Nov 2016 di Kangar, Perlis. Isterinya memberi keterangan pada 12 Mei 2018, seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Shamzaini Daud, memberitahu bahawa bahagian itu bertanggungjawab terhadap penculikan tersebut.
Setahun kemudian, Koh diculik secara terang-terangan di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya ketika memandu ke rumah rakannya. Rakaman CCTV menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga SUV hitam terlibat dalam operasi itu.

Pada 2019, Suhakam memutuskan bahawa kedua-dua Koh dan Amri merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman.
Pada 5 Nov lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Su Tiang Joo, memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan Amri.
Sehari kemudian, Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengesahkan AGC akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, dengan alasan keputusan itu tidak berdasarkan prinsip kehakiman yang mapan kerana hakim “terkhilaf dalam dapatan fakta dan undang-undang yang terpakai”.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kemudian memberitahu Dewan Rakyat bahawa rayuan itu tidak harus dilihat sebagai kerajaan memandang ringan isu nyawa, hak atau kebebasan.

Sebaliknya, katanya, isu berkenaan terletak pada “sifat” perintah mahkamah, merujuk kepada arahan Su supaya kerajaan membayar RM10,000 sehari ke dalam akaun amanah untuk Koh sehingga pastor itu ditemui.
Bayaran itu dikira bermula 13 Feb 2017, tarikh penculikan Koh — kini mencecah kira-kira RM32 juta.
Selain bayaran RM10,000 sehari itu, Su turut memberikan RM4 juta ganti rugi kepada Koh, RM1 juta ganti rugi teruk kerana kelewatan berpanjangan mengesannya dan RM1 juta lagi bagi tindakan tidak mengikut Perlembagaan oleh pihak defendan.
Isteri Koh, Susanna Liew — plaintif kedua — diberi RM2 juta ganti rugi umum dan teruk atas tekanan mental, serta RM1 juta ganti rugi teladan.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin, menerima RM3 juta ganti rugi, merangkumi RM2 juta ganti rugi umum dan RM1 juta ganti rugi teladan. Mahkamah turut mengarahkan RM14,457.52 ganti rugi khas dan RM250,000 kos kepada plaintif.
Mengulas perbezaan pampasan dalam kedua-dua kes itu, peguam bersama Gurdial, Jerald Gomez (gambar bawah) berkata terdapat perbezaan dalam cara kes-kes itu dibentangkan sehingga membawa kepada jumlah ganti rugi yang berbeza.
Jelasnya, dalam saman yang dibawa oleh Norhayati, Amri tidak dinamakan sebagai plaintif — berbeza dengan tindakan Susanna, dengan Koh dinamakan sebagai plaintif pertama.
“Undang-undang mengiktiraf individu sebagai entiti berasingan. Liew menyaman (defendan) atas sebab tindakan yang berasingan — iaitu tekanan dan trauma emosinya — dan itulah ganti rugi yang diberikan mahkamah.

“Koh menyaman atas kehilangan kebebasan dan pelanggaran hak hidupnya, sebab itu jumlah ganti rugi besar diberikan kepada Koh untuk disimpan dalam amanah,” kata Jerald.
Mengulangi pandangan sama, peguam Norhayati, Surendra Ananth menasihatkan agar keputusan Su tidak disalahertikan kerana hakim telah menjelaskan dalam alasan penghakimannya bahawa dia terikat dengan cara pihak-pihak membentangkan kes mereka.
“Hakim tidak boleh mengubah bentuk kes yang kita bentangkan. Perbezaan jumlah pampasan tiada kena-mengena dengan kaum — tolong jangan lempar persepsi sedemikian terhadap hakim,” kata Surendra.
Sebelum ini, Presiden Putra, Ibrahim Ali mengkritik pampasan kepada keluarga Koh dan Amri sambil menyifatkannya sebagai “menjejaskan maruah keadilan negara," meskipun kedua-dua kes itu diputuskan sebagai kegagalan perlindungan oleh negara.

Dia memberi amaran bahawa membiarkan keputusan itu tidak dicabar akan menghantar “mesej berbahaya” bahawa nilai nyawa rakyat Malaysia mungkin berbeza mengikut agama atau profil.
Surendra juga berkata bahawa kekecewaan awam terhadap respons kerajaan berhubung kehilangan paksa dan isu hak asasi lain mencerminkan krisis kemahuan politik yang lebih besar.
“Pada saya, akhirnya ia berkait kemahuan politik. Kita semua tahu siapa pelakunya — soalnya sama ada mereka mahu bertindak atau tidak untuk melakukan perkara yang betul,” katanya.
Katanya walaupun dia menyokong PH pada pilihan raya lalu kerana janji reformasi, jaminan itu kini hambar apabila kerajaan kelihatan sambil lewa dalam isu hak asasi.
“Kini kita ada keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan segala-galanya — ini peluang untuk buat perkara yang betul, tetapi malangnya kerajaan ini, sama saja seperti kerajaan sebelum ini,” katanya.
“Satu-satunya cara mengajar mereka adalah melalui peti undi. Isyarat jelas perlu dihantar bahawa kerajaan akan dihukum jika mereka tidak bertindak.”
