Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: PM 'abai' SOP lantik hakim, M'sia condong ke kuku besi

Peguam kanan Gurdial Singh Nijar memberi amaran bahawa tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa mengabaikan prosedur pelantikan kehakiman yang telah ditetapkan menunjukkan ancaman yang semakin ketara terhadap kedaulatan undang-undang.

Berucap pada sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini, Gurdial mengkritik perdana menteri kerana didakwa mengenepikan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), badan yang ditubuhkan bagi memastikan meritokrasi dan integriti calon hakim sebelum pelantikan atau kenaikan pangkat.

Peguam kanan itu menegaskan JAC diwujudkan “bagi menilai kualiti hakim dari pelbagai sudut untuk memastikan individu yang tepat dan berwibawa dilantik.”

“Tetapi di bawah kerajaan Madani kita yang dikasihi ini, proses tersebut dinafikan. Contohnya, (bekas Hakim Besar Malaya) Hasnah Hashim – beliau dilantik tanpa melalui JAC.

Peguam kanan Gurdial Singh Nijar.

“Beliau dilantik begitu sahaja – perdana menteri mencadangkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong dan pelantikan dibuat… Bila perdana menteri cadang nama, dia fikir… mereka mengambil sikap seolah-olah boleh melakukan apa saja yang mereka mahu,” kata Gurdial.

Hasnah memegang jawatan Hakim Besar Malaya sejak 12 Nov tahun lalu. Dia mencapai usia persaraan wajib hakim, iaitu 66 tahun, pada 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya dilanjutkan enam bulan sehingga 15 Nov. Hakim Mahkamah Rayuan Hashim Hamzah kini mengangkat sumpah sebagai penggantinya.

Sebelum ini, sembilan ahli parlimen PKR mengemukakan senarai panjang isu tertunggak untuk dipertimbangkan oleh Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang turut berperanan sebagai pengerusi JAC.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah memastikan pelantikan kehakiman mengikuti proses sah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta JAC 2009, supaya pelantikan dibuat berdasarkan merit dan kekananan.

Mereka juga berhujah perdana menteri wajar diwajibkan memberi alasan rasmi, sama ada kepada JAC atau parlimen, jika menolak calon yang ditapis suruhanjaya tersebut.

Hari ini, Gurdial menyamakan tindakan kerajaan yang didakwa mengenepikan JAC dengan kelakuan pemimpin politik asing yang mengelak mekanisme institusi untuk menggunakan kuasa budi bicara secara tidak sah.

“Ini nampaknya menjadi trend. Trump pun buat begitu,” katanya merujuk kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

“Seorang warga Afghanistan tembak dua pengawal dan kini dia (Trump) kata 170,000 warga Afghanistan mesti keluar dari negara itu. Tiada proses undang-undang mengenai bagaimana mereka keluar – tangkap, sumbat dalam van dan hantar pergi. Tiada proses.”

Peguam itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peserta forum yang bertanya bagaimana peguam negara boleh dipertanggungjawabkan dalam kes pelanggaran hak asasi.

Forum bertajuk “Justice for the Disappeared” itu anjuran Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam) dan berlangsung di auditorium Majlis Peguam, membincangkan kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat.

Menegaskan keperluan mematuhi proses undang-undang dalam semua kes, Gurdial – yang mewakili isteri Koh dalam saman terhadap kerajaan – menyebut prinsip kedaulatan undang-undang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika anda rasa Koh atau Amri melakukan sesuatu yang salah dari sudut pandangan anda, anda wajib ikut proses… Jika anda rasa seseorang mengajak orang Islam murtad, yang dilarang oleh Perlembagaan, anda mesti ikut proses.

“Anda tidak boleh dapatkan Mais atau Jais untuk melakukan serbuan, atau letak peluru dalam peti surat rumah Koh, atau menculik dia,” katanya.

Dia turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend dalam sedekad lalu, apabila undang-undang memberi lebih banyak kuasa kepada kerajaan untuk mengehadkan hak individu – selalunya dengan memasukkan “klausa penyingkiran” yang menghalang semakan kehakiman.

“Mereka menggubal undang-undang yang semakin menafikan hak individu… ini sedang berlaku di parlimen pada pelbagai peringkat.

“Terdapat bahaya yang sangat nyata bahawa negara ini sedang menuju ke arah ‘demokrasi autoritarian’, yang akan menjejaskan hak rakyat, bukan hanya dalam kes Koh dan Amri. Kita perlu melindungi diri daripada hal ini,” katanya.

Amri, yang didakwa penganut dan penyebar ajaran Syiah, hilang pada 24 Nov 2016 di Kangar, Perlis. Isterinya memberi keterangan bahawa pada 12 Mei 2018, seorang pegawai Cawangan Khas Perlis, Shamzaini Daud, memaklumkan jabatan itu bertanggungjawab terhadap penculikan tersebut.

Setahun selepas kehilangan Amri, Koh yang juga didakwa menyebarkan agama kepada orang Islam, diculik secara terang-terangan di Petaling Jaya. Rakaman CCTV menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga SUV hitam terlibat dalam operasi itu.

Pada 2019, Suhakam memutuskan kedua-dua mereka mangsa “kehilangan paksa” oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman.

Pada 5 Nov, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Su Tiang Joo mengesahkan dapatan Suhakam, memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan Amri.

Turut hadir di forum hari ini ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mah Weng Kwai, yang mempengerusikan inkuiri Suhakam dalam kedua-dua kes itu.

Mengulas syor Suhakam, Mah menegaskan pihak berkuasa harus menghormati kebebasan beragama sebagai hak asasi seperti termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Dia turut menggesa pemisahan jelas antara tugas polis dan pihak berkuasa agama, memandangkan kedua-dua kes menunjukkan pola yang sama.

“Melihat kepada fakta kes Koh dan Amri, jelas ada kaitan antara kedua-duanya: faktor agama. Sesiapa yang kata ia tiada kaitan dengan agama sedang menutup mata.

“Saya tak tahu sejak bila polis kita mula menguatkuasakan moral dan agama… tiba-tiba anda lihat Cawangan Khas memberi ceramah dan pelbagai kenyataan mengenai aktiviti keagamaan,” katanya.

Dia berkata walaupun tindakan sedemikian sering disandarkan kepada “kebimbangan keselamatan”, perlu ada garis pemisah jelas antara polis dan pihak berkuasa agama bagi menyelesaikan isu berkaitan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS