Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo bersetuju untuk bertemu isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew, susulan rayuan wanita itu untuk mendapatkan sokongannya.
Liew sebelum ini memohon sokongan menteri digital itu pada 1 Disember, berikutan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati kerajaan serta polis bertanggungjawab atas kehilangan Koh.
Apabila dihubungi, pejabat Gobind memaklumkan mereka sedang mengatur pertemuan bersama Liew dan peguamnya pada “awal minggu depan”.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Liew menghantar surat kepada Gobind bagi memohon pertemuan untuk berkongsi maklumat yang boleh membantunya membangkitkan isu berkenaan di Parlimen atau dalam wacana awam.

“Saya mengadu kepada anda kerana anda ialah suara yang memperjuangkan ketelusan dan maruah manusia, seperti mendiang ayah anda, yang kami sangat hargai.
“Saya membaca bagaimana anda bersuara bukan sahaja untuk kes, tetapi untuk prinsip dan saya benar-benar percaya suara anda penting saat ini,” kata Liew dalam surat kepada Gobind.
Koh diculik
Pada 2017, Koh diculik secara terang-terangan di Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya ketika memandu ke rumah rakannya. Rakaman CCTV yang dipercayai merakam kejadian itu menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga SUV hitam terlibat dalam operasi tersebut.

Setahun sebelum itu, aktivis sosial Amri Che Mat — didakwa penganut Syiah dan penyebar fahaman tersebut — hilang pada 24 Nov 2016 di Kangar, Perlis. Isterinya memberi keterangan bahawa pada 12 Mei 2018, seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Perlis, Shamzaini Daud, memberitahu bahawa bahagian itu bertanggungjawab menculik Amri.
Dalam keputusannya pada 5 Nov, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Su Tiang Joo mengekalkan dapatan siasatan Suhakam 2019 yang menyimpulkan bahawa Koh dan Amri mangsa kehilangan paksa yang dilakukan anggota Cawangan Khas Bukit Aman.
Peguam Negara Dusuki Mokhtar kemudian mengesahkan AGC akan memfailkan rayuan, menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu “tidak berasaskan prinsip kehakiman yang ditetapkan” kerana hakim didakwa “tersilap dalam dapatan fakta dan undang-undang”.
Mahu ‘jelaskan keadaan’
Ketika ditemui di satu forum anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur hari ini, Liew berkata dia menaruh harapan agar dapat bertemu Gobind kerana ahli parlimen itu dikenali sebagai pembela hak asasi yang lantang terhadap pelanggaran kebebasan individu.
Dia juga memberitahu Malaysiakini bahawa meskipun sudah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bulan lalu, dia masih belum menerima sebarang maklum balas.
“Keluarga kami kecewa kerana dia (Saifuddin) tidak tampil dan tidak mahu mendengar suara kami. dia telah mendengar sisi pandangan AGC, tetapi dia juga perlu menyokong kami.

“Kami juga ada beberapa soalan kepadanya, terutama mengenai penyiasatan semula (kes kehilangan Koh dan Amri), seperti siapa penolong pesuruhjaya yang mengetuai siasatan dan siapa lagi anggota pasukan itu,” katanya.
Atas sebab itu, katanya, pertemuan dengan Saifuddin membantu “menjelaskan keadaan”.
Ayob Khan ketuai siasatan
Dalam surat bertarikh 12 Nov kepada Saifuddin, Liew berterima kasih kepada menteri itu kerana mengesahkan polis akan mematuhi perintah Mahkamah Tinggi untuk membuka semula siasatan dan mendedahkan keberadaan Koh.
Namun, dia menegaskan bahawa meminta polis “menyiasat diri sendiri” hanya munasabah jika ia dilakukan oleh individu berintegriti tinggi yang akan menegakkan kebenaran tanpa mengira siapa yang disiasat.
Liew turut mencadangkan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai pilihan keluarga untuk mengetuai siasatan.

“(Ayob) dikenali orang ramai sebagai seorang yang berintegriti dan jujur, serta kami yakin dia tidak akan gentar untuk melakukan apa yang betul meskipun melibatkan pegawai kanan polis dalam penculikan itu.
“Pelantikan (Ayob), yang terkenal dengan pengalaman siasatan luas dan pendiriannya yang tegas terhadap disiplin dan integriti dalam pasukan, akan memberi isyarat jelas bahawa siasatan dilakukan secara serius, bebas, menyeluruh dan berwibawa,” katanya.
Dalam surat susulan bertarikh 28 Nov, selepas menerima “tiada makluman atau maklum balas” daripada Saifuddin atau pejabatnya, Liew mengulangi kebimbangan bahawa jika struktur penyiasatan tidak berubah, ia berisiko menjadi “sekadar latihan tandakan kotak dengan keputusan telah ditetapkan”.
“YB, saya dan keluarga sudah menanggung hampir sembilan tahun kesakitan, kesunyian dan ketidakpastian sejak 13 Feb 2017.
“Kami tidak mencari konflik. Kami mencari jawapan. Kami mencari keadilan dan hak asasi untuk mengetahui kebenaran, supaya tiada keluarga lain melalui apa yang sudah kami alami,” katanya.
Malaysiakini menghubungi Saifuddin untuk ulasan namun belum menerima jawapan.
‘Amat menyeksakan’
Bercakap pada forum bertajuk “Justice for the Disappeared” itu, Liew berkata dia dan keluarganya masih mengalami simptom gangguan tekanan pascatrauma (PTSD).
“Sesi soal siasat yang kuat dan kerap selepas (penculikan Koh) membuatkan saya rasa seperti penjenayah, bukan mangsa. Saya tidak layak diperlakukan begitu,” katanya dengan nada sebak.
“Anak perempuan saya mengalami depresi dan serangan panik, tanda bagaimana dia masih terjejas secara fizikal akibat kejadian itu. Kami berdua menjalani sesi kaunseling untuk menangani tekanan emosi dan mental akibat penculikan serta cara polis mengendalikan kes.”
Katanya selagi keberadaan Koh tidak diketahui, mereka tidak dapat mencapai penyudah (closure), menyifatkan keadaan itu sebagai “sangat menyeksakan”.
“(Jika seseorang meninggal), anda boleh ucap selamat tinggal dan adakan pengebumian, tetapi bagi kami, sukar untuk berkabung — kami tidak tahu sama ada (Koh) hidup atau mati.
“Di mana pun dia, saya tahu dia bersama Tuhan. Kami akan bertemu suatu hari nanti di syurga, di mana tiada lagi air mata, penderitaan atau kesakitan,” katanya.

Turut meluahkan perkara sama, isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu hadirin bagaimana dia dan suaminya berkahwin pada 1997 dan kini memiliki empat anak perempuan — seorang sudah berkeluarga manakala seorang lagi akan tampat pengajian tinggi hari ini.
Dia berkata meskipun Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa suaminya ialah mangsa kehilangan paksa, kerajaan masih “membisu” mengenai beberapa persoalan penting termasuk lokasi Amri dan siapa yang menyebabkan kehilangannya.
“Sampai bila mereka yang bertanggungjawab akan bebas tanpa keadilan?
“Kenapa mereka (Koh dan Amri) diculik begitu? Adakah mereka masih hidup? Di mana mereka?” soalnya.

“Siapa dalam polis dan kerajaan yang membantu atau menutup mata dan membenarkan jenayah ini berlaku? Bila mereka akan didakwa?
“Apa tindakan disiplin terhadap pegawai polis yang terlibat? Siapa cuai dalam menyiasat kes Amri dan Koh,” soalnya.
Dia menegaskan bahawa sehingga kerajaan menjawab persoalan-persoalan ini, dia dan keluarga Koh akan meneruskan perjuangan menuntut keadilan.
