Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arahan siasatan telus PM petanda kegagalan sistemik, kata peguam

Seruan perdana menteri supaya polis menjalankan siasatan telus berhubung insiden tembakan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka menunjukkan wujud kegagalan sistemik dalam pasukan itu yang masih tidak ditangani, dakwa peguam, Rajesh Nagarajan.

Walaupun menghormati pandangan diberikan Anwar Ibrahim itu, katanya, arahan tersebut sebenarnya tidak perlu dan “agak mengelirukan” kerana setiap siasatan tembakan polis sepatutnya memang telus.

“Kalau kerajaan rasa perlu ingatkan polis berkali-kali supaya telus, itu menunjukkan kegagalan sistemik yang masih belum ditangani,” katanya kepada Malaysiakini.

Rajesh ialah salah seorang peguam mewakili keluarga mangsa.

Semalam, keluarga mangsa menyerahkan sendiri rakaman audio penuh kejadian kepada Bukit Aman. Keluarga terbabit juga mendakwa tiada pegawai penyiasat yang menghubungi mereka untuk mendapatkan rakaman tersebut walaupun laporan polis sudah dibuat.

Seorang lagi peguam, N Surendran, berkata audio yang dirakam isteri salah seorang yang ditembak itu merupakan bukti penting merakam detik terakhir sebelum ketiga-tiga suspek penjenayah terbabit ditembak mati pada 24 Nov lalu.

“Rakaman ini tak disunting. Ia dirakam sendiri oleh Jayashree (isteri salah seorang mangsa).

“Ia sangat penting, tetapi keluarga ini terpaksa datang ke Bukit Aman sebab tiada pegawai polis datang meminta rakaman ini.

“Tiada juga komunikasi di antara polis dan keluarga tentang apa yang berlaku, walaupun mereka dimaklumkan sejak Rabu lepas,” kata Surendran kepada wartawan di luar Bukit Aman.

Rajesh Nagarajan

Kelmarin Anwar berkata dia mengarahkan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail menjalankan siasatan kes tersebut secara telus dan tiada sesiapa yang dilindungi.

Insiden tersebut melibatkan polis yang didakwa terpaksa melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki berumur antara 24 dan 29 tahun selepas salah seorang suspek kes rompak dan samun itu menghayun parang ke arah anggota keselamatan.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi di sebuah kawasan ladang kelapa sawit itu didakwa menyebabkan seorang koperal berusia awal 30-an mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.

Bagaimanapun, peguam keluarga mangsa menolak sepenuhnya versi polis.

Tuntut pendakwaan jika tindakan salah

Menurut mereka, rakaman audio menunjukkan tiga lelaki itu sudah berada dalam tahanan polis lebih 10 minit sebelum ditembak mati.

Mengulas kenyataan itu, Rajesh berkata, orang awam menuntut akauntabiliti daripada kerajaan dan bukannya kenyataan politik.

Rajesh berkata, masalah selama ini ialah ketiadaan tindakan diambil, bukannya berkait arahan.

Walaupun Bukit Aman mengambil alih siasatan, katanya, berkata rekod menunjukkan kes tembakan polis di Malaysia jarang berakhir dengan pertanggungjawaban.

“Tindak balas institusi biasanya ialah mempertahankan diri. Persepsi awam – dan rekodnya sendiri – tidak memberi keyakinan bahawa hasil siasatan benar-benar bebas atau berkecuali.

“Keutamaan sekarang bukan laporan dalaman lagi. Isunya ialah sama ada anggota terlibat menggunakan kuasa maut secara salah atau tidak, dan jika ya, langkah seterusnya mestilah pendakwaan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI), Rajesh menjawab idea itu mungkin tidak membantu kerana ia biasanya mengambil masa yang panjang.

Sesebuah suruhanjaya juga, kata Rajesh, biasanya hanya mengemukakan cadangan bukannya membawa kepada pendakwaan.

“Keluarga bukan minta suruhanjaya atau laporan lain; mereka minta keadilan.

“Kalau ada bukti pembunuhan salah, tindakan yang betul di sisi undang-undang bukanlah menubuhkan RCI, tapi mendakwa anggota terlibat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

“Apa-apa saja selain pilihan itu hanya melengah atau mencairkan akauntabiliti,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan bukti sedia ada, jelas lelaki-lelaki itu berdepan “gaya hukuman mati.”

“Kaedah undang-undang sangat jelas - anggota polis yang terlibat mesti ditangkap, disiasat sebagai suspek jenayah, dan didakwa.

“Kita tak perlukan siasatan kosmetik lagi. Kita perlukan komitmen kepada kedaulatan undang-undang, dan ia bermaksud jika pembunuhan itu salah, pelakunya mesti berdepan seksyen 302,” kata Rajesh.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS