KATA ADUN | Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian pokok tumbang melibatkan seorang penunggang p-hailing serta mencederakan mangsa lain semalam.
Namun yang lebih penting ialah kekecewaan mendalam terhadap kegagalan berulang kerajaan negeri menangani isu yang sepatutnya sudah lama diselesaikan.
Kejadian pokok tumbang di Melaka bukan sesuatu yang baru. Tahun demi tahun, pelbagai insiden direkodkan, melibatkan kerosakan harta benda, kecederaan, bahkan kehilangan nyawa.
Tetapi sungguh malang, tiada apa-apa yang berubah selain kenyataan “cuaca buruk” yang sudah menjadi skrip rasmi pihak kerajaan setiap kali tragedi berlaku.
Ogos lalu sepasang adik-beradik yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan melibatkan pokok tumbang di Lebuh AMJ di sekitar Kandang. Seorang daripadanya meninggal dunia manakala adiknya cedera parah.
Lebih menyedihkan, kerajaan negeri pernah menubuhkan jawatankuasa cantasan pokok dengan penuh gah — namun hasilnya? Rakyat masih bertanya sama ada jawatankuasa itu benar-benar wujud atau sekadar wujud di atas kertas untuk tujuan publisiti.
Kenyataan bahawa “cuaca buruk” menjadi punca utama kejadian tidak lagi memadai.
Sebagai contoh kejadian terbaru berlaku di saat cuaca sekitar dalam keadaan sangat baik.
Kajian serta laporan praktikal dalam bidang arborikultur menyatakan bahawa pokok tumbang biasanya berkait dengan faktor lain yang boleh dielakkan, termasuk:
1: Struktur akar yang lemah akibat pembangunan dan binaan berhampiran
Kerja-kerja infrastruktur, turapan jalan, pemasangan utiliti bawah tanah, atau penambahan struktur keras sering merosakkan sistem akar pokok secara ketara.
Pokok mungkin kelihatan teguh dari luar, tetapi akarnya telah reput, terpotong, atau tidak stabil.
2: Lokasi penanaman pokok yang tidak sesuai
Banyak pokok besar ditanam terlalu hampir dengan jalan raya, kawasan parkir, kabel utiliti, atau kawasan sempit yang tidak mampu menampung pertumbuhan akar jangka panjang.
Ini meningkatkan risiko tumbang terutama semasa hujan
3: Penyeliaan dan penilaian tidak menyeluruh
Cantasan hanya dibuat pada pokok milik pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan, sedangkan pokok bahaya yang menjadi milik pihak swasta, persendirian atau entiti lain langsung tidak diambil tindakan, biarpun jelas berisiko kepada pengguna jalan.
4: Cantasan yang tidak selektif dan tidak mengikut piawaian arborikultur
Sebahagian pokok dibiarkan terlalu tinggi, terlalu rimbun, atau menghala ke jalan raya tanpa rawatan berkala. Ada pula pokok yang dicantas separuh, menyebabkan struktur menjadi lebih tidak stabil.
Kerajaan Melaka mesti menjalankan audit menyeluruh terhadap semua pokok bersaiz besar dan berpotensi risiko, terutama di sepanjang jalan utama, kawasan sekolah, pusat bandar, taman perumahan, kawasan warisan dan lokasi tumpuan awam.
Tiada lagi pilih kasih dalam cantasan dan tebangan.
Jika pokok itu berbahaya, ia wajib dicantas atau ditebang, tanpa mengira siapa pemiliknya.
Kalau rumput liar yang tumbuh di tepi jalan mampu dipotong, kenapa tidak pokok besar yang tumbuh liar? Ini lebih berbahaya!
Laporan berkala jawatankuasa cantasan pokok mesti didedahkan kepada umum. Jika ia benar-benar berfungsi, tunjukkan datanya. Jika tidak, hentikan sandiwara.
Kerajaan perlu menetapkan garis panduan baru yang mewajibkan penilaian pokok sebelum dan selepas projek pembangunan bagi mengelakkan akar rosak akibat kerja utiliti.
Kemalangan semalam bukanlah dirancang. Ia bukan “bencana alam luar jangka”.
Ia adalah kegagalan sistemik yang berpunca daripada pengurusan pokok yang lemah, tidak menyeluruh dan tidak tekal.
Berapa banyak lagi pokok perlu tumbang? Berapa banyak lagi rumah perlu rosak? Berapa banyak lagi nyawa perlu melayang sebelum kerajaan negeri akhirnya mengaku terdapat masalah besar dalam pengurusan pokok di Melaka?
Kerajaan negeri mesti berhenti memberi alasan sebaliknya mula bekerja dengan profesional. Keselamatan rakyat bukan isu yang boleh disapu di bawah karpet setiap kali ribut datang.
DR MOHD YADZIL YAAKUB ialah ketua pembangkang di DUN Melaka dan Adun Bemban.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
𝐘𝐁 𝐃𝐑 𝐌𝐎𝐇𝐃 𝐘𝐀𝐃𝐙𝐈𝐋 𝐘𝐀𝐀𝐊𝐔𝐁
𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐍𝐆
𝐃𝐄𝐖𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀
𝟕 𝐃𝐈𝐒𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓
