ULASAN SUKAN | Menjelang Selasa ini fokus kita akan terarah penuh kepada aksi dan upacara pembukaan Sukan SEA 2025 di Thailand. Saat-saat ghairah dan mendebarkan - seperti dirasai pada edisi lalu - kembali semula mengamit minda setiap rakyat Malaysia.
Jika dikupas, ada sesuatu yang istimewa mengenai temasya sukan dwitahunan ini dengan kita semua. Semacam ada satu pertalian yang menyatukan masyarakat kita sepanjang tempoh saingan berkenaan.
Kita pun tahu, bukan semua orang yang meminati sukan tetapi apabila setiap kali edisi baru muncul, majoriti komuniti kita akan mengambil berat mahu melihat atlet negara berjaya.
Peminat tanah air juga mahu mendapatkan ‘good feeling’ sepanjang tempoh saingan. Mereka mengerti Sukan SEA dapat menawarkan banyak pingat emas.
Ya, hakikat sebenarnya, emas juga dikenang orang.
Ia juga tidak hanya terarah kepada faktor keajaiban atau magis, umpamanya. Ini lebih kepada mendapatkan kepuasan tersendiri. Sukan juga seperti tanggungjawab bersama peminat demi martabat negara.
Ringkasnya, temasya serantau ini dirasai sentiasa dekat di hati rakyat.
Radio, TV sandaran utama dulu
Senario ini, khasnya pernah disaksikan pada era lewat 1970-an sehingga 1990-an. Topik itu menjadi bahan perbualan hangat dalam kalangan rakan-rakan sepejabat atau jiran di kawasan perkampungan yang bertukar-tukar pandangan. Ia berlaku hampir setiap hari.
Ini kerana pada era berkenaan, teknologi maklumat agak terhad. Cuma ada radio dan televisyen sebagai sandaran utama untuk kita mengikuti pencapaian semasa atlet negara dalam cabang sukan masing-masing.
Pada hari berikutnya pula, akhbar arus perdana laris dijual bagai goreng pisang panas. Puluhan ribu naskah menjadi buruan peminat tegar pada awal pagi untuk mendapatkan bahan cerita tambahan mengenai atlet negara.
Kandungan lain juga membabitkan keputusan secara terperinci membabitkan atlet negara dan pingat yang dimenangi. Begitu juga informasi mengenai kedudukan pingat semasa negara.

Peminat kita juga bersifat bertimbang rasa sedikit. Mereka tidak pernah bersuara mahukan kontinjen negara untuk muncul juara keseluruhan jika beraksi di luar negara.
Ini satu sikap realistik yang perlu dihargai.
Ia berbeza jika diukur dengan sambutan rakyat ketika aksi di Sukan Asia atau pun Sukan Olimpik, umpamanya.
Hal ini kerana kita sedia menerima hakikat betapa kemampuan yang terbatas pada atlet negara pada tahap ini. Peminat akur majoriti atlet kita bukan tandingan kepada lawan yang lebih kuat di dua temasya sukan terbesar itu.
Sebaliknya, apabila menonton siaran langsung aksi Sukan SEA menerusi kaca TV, peminat kita lebih gemar berseronok-seronok dengan rakan atau anggota keluarga masing-masing.
Mereka yakin kontinjen negara dapat menyumbang banyak emas.
Sama ada generasi tua atau muda, pelajar atau bukan, ragam mereka sama saja. Semuanya ghairah membilang jumlah kutipan emas negara pada setiap hari.
Memori Sukan SEA 1977
Penulis sendiri pernah merasai pengalaman sama ketika masih di alam persekolahan. Edisi paling dikenang dan memikat hati pastinya Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur.
Jika tak salah, ia adalah kali pertama penulis menyaksikan siaran langsung sukan berkenaan.
Kontinjen kita meraih 21 emas secara keseluruhan dan berada di belakang Indonesia selaku juara, diikuti Thailand, Filipina dan Myanmar.
Ada tiga sebab di sini kenapa penulis amat teruja dengan edisi di laman sendiri itu.
Pertama, kerana kelibat ratu olahraga, Marina Chin, dan beberapa personaliti lain seperti jaguh 110m berpagar lelaki, Ishtiaq Mubarak, V Subramaniam (jalan kaki) atau Baljit Singh Sidhu (lompat tinggi) yang mewarnai kancah saingan.

Mereka benar-benar menghadirkan saat-saat gembira kepada penonton dengan sumbangan berharga. Malah, olahraga menjadi penyumbang terbesar pungutan emas negara.
Kedua, kegemilangan dilakar skuad bola sepak negara apabila menewaskan Thailand 2-0 hasil jaringan Bakri Ibni dan Allahyarham Mokhtar Dahari dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka pada 26 Nov. 1977.
Kejayaan dilakar itu amat bermakna kepada rakyat Malaysia kerana skuad negara berjaya menamatkan kemarau 16 tahun tanpa kilauan emas.
Ketiga, kehadiran pengulas tersohor ketika itu, Rahim Razali, yang berjaya menghidupkan suasana pertandingan sepanjang tempoh temasya berkenaan.
Suaranya yang lunak dan cara dia mengulas dengan pilihan kata-kata terbaik bagi setiap acara sukan menambat hati penonton. Kita pun banyak belajar pengetahuan sukan daripadanya.
Mendiang ibu penulis – yang tidak begitu gemarkan sukan – pernah bertanya: “Siapa lelaki ini, baguslah cara dia bercakap.”
Sasaran 200 pingat negara
Berbalik kepada Sukan SEA 2025, jelas sekali ramai yang tidak sabar menunggu babak saingan edisi ke-33 itu yang bakal bermula dengan rasminya di bumi Thailand pada Selasa ini sehingga 20 Dis.
Kita menunggu apakah yang bakal dipersembahkan oleh kontinjen negara dengan penyertaan 1,142 atlet. Mereka terbabit dalam semua 50 jenis acara sukan dipertandingkan di Bangkok dan Chonburi kali ini.
Namun, pengumuman ketua kontinjen negara, Nurul Huda Abdullah, pada Rabu lalu juga sedikit sebanyak mengejutkan kita apabila sasaran jumlah pingat emas tidak disebut.
Sebaliknya, legenda renang negara itu menyebut sasaran rombongan terbesar kali ini ialah untuk membawa pulang 200 pingat tanpa mengira warna.
Kata Nurul Huda, sasaran itu mungkin nampak sederhana bagi kontinjen negara. Tambahnya, Malaysia meletakkan keutamaan kepada kestabilan, persediaan menyeluruh dan disiplin yang menjadi asas penting untuk mencipta kejayaan di Bangkok.

Pada pandangan pemerhati dan pengkritik pula, mereka anggap ia “sasaran yang selamat” tanpa mahu memberikan tekanan lebihan kepada atlet negara.
Perlu diingat, ada antara atlet terbabit bakal beraksi lagi pada Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Inilah pentas terbaik bagi mereka memperagakan kemampuan sebenar memburu kejayaan, iaitu mengintai peluang emas.
Pencapaian di Thailand pasti menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada mereka untuk meningkatkan usaha dan melakar sejarah terbaik di bumi sendiri dua tahun lagi.
Kita tunggu dan lihat saja apakah yang bakal diutarakan oleh Nurul Huda mengenai pencapaian keseluruhan kontinjen Malaysia di sidang media pada 20 Dis ini – iaitu hari terakhir temasya Sukan SEA di Bangkok nanti.
Cuma, jangan sampai kita membawa pulang kurang daripada 34 emas. Ini adalah angka dituai kontinjen kita di Kemboja pada edisi 2023 yang difahamkan merakam pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan.
Biarlah kita mengubah skripnya kali ini dan bersama-sama pulang dari Bangkok dengan tenaga dan keyakinan baru sebagai bekalan untuk mendominasi KL 2027.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
