Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, gagal mengetepikan keputusan mahkamah AS yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas disabit bersalah kerana membantu penyelewengan dana 1MDB.
Menurut laporan Bloomberg, Mahkamah Rayuan Sirkit 2 di Manhattan, New York semalam menolak rayuan Ng yang mendakwa bahawa perbicaraannya tidak adil.
Ng berhujah perbicaraannya tidak adil kerana hakim menghalang juri daripada mendengar satu rakaman penting yang didakwa menunjukkan kerajaan melanggar perjanjian dengannya apabila mengetepikan ekstradisi dari Malaysia.
Dia juga berhujah yang kes berkenaan tidak sepatutnya dibicarakan di Brooklyn.
“Kami tidak mendapati mana-mana hujah dia yang meyakinkan,” kata hakim Amalya Kearse.
Laporan itu turut menyatakan peguam Ng tidak segera membalas e-mel yang meminta komen mengenai keputusan tersebut.
Pada Mac 2023, Ng – yang pernah menjadi ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia – disabitkan oleh mahkamah di Brooklyn, New York dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.
Sabitan itu dibuat apabila juri mendapati Ng bersalah kerana membantu bekas pegawai di bank sama, Tim Leissner, menggelapkan wang 1MDB, membersihkan hasilnya, dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan urusan perniagaan.
Bagaimanapun, pada Okt 2023, dia dihantar pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan pihak berkuasa di negara ini dan dikehendaki memulakan hukuman penjaranya sebaik kembali ke AS.
Mahkamah Tinggi Putrajaya pada April lalu memutuskan bahawa Ng boleh dipanggil sebagai saksi dan memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, tanpa mengira perintah sekatan yang dikeluarkan oleh mahkamah AS.
