Dalam audio siar terbarunya, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa beberapa anggota PKR terbabit telah menjadi sasaran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dilihat tidak lagi digemari sesetengah pemimpin parti.
Kata Rafifi lagi, perkara sama turut berlaku terhadap ahli-ahli parti yang bertanding menentang Nurul Izzah Anwar dalam merebut jawatan timbalan presiden parti tersebut.
“Saya nak beri satu contoh yang berkaitan PKR dan tak pernah disebut sebelum ini.
“Semasa pemilihan PKR yang lalu, pada bulan Mei, sebenarnya ada ramai calon PKR yang ditahan oleh SPRM. Selalunya yang melawan calon Nurul Izzah.
“Tapi kita tak pernah sebutlah (sebelum ini), cuma sekarang saya dah tak peduli dah, saya sebut sajalah,” katanya dalam program Yang Berhenti Menteri.
Sebagai contoh, Rafizi yang kalah kepada Nurul Izzah dalam pemilihan tersebut merujuk kepada insiden seorang calon yang sehaluan dengannya didakwa, ditahan dan disiasat SPRM kerana membeli sebuah rumah lelong secara tunai.
Bagaimanapun, Rafizi tidak menamakan calon tersebut dan hanya menggambarkannya sebagai seseorang yang tidak pernah tewas dalam pemilihan parti di Selangor.
Menurut Rafizi, rumah individu terbabit telah dikepung oleh pegawai SPRM sehingga menyebabkan isteri dan anak-anak ahli politik berkenaan ketakutan.
“Jadi saya telefon perdana menteri (Anwar Ibrahim) dan tanya apa yang sedang berlaku. Kenapa, pada waktu pemilihan parti ini ada saja orang yang kena tahan oleh SPRM?
“Ohhhh…dia (Anwar) kata, dia (orang yang ditahan SPRM itu) ada kes. Saya tanya, kes apa? Oh, dia ada beli rumah secara tunai.
“Jadi saya kata OK-lah, kalau itu SPRM nak siasat, siasatlah. Tak apalah, tapi adalah budi bicaranya. Tak perlu sampai kepung rumah dan menakutkan isteri serta anak-anaknya, kemudian memalukan dia dan sekitar kejiranan dia semua tengok dia.
“Dan dia juga bukan jenis orang yang akan lari (daripada siasatan). Jadi saya minta (Anwar) tolong beritahu kepada SPRM bahawa itu tidak perlu, dan dia (calon tersebut) akan hadir sendiri kepada SPRM. Dan PM kata okaylah, okaylah,” katanya.
Rafizi berkata dia kemudian menghubungi calon tersebut untuk bertanyakan tentang pembelian rumah berkenaan.
Kata Rafizi dia mendapati bahawa individu terbabit terpaksa membayar tunai kerana rumah itu dilelong pada harga hanya RM30,000 dan dia tidak boleh membuat pinjaman.
“Dan memang betul, esok atau lusanya dia pergi ke SPRM dengan seorang peguam. Kalau ikut peguam dan dia sendirilah, ia bukan pasal kes itu sangat, dia lebih kepada pemilihan PKR,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi yang melepaskan jawatan menteri pada akhir Jun lalu berkata disebabkan itulah dia dan beberapa anggota PKR bersikap sinis terhadap hubungan kerajaan dengan SPRM.
Malaysiakini telah menghubungi PKR, pejabat perdana menteri, Nurul Izzah dan SPRM untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan Rafizi.
