MCA hari ini memberi amaran keras terhadap BN – yang dianggotainya sendiri – agar tidak meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU akan datang atau berdepan dengan tindak balas daripada mereka.
Dalam ucapan semasa perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini, Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa sejak menjadi kerajaan DAP dan PH banyak kali membuat pusingan U dan gagal mengotakan janji yang pernah diikrarkan mereka.
Malah, kata Wee, PH bukan saja mengkhianati rakyat malah menggadaikan prinsip mereka sendiri.
“Sejak memegang kuasa, DAP dan PH telah membuat pusingan U dalam begitu banyak isu, meninggalkan janji demi janji.
“Lebih teruk, mereka bukan sahaja mengkhianati rakyat, malah mengkhianati prinsip mereka sendiri.
“Jika menjelang pilihan raya umum nanti masih ada rakan BN yang mahu terus bekerjasama dengan mereka, itu hanya bermakna semangat BN sudah mati sepenuhnya. Dalam keadaan itu, kita hanya boleh berkata: Selamat maju jaya! MCA ada jalannya sendiri,” katanya.
Teks ucapan dasar itu dimuat naik di laman sesawang MCA hari ini.
Walaupun tidak menamakan sesiapa, difahamkan kemyataan bekas menteri dalam kerajaan BN itu merujuk kepada Umno yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan selepas keputusan PRU lalu menyaksikan tiada mana-mana parti mampu membentuk kerajaan secara sendirian.

PRU ke-15 menyaksikan MCA hanya memenangi dua kerusi parlimen iaitu Wee sendiri di Ayer Hitam, dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).
Dalam kerajaan yang diketuai Anwar Ibrahim selaku perdana menteri ketika ini, tiada mana-mana pemimpin MCA dilantik menyertai kabinet. Keadaan yang sama turut berlaku ke atas satu lagi parti komponen BN iaitu MIC.
Kedua-dua parti terbabit menyatakan rasa tidak puas hati mereka secara terbuka kepada kerajaan.
Wee berkata di peringkat persekutuan, MCA tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan sistem demokrasi berparlimen meletakkan ahli parlimen mereka berperanan sebagai penyokong kerajaan (backbenchers).
Tiada mustahil dalam politik
Tanggungjawab MCA, katanya ialah meneliti prestasi menteri dan timbalan menteri, selain memberi cadangan dasar dan menyuarakan kebimbangan rakyat di parlimen.
Tanggungjawab itu. kata Wee, bukan hanya terletak di bahu ahli parlimen malah semua pemimpin parti di setiap peringkat.
“Apabila kerajaan memperkenalkan dasar yang baik untuk rakyat, kita menyokong tanpa ragu.
“Apabila dasar yang dicadangkan itu mendatangkan kemudaratan kepada rakyat atau negara, kita tidak akan berdiam diri.
“Pendek kata, walaupun dalam kerajaan, MCA bertindak seperti pembangkang — berani, lantang dan berprinsip,” katanya.

Tambah Wee lagi, MCA berpendapat para pemimpin parti-parti komponen BN untuk membaca landskap politik dengan jelas.
“Kerajaan perpaduan bukanlah tempat yang BN boleh berkembang. Jika kita terus begini, masa depan BN akan terjejas dengan teruk,” katanya lagi.
Wee juga menegaskan bagaimana PH berubah pendirian dalam langkah politik mereka, termasuk terkait hubungan dengan Umno.
Suatu ketika dulu, katanya, PH “berteriak” mahu menghantar pemimpin Umno yang ada kes mahkamah ke penjara, namun kini “memegang tangan” individu terbabit sambil menyifatkan tokoh berkenaan sebagai “lembut dan beradab”.
“Jika hari ini mereka boleh berpakat, apa pula yang akan menghalang mereka berpakat dengan PAS sekali lagi pada hari esok? Adakah ini mungkin terjadi? Tiada apa yang mustahil dalam politik!” katanya.
Pengundi sukar terima PAS
Wee menjelaskan BN mesti bertegas untuk membuktikan kepada rakyat yang mereka berani melakukan pembaharuan sekali gus membolehkan masyarakat melibat parti berkenaan dalam sudut pandang yang baru.
Rakyat juga, kata Wee, akan melihat BN sebagai gabungan politik yang mampu untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita juga berharap semua parti komponen BN memperkukuh struktur dalaman masing-masing, mengelakkan perpecahan dalaman, dan tidak menolak pemimpin berwibawa yang berfikiran sederhana dan progresif.
“Kembalikanlah pemimpin yang tidak berada dalam barisan kepimpinan teras tetapi mempunyai reputasi baik di mata rakyat.
“Hanya dengan itu BN dapat menjadi lebih kuat dan memperbaiki imej keseluruhannya. BN juga memerlukan lebih ramai pemimpin yang moderat dan berpandangan luas. Jika kita enggan berubah, kita akan ditelan arus zaman,” katanya.
Pada masa sama, di sebalik rasa tidak puas hati kepada kerajaan semasa, Wee memberi isyarat yang MCA tidak berhajat bekerjasama dengan PN. Puncanya – keberadaan PAS dalam gabungan tersebut.
Kata Wee, sejak sekian lama masyarakat Cina tidak mempunyai pandangan positif terhadap PAS, malah menolak parti itu khususntya selepas mereka menamatkan kerjasama dan memutuskan hubungan sepenuhnya dengan DAP 10 tahun lalu,
Langkah tersebut, kata Wee, menjadikan pengundi Cina lebih sukar menerima PAS.
“Tambahan pula, terdapat segelintir pemimpin PAS sering mengeluarkan kenyataan kontroversi yang menyerlahkan konservatisme agama dan menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam.
“Melainkan PAS membuat pembaharuan dalam partinya, menjadi lebih moderat dan diterima oleh masyarakat majmuk. Jika tidak, faktor ini tetap menghindar parti bukan Islam untuk sehaluan dengan PN,” katanya.
