Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGM MCA pentas 'hentam' DAP - Ti selar Wee
Diterbitkan:  Dec 7, 2025 5:21 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker tampil menyelar Presiden MCA, Wee Ka Siong, selepas menyifatkan ucapan pemimpin itu pada perhimpunan agung tahunan parti hari ini sebagai tersasar daripada keutamaan sebenar parti.

Menurut Ti, AGM sepatutnya dijadikan ruang untuk MCA menilai kelangsungan parti, memperbaiki persepsi terhadap kepimpinannya dan mencari hala tuju baru — bukan menjadikan pentas itu untuk menumpukan serangan terhadap DAP.

Bagi Ti, tindakan Wee tersebut menyebabkan parti kehilangan peluang penting untuk melakukan penyusunan semula politik ketika MCA sedang berdepan situasi yang diibaratkannya sebagai “kemerosotan hampir pupus”.

“Daripada menghabiskan masa berharga AGM dengan menyerang DAP dengan skrip Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sekolah-sekolah Cina yang biasa, Dr Wee terlepas peluang kritikal untuk menetapkan semula arah politik MCA pada saat kemerosotan hampir sampai ke tahap pupus.

“Dia sepatutnya menyerahkan kritikan terhadap DAP yang sering diulang itu kepada akar umbi dan penganalisis politik.

“Isu-isu tersebut adalah bahan buat mereka, bukan presiden MCA, yang sepatutnya mengemukakan kenyataan politik yang penting, tepat waktu dan tajam untuk mencetuskan perbahasan hangat serta menarik perhatian media.

“Tetapi Ka Siong ialah pemain selamat, seorang pemain politik yang mahir memetik buah yang rendah dan sering berada dalam zon selesanya,” kata Ti melalui hantaran di Facebook.

Kenyataan Ti itu hadir selepas Wee memberi amaran keras kepada BN — gabungan yang turut dianggotai MCA — agar tidak meneruskan kerjasama dengan PH pada pilihan raya umum akan datang, sambil menuduh DAP dan PH melakukan banyak pusingan U serta “mengkhianati rakyat”.

Namun, bagi Ti fokus Wee itu mengaburi masalah paling mendesak dalam parti sendiri, iaitu krisis kelangsungan MCA.

Katanya, Wee sepatutnya bercakap terus terang bahawa MCA semakin hilang sokongan kerana gagal menampilkan keyakinan dan menjadi relevan dalam suasana politik yang mendesak.

“Kita masih dengan sifar kerusi di Sabah dan hanya mempunyai kehadiran yang kecil di Semenanjung Malaysia, sementara ketiadaan golongan muda sangat ketara.

“Pengundi Cina bandar masih jelas bukan milik MCA.”

Sebaliknya, kata Ti ucapan Wee kembali mengitar semula naratif lama dengan menyalahkan DAP, mengungkit isu UEC dan meleretkan aduan politik yang telah dimainkan sejak era 1990an.

“(Namun) daripada menghadapi persoalan mengapa MCA semakin mengecil secara struktural dan menyediakan hala tuju serta produk politik yang merangsang, ucapan tersebut kembali ke zon selesa dengan menyalahkan DAP, memanaskan semula rungutan tentang UEC dan mengulang naratif politik 1990-an di mana kita sudah pun tewas.

“Ini mengelakkan penyakit sebenar parti dan hanya merawat simptom politik,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS