Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Zalim’ - MP DAP ulangi desak pinda atau mansuh Sosma

Dua ahli parlimen kerajaan hari ini menggesa pentadbiran persekutuan pimpinan PH supaya mempercepatkan reformasi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Dalam kenyataan berasingan, RSN Rayer dan Ramkarpal Singh, kedua-duanya dari DAP, mengingatkan kerajaan terhadap komitmen untuk memansuhkan undang-undang zalim yang sudah terlalu lama tertangguh.

“Ketika kita di blok pembangkang, kita sering menyebut bahawa Sosma ialah undang-undang draconian (zalim).

“Apabila pentadbiran Perikatan Nasional mahu melanjutkan fasal luput Sosma pada 2022, kita menentangnya dan menolak. Kita sentiasa lantang menentang Sosma.

Gambar fail, keluarga tahanan Sosma bersama peguam RSN Rayer dan Ramkarpal di kompleks mahkamah.

“Jadi sudah tiba masa kita melakukan sesuatu, sekarang kita sudah berada dalam kerajaan.

“Tuntutan saya ialah ia mesti dimansuhkan. Sudah tiba masanya kerajaan kotakan janji,” kata Rayer kepada Malaysiakini.

Ahli parlimen Jelutong itu merujuk nasib sembilan individu dan keluarga mereka yang didakwa menjadi mangsa penyalahgunaan Sosma.

Katanya, suspek pada awalnya ditahan secara berasingan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana didakwa menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Gambar fail, demonstrasi mansuhkan Sosma.

Susulan itu, Rayer menjelaskan pihak berkuasa kemudiannya didakwa gagal mendapatkan perintah reman daripada beberapa mahkamah majistret, termasuk di Kulim, Sungai Petani dan Alor Setar.

Akhirnya, keluarga suspek dimaklumkan bahawa sembilan individu tersebut kemudiannya didakwa di bawah Sosma pula, atas “syak keterlibatan dalam jenayah terancang.”

“Ini jelas kes penyalahgunaan… Tujuan menggunakan Sosma ialah untuk menahan tanpa bicara kerana mereka tidak layak memohon jaminan.

“Semua yang pernah ditahan di bawah Sosma – tidak ada satupun kes dibawa ke perbicaraan setakat ini,” katanya.

Gambar fail, protes mansuh Sosma.

Dia menegaskan peruntukan Sosma yang membenarkan tahanan tanpa bicara selama 28 hari mencabul hak asasi manusia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal menggesa Sosma dimansuhkan atau sekurang-kurangnya dipinda untuk menghapuskan “pelbagai ciri kezaliman” dalam undang-undang itu.

Katanya, banyak peruntukan dalam Sosma bercanggah dengan agenda reformasi kerajaan, khususnya Seksyen 13 dan 30 akta tersebut.

Seksyen 13 peruntukan yang menafikan jaminan bagi individu ditahan di bawah Sosma manakala Seksyen 30 mewajibkan tahanan terus dipenjara sepanjang proses perbicaraan dan rayuan, walaupun mereka telah dibebaskan.

“Jelas bahawa peruntukan ini drakonian kerana ia menghapuskan sepenuhnya budi bicara mahkamah dalam memberi jaminan dan menahan semula individu yang telah dibebaskan daripada kesalahan keselamatan, sekali gus menjejaskan prinsip pengasingan kuasa,” katanya.

Ramkarpal berkata dia sebelum ini telah mendesak supaya peruntukan tersebut dipinda ketika menjadi timbalan menteri undang-undang pada 2023 dan memberi amaran agar reformasi tidak lagi ditangguhkan.

“Memandangkan libat urus bersama pihak berkepentingan sudah diadakan sejak sekurang-kurangnya 2023, tiada sebab untuk melengahkan pindaan ini yang boleh dilakukan pada sidang parlimen Februari 2026.

“Dalam keadaan ini, saya menggesa kerajaan menyatakan sama ada Sosma akan dimansuhkan atau sekurang-kurangnya dipinda dan bila akan berbuar demian kerana perkara ini sudah terlalu lama tertangguh,” katanya.

Minggu lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mengesyorkan beberapa pindaan terhadap akta itu selepas mengadakan siri mesyuarat dengan pihak berkepentingan.

Pengerusinya William Leong (gambar atas) dilaporkan berkata jawatankuasa tersebut mengesyorkan kerajaan melaksanakan lapan cadangan strategik bagi memperbaiki penguatkuasaan akta itu.

Leong berkata walaupun Sosma digubal bagi menangani kesalahan berkaitan keselamatan negara, jenayah terancang dan ancaman serius terhadap kepentingan awam serta kedaulatan negara, pelaksanaannya menimbulkan pelbagai persoalan.

Kebimbangan tersebut, katanya merangkumi isu berkaitan keadilan, ketelusan dan perlindungan hak asasi manusia, termasuk tempoh tahanan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman, larangan jaminan dan akses terhad kepada peguam.

Leong turut menggesa Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkan garis masa yang lebih pendek untuk melaksanakan pindaan Sosma, bagi memastikan reformasi undang-undang dapat dilaksanakan secara telus dan berfasa.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS