Peguam kanan Haniff Khatri Abdulla mengkritik bekas menteri Rafizi Ramli kerana tidak membuat laporan kepada SPRM ketika mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggunakan agensi itu untuk mempengaruhi pemilihan PKR pada Mei lalu.
Haniff menegaskan soal sama ada SPRM akan bertindak atau tidak hanyalah isu sampingan — yang penting, katanya Rafizi sepatutnya melakukan perkara yang betul pada waktu kejadian, bukannya menimbulkan dakwaan itu tujuh bulan kemudian.
Dalam podcast tersebut, Haniff berkata: "Kalaulah perkara itu benar sememangnya terdapat asas untuk menyiasat Anwar Ibrahim berkaitan dengan salah guna kuasa di bawah Akta SPRM Seksyen 23."
"Siapakah yang wajar buat aduan... pertama sekali ketua cabang (PKR) berkenaan wajar buat aduan.

"Orang yang kedua dan yang lebih penting berkaitan dakwaan salah guna kuasa oleh Anwar Ibrahim adalah Rafizi Ramli sendiri," katanya.
Dia merujuk dakwaan Rafizi bahawa beberapa calon yang bertanding menentang blok yang menyokong Nurul Izzah — anak Anwar — menjadi sasaran siasatan SPRM sepanjang pemilihan parti.
Rafizi, yang tewas kepada Nurul dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR, turut mendakwa seorang calon proRafizi ditahan dan disiasat SPRM berhubung pembelian tunai sebuah rumah lelong.
Calon berkenaan, dakwa Rafizi dikejutkan apabila rumahnya “dikepung” pegawai SPRM sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan isteri dan anak-anaknya.

Haniff berkata tindakan berdiam diri sewaktu berkuasa tetapi kemudian bersuara selepas meletakkan jawatan menimbulkan persoalan terhadap prinsip dan kewibawaan Rafizi.
"Kenapakah beliau tidak membuat aduan kepada SPRM pada persekitaran bulan Mei 2025 atau sekurang-kurangnya selepad dia meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi pada hujung bulan Jun, kenapa tidak?
"Kenapa kita takut membuat perkara yang betul? Bagaimanakah rakyat hendak menerima prinsip politik anda sekiranya anda tidak mengambil langkah yang betul pada masa yang perlu?
"Rakyat tidak boleh menerima sifat politik seperti ini, iaitu apabila kita mempunyai jawatan kita berdiam diri," katanya.

Haniff turut mengaitkan perkara itu dengan kritikan Rafizi terhadap proses pelantikan kehakiman dan lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Peguam itu bertanya jika Rafizi pernah membangkitkan isu sama dalam mesyuarat kabinet mingguan ketika beliau masih menteri.
"Adakah perkara itu dibangkitkan oleh beliau di dalam mesyuarat kabinet?
“Jika tidak, maka Rafizi tidak mempunyai hak sekarang ini untuk bercakap apa yang kononnya berlaku pada masa beliau berada di dalam kabinet," katanya lagi.

Haniff berkata budaya politik sebegini menyebabkan Malaysia terperangkap dalam kebuntuan kerana tokoh politik hanya mempersoalkan salah laku apabila mereka sudah tidak lagi berkuasa.
Katanya, pengecualian hanya kepada seorang ahli politik yang konsisten Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.
"Cuma setakat ini terdapat seorang yang lantang menyampaikan isu-isu penting menurut kedaulatan undang-undang sama ada di dalam Dewan Rakyat - kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan di dalam kabinet - mahupun di luar kepada media, iaitu Hasan Karim.
"Kita perlukan sekurang-kurangnya sepuluh atau 15 wakil rakyat seperti Hasan Karim supaya walaupun dia berada di dalam kerajaan yang sama, beliau tidak segan-silu, beliau berani kerana benar menampilkan isu yang wajib dibangkitkan sebagai wakil rakyat,” katanya lagi.

Pada masa sama, Haniff menegaskan masih belum terlambat untuk Rafizi atau calon pemilihan PKR terbabit membuat laporan polis dan SPRM.
Peguam itu juga mendesak agar satu panel penyiasatan khas di bawah Jabatan Peguam Negara dibentuk bagi menyiasat dakwaan terhadap Anwar dan Azam.
Haniff mencadangkan agar panel itu meneliti video perbualan antara ahli perniagaan Albert Tei — yang membongkar skandal perlombongan Sabah — dan seorang wanita yang dituduh sebagai proksi bekas pembantu politik Anwar, Shamsul Iskandar Akin, yang turut mengaitkan Anwar dan Azam.
