Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin, hari ini didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan untuk menerima rasuah bernilai RM400,000 dalam projek ladang ternakan lembu.
Menurut kertas pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan mengarahkan syarikat Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) untuk mengeluarkan surat tawaran kepada ahli perniagaan, Mohd Hassanaim Fauzi, yang membayar rasuah tersebut.
Rasuah itu diberikan kepada ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 23 Jun 2020. Ketika itu Azman merupakan exco pertanian Kedah.
Sementara itu, Amar Assuat pula dikenakan dua pertuduhan kerana meminta dan menerima rasuah daripada Mohd Hassanaim.
Azman, 53, dan Amar Assuat, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mereka didakwa di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Nasir Nordin.
Azman didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama seksyen 16(a) akta yang sama.
Dia dituduh melibatkan RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot.
Dalam prosiding sama, Amar Assuat turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.
Suapan itu diberikan sebagai balasan untuk membantu Mohd Hassanaim mendapatkan projek usahasama ternakan lembu pedaging secara fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro yang ditawarkan oleh KAHB.
Tanah itu terletak di Mukim Sungai Laka dalam daerah Kubang Pasu, Kedah.
Kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda daripada nilai suapan jika disabitkan bersalah nanti.
Terdahulu, Mohd Nasir menetapkan ikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin masing-masing kepada Azman dan Amar Assuat.
Mereka juga diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain wajib melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Sementara itu, peguam Azman, N Surendran, berkata dia akan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menolak pertuduhan tersebut.
Katanya selepas meneliti pertuduhan tersebut, pihaknya percaya yang ia adalah cacat, melanggar undang-undang, dan melanggar prosiding mahkamah.
“Tiada asas untuk beliau didakwa,” katanya pada sidang akhbar di luar kamar mahkamah hari ini.
Turut akan dikemukan, katanya, ialah permohonan agar permintaan pihak pendakwaan agar pasport anak guamnya dirampas kerana tiada justifikasi untuk prosedur itu dibuat.
Tambahan pula, kata Surendran, Azman merupakan seorang ahli parlimen yang mempunyai rekod prestasi baik.
Menurut peguam terbabit, permohonan itu akan difailkan sebelum 13 Jan depan.
