Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya tak maafkan mereka’ - Polis ambil keterangan Tei insiden serbuan SPRM
Diterbitkan:  Dec 8, 2025 11:56 AM
Dikemaskini: 4:34 AM

Polis telah mengambil keterangan ahli perniagaan Albert Tei berhubung serbuan SPRM ke rumahnya pada 28 November lalu, melibatkan sejumlah anggota yang bersenjata serta mengenakan jaket kalis peluru dan topeng balaklava.

“Jumaat lalu pihak polis telah datang ke rumah saya untuk mengambil gambar kejadian serta merakam keterangan saya selama tiga jam.

Saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan bebas, segera menangkap individu yang mengacukan pistol terhadap saya dan keluarga saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Isteri Tei telah membuat laporan polis selepas serbuan itu. Dia turut mendakwa seorang anggota SPRM mengacukan pistol kepadanya.

SPRM menafikan senjata api diacukan semasa kejadian itu dan menegaskan serbuan yang dibuat, serta rampasan barangan termasuk rakaman CCTV kediaman itu, dijalankan mengikut prosedur.

Peguam kepada isteri Tei kemudian menuntut agar SPRM mendedahkan rakaman CCTV yang dirampas oleh anggotanya semasa serbuan tanpa sebarang pengubahsuaian kandungan.

Tei turut menunjukkan kepada Malaysiakini gambar dua pintu rumahnya yang rosak akibat serbuan itu.

“Pintu kayu berwarna gelap sebelah kiri ialah pintu masuk utama ke rumah dan sebelah kanan berwarna putih ialah pintu bilik tidur ibu mentua saya yang berumur 70 tahun.

“Salah seorang daripada mereka telah memecahkan pintu bilik ibu mentua saya dengan menendang menggunakan kaki. Ibu mentua dan seorang anak saudara perempuan saya berumur 12 tahun tengah berada di dalam bilik tersebut,” katanya.

Dakwa Tei lagi, walaupun ketika itu tangannya diikat dan terbaring di lantai, dia dapat melihat seorang individu bertopeng memecahkan pintu tersebut dan mengacukan pistol ke dalamnya.

Katanya, dua anaknya - masing-masing berusia 10 dan 13 tahun - turut ada di rumah dan menyaksikan keseluruhan serbuan itu.

“Bayangkan tahap keganasan yang digunakan oleh SPRM terhadap saya ketika itu. Saya tidak akan memaafkan kekejaman dan penghinaan yang mereka lakukan terhadap saya dan keluarga saya,” katanya lagi.

Skandal lesen mineral

Sebelum ini, Tei dan bekas pegawai kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Md Akin direman enam hari dan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memberi dan menerima rasuah.

Sejak November tahun lalu, Tei telah mengaitkan sejumlah ahli politik di Sabah dengan skandal perlombongan mineral di negeri itu, dengan mendedahkan perbualan yang dirakam secara rahsia, tangkap layar mesej WhatsApp, dan dokumen lain.

Dia juga telah menyerahkan lebih 300 halaman dokumen kepada SPRM, yang antaranya didakwa menunjukkan aliran wang transaksi tersebut.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bagaimanapun mendakwa Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS