Kerajaan Terengganu mengambil keputusan untuk menguatkuasakan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara berhubung tanah Felda dan FGV di negeri itu, selepas empat dekad isu tersebut tidak menemui jalan penyelesaian.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata langkah tegas penguatkuasaan undang-undang berjaya membawa isu tersebut kembali ke meja rundingan.
“Sejak awal lagi kerajaan negeri sentiasa mencari jalan dan ruang untuk membawa isu tanah kerajaan yang telah dimajukan sebagai ladang Felda/FGV, namun usaha itu tidak membuahkan hasil selama 40 tahun.
“Setelah melalui tempoh 40 tahun tanpa penyelesaian, kerajaan negeri terpaksa menguatkuasakan undang-undang. Langkah tegas ini akhirnya membuka kembali ruang rundingan dengan Felda,” kata Azman di Facebook, hari ini.
Terdahulu, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar, selepas mendakwa lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.
Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Felda dan FGV kemudian memaklumkan mereka sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bermula 5 Disember lalu.
Mengulas lanjut, Azman berkata dalam rundingan, ada perkara yang boleh dipertimbangkan sementara ada yang sudah termaktub dalam Peraturan Tanah Terengganu, terutama kadar premium, cukai tanah dan penyelesaian 40 tahun cukai tertunggak
“Kerajaan negeri mengamalkan prinsip terbuka dalam perundingan.
“Menuntut bukan semestinya kita dapat semua, bertolak ansur tapi bukan hilang semua,” katanya lagi.
