Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sukan Sea: Misi bangkit semula bermula esok
Diterbitkan:  Dec 8, 2025 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Dua tahun lalu, episod suram menghantui kontinjen negara apabila Malaysia mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah penyertaannya di Sukan SEA.

Kontinjen negara yang menghantar 676 atlet pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja sekadar meraih 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa selain menamatkan cabaran di tempat ketujuh, pencapaian yang amat menghampakan bagi Malaysia sejak temasya sukan dwitahunan itu diperkenal pada 1959.

Kini, di Thailand, peluang dan medan baharu menanti lebih 1,100 atlet diiringi lebih 500 pegawai untuk menebus kekecewaan dan memulihkan maruah sukan negara yang tercalar di Kemboja.

Malaysia, yang menyertai kesemua 50 acara yang dipertandingkan pada edisi ke-33 temasya sukan dwitahunan berlangsung di Bangkok dan Chonburi, kembali dengan semangat serta misi baharu untuk membawa pulang 200 pingat tanpa mengira warna dari Sukan SEA Thailand 2025.

Biarpun sasaran itu, jika berjaya dicapai, akan menjadi jumlah pungutan pingat tertinggi dalam tempoh 18 tahun sejak edisi 2007 di Korat dengan 216 pingat, persoalan masih berlegar di fikiran peminat sukan tanah air: berapakah jumlah pingat emas yang mampu disambar Malaysia pada Sukan SEA kali ini, yang dijadual dibuka secara rasmi esok di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, dan berakhir pada 20 Dis ini.

Tumpuan pada badminton

Tumpuan utama pastinya terarah kepada sukan badminton yang mempertaruhkan barisan pemain bintang seperti juara dunia beregu lelaki 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, juara dunia beregu campuran 2025 Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta naib juara beregu wanita Kejohanan Dunia 2025 Pearly Tan-M. Thinaah (bawah).

Ketiga-tiga wakil ini pastinya menjadi antara sandaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk merangkul tiga daripada empat emas yang disasarkan di Thailand selain acara berpasukan lelaki sekali gus memperbaiki prestasi hambar pada edisi sebelumnya di Phnom Penh dengan hanya meraih dua perak dan empat gangsa.

Bagaimanapun, pemain badminton negara tidak boleh memandang enteng cabaran negara lain khususnya kuasa besar Indonesia terutama dalam acara beregu lelaki yang menampilkan pasangan kelapan dunia Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani dan pasangan ke-20 dunia Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, yang mampu menggugat peluang pasangan kedua dunia Aaron-Wooi Yik serta gandingan kelima dunia Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam misi memburu emas.

Enggan menghampakan peminat sendiri, tuan rumah juga tidak terkecuali menurunkan barisan terbaik mereka bagi merebut keseluruhan tujuh emas yang dipertanding dalam acara badminton dengan harapan tinggi disandarkan kepada pasangan keempat beregu campuran dunia Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang bakal menjadi halangan besar buat Tang Jie-Ee Wei.

Skuad bola beri amaran awal

Dalam pada itu, peminat bola sepak tanah air bukan sahaja mendambakan ibu segala pingat yang kali terakhir digapai pada edisi 2011 di Indonesia malah kejayaan di bumi Thailand diharapkan sedikit sebanyak "mengubati" luka mereka selepas sukan tersebut dicemari isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan negara tahun ini.

Biarpun tidak diletak sebagai pilihan utama kali ini, anak buah Mohd Nafuzi Zain melaungkan amaran awal kepada pesaing apabila memulakan kempen Kumpulan B dengan bergaya membenam Laos 4-1 dan keputusan seri menentang pemenang emas tiga kali, Vietnam, pada 10 Dis ini sudah memadai untuk melayakkan Malaysia secara automatik ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Kehilangan juara bertahan 400 meter (m) wanita Shereen Samson Vallabouy pada saat akhir akibat kecederaan hamstring serta ketiadaan jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi kerana komitmen pelajaran di Amerika Syarikat, memberi tamparan hebat kepada skuad olahraga dalam usaha memperbaiki prestasi selepas membawa pulang lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa pada edisi di Phnom Penh.

Mereka kini bergantung kepada sandaran utama jaguh lempar cakera lelaki dan pemenang emas enam kali berturut-turut Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura Anuar (lompat kijang lelaki), Grace Wong (tukul besi wanita) dan Umar Osman (400m lelaki) selain mengharapkan keajaiban daripada atlet lain, dengan 50 peratus daripada keseluruhan 48 atlet adalah muka baharu.

Penyenaraian semula sukan seperti boling, skuasy dan berbasikal trek ke Sukan SEA merupakan berita baik buat kontinjen negara dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menambah koleksi pingat emas di Thailand.

Pertaruhan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyenaraikan lapan pemain termasuk empat juara dunia iaitu Muhammad Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Sin Li Jane dan Natasha Roslan membuktikan kesungguhan mereka untuk memastikan Malaysia kembali mendominasi sukan ini selepas sekadar meraih dua perak dan empat gangsa melalui skuad pelapis pada kali terakhir sukan itu dipertandingkan pada edisi 2021.

Reputasi dalam acara skuasy

Reputasi gah Malaysia dalam acara skuasy memberi kelebihan untuk menyapu bersih empat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA kali ini terutamanya melalui pilihan utama perseorangan lelaki Sanjay Jeeva (kedudukan ke-67 dunia) dan pemain wanita ke-60 dunia Noor Ainaa Amani Ampandi selepas kali terakhir sukan itu dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina.

Walaupun tempang tanpa kelibat jaguh berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom susulan kecederaan lutut, harapan Malaysia terletak di bahu adiknya, Muhammad Ridwan dalam menyalakan impian menggapai emas keirin lelaki.

Cabaran sengit menanti Muhammad Ridwan apabila terpaksa berdepan wakil tuan rumah Jai Angsuthasawit yang merangkul emas Piala Trek Asia 2025 di Suphanburi, Thailand pada Ogos lepas selain dijadualkan berlumba dalam acara pecut berpasukan bersama Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena.

Dijangka terus kuasai hoki padang

Dengan Malaysia dijangka terus menguasai hoki padang lelaki dan wanita, acara hoki dalam dewan pula menjanjikan persaingan menarik buat skuad lelaki yang turun dengan misi merampas emas daripada Indonesia manakala skuad wanita pula pastinya mengintai untuk kembali meraih emas selepas kecundang di tangan Thailand dua tahun lepas.

Kejayaan muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5 sebelah (5s) 2024 meletakkan skuad lelaki kebangsaan selaku pencabar utama untuk merangkul emas dalam hoki 5s yang dipertandingkan buat pertama kali manakala laluan berliku menanti pasukan wanita yang perlu menyaingi kekuatan Thailand jika mahu menjelmakan kilauan pingat emas kelak.

Dominasi skuad terjun negara di pentas Sukan SEA bakal diuji dengan peningkatan prestasi penerjun Singapura yang mampu mengancam usaha mereka untuk meneruskan rentak cemerlang menyumbang emas di Thailand.

Dengan ketiadaan ratu terjun Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, penerjun berpengalaman Muhammad Syafiq Puteh sekali lagi diberi kepercayaan memimpin skuad terjun yang rata-ratanya diwakili atlet muda iaitu Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim, Yong Rui Jie, Elvis Priestly Clement, Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi, dengan harapan membolot kesemua empat emas yang ditawarkan.

Jika diukur berdasarkan prestasi perenang negara tahun ini, hanya Khiew Hoe Yean yang menyerlah termasuk menyumbang gangsa dalam acara 400m gaya bebas lelaki pada Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India dan pastinya kuakan bertenaga atlet berusia 23 tahun itu ditagih untuk menyumbang emas buat negara.

‘Rejaman’ skuad sepak takraw negara dalam usaha menepati sasaran dua emas yang diletakkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia dilihat agak berliku lebih-lebih lagi mereka bakal menerima tentangan sengit dan sorakan padu penyokong tuan rumah yang terkenal dengan keampuhan mereka dalam sukan warisan itu.

Pencapaian membawa pulang dua gangsa dari Kejohanan Memanah Asia 2025 di Dhaka, Bangladesh, bulan lepas menerusi pemanah compound lelaki berpengalaman Mohd Juwaidi Mazuki dan trio recurve wanita negara Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini, Ariana Nur Diana Zairi dan Joey Tan diharap mampu memberi tonik berharga buat mereka dalam melakukan panahan lebih tepat untuk memburu pingat emas.

Sukan tempur

Bagi sukan tempur pula, ketangkasan C. Shahmalarani dalam acara karate dan kelincahan ratu wusyu negara Tan Cheong Min dijangka menjadi tumpuan utama negara.

Momentum Shahmalarani, yang masih segar dengan pencapaian membawa pulang pingat perak pada Kejohanan Dunia di Kaherah, perlu diteruskan di Thailand dalam usaha memburu hatrik emas Sukan SEA dalam acara wanita bawah 50 kilogram kumite.

Walaupun Cheong Min menggalas harapan besar buat sukan wusyu, cabaran tetap menantinya apabila penganjur menggabungkan acara Nanquan, Nandao dan Nangun menjadi satu acara individu yang dijangka meningkatkan saingan dengan pencabar lain.

Berbekalkan kejayaan dari Sukan SEA 2023, pesilat negara kembali dengan misi mengulangi pencapaian empat emas yang disasarkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) sekali gus menjadikan mereka antara pasukan cemerlang bagi mengukir senyuman buat Malaysia.

Harapan juga diletakkan pada sukan lain seperti angkat berat, menembak, ekuestrian, golf, gimnastik, kriket, snuker dan e-sukan untuk mengangkat Malaysia kembali sebagai antara kontinjen yang disegani di Sukan SEA sekali gus memberi motivasi tinggi agar mereka mengaum lebih garang pada edisi 2027 selaku tuan rumah.

Esok, semboyan perjuangan Sukan SEA kembali bergema, dan buat seluruh kontinjen Malaysia di Thailand, kor hai chok dee (selamat maju jaya)!

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS