Malaysia menyeru agar semua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan keadaan di kawasan sempadan Thailand-Kemboja serta mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan usaha perdamaian yang telah dicapai sebelum ini.
Memandang serius perkembangan terkini di kawasan sempadan kedua-dua negara berkenaan, Thailand-Kemboja, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan Malaysia menegaskan bahawa keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau kekal sebagai keutamaan utama Malaysia.
“Malaysia mengiktiraf komitmen kedua-dua negara melalui Perjanjian Gencatan Senjata pada 28 Julai, Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos, serta Perjanjian Damai KL yang dimeterai pada 26 Okt 2025,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam semangat persefahaman serantau dan kepatuhan kepada komitmen terdahulu, beliau berkata Malaysia menyeru agar semua pihak kembali merujuk serta mematuhi Para 7 Perjanjian Gencatan Senjata bertarikh 28 Julai, yang menyatakan:
“Jika berlaku konflik bersenjata, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, kedua-dua pihak mesti segera berunding di peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi mengelakkan situasi di sepanjang sempadan daripada meruncing.”
“Malaysia percaya bahawa melalui dialog berterusan, langkah diplomatik yang konstruktif, serta penghormatan terhadap mekanisme dua hala yang sedia ada, keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan demi kepentingan bersama rantau ini,” katanya.
Menurut satu laporan, Thailand pada Isnin melancarkan serangan udara ke atas Kemboja selepas pertempuran baharu tercetus di sempadan kedua-dua negara Asia Tenggara itu.
Dipercayai serangan udara ke atas kedudukan tentera Kemboja tersebut adalah tindakan balas terhadap serangan awal pagi yang mengorbankan seorang askar Thailand dan mencederakan dua lagi.
- Bernama
