DUN PAHANG | Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Pekan menolak dua daripada sembilan permohonan dikemukakan kerajaan negeri berkaitan pewartaan tanah rizab bagi kampung Orang Asli (KOA) yang berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Perkara itu dimaklumkan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, ketika persidangan DUN di Wisma Sri Pahang, di Kuantan hari ini.
Katanya, dua permohonan yang terlibat ialah KOA Gumum dan KOA Air Hitam, manakala permohonan perizaban bagi enam yang lain sedang dalam pertimbangan PTD Pekan.
Syed Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Adun Chini, Mohd Sharim Md Zain yang bertanyakan status semasa pewartaan perkampungan masyarakat Orang Asli, terutamanya di DUN Chini.
Syed Ibrahim memaklumkan, alasan penolakan bagi pewartaan KOA Gumum dan Air Hitam ialah kerana ia melibatkan kawasan bertindih dengan rizab hutan simpan milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang.
Dia juga memberitahu, pada dasarnya kerajaan Pahang bersetuju meluluskan perizaban untuk 76 KOA di negeri ini.
"Proses itu dilakukan mengikut Seksyen 7(1) Akta Orang Asli (Akta 134) manakala 141 KOA juga sedang dalam proses (perizaban) mengikut seksyen 6 Akta yang sama," katanya.
