Seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) direman empat hari bermula hari ini selepas dipercayai cuba melakukan aktiviti ‘pasport terbang’ atau flying passport di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, semalam.
Komander AKPS BSI Roszita Dim berkata kejadian berlaku pada 11.30 pagi apabila sepasukan pegawai Unit Integriti melakukan pemantauan di Dewan Penumpang Masuk BSI dan memeriksa pegawai itu yang bertugas di kaunter MyBorderPass.
“Pemeriksaan mendapati pegawai lelaki berusia 32 tahun tersebut membawa dan menyimpan dua telefon bimbit semasa bertugas serta tidak membuat tindakan serah terima telefon bimbit di kaunter penyelia sebelum itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pegawai itu gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil.01 Tahun 2024 iaitu tatacara dan prosedur membawa, menyimpan atau menggunakan alat telekomunikasi semasa bertugas.
Beliau berkata siasatan seterusnya membawa kepada penemuan lapan pasport warga asing iaitu enam China serta masing-masing satu Indonesia dan Vietnam.
“Pasport itu ditemukan dalam sebuah beg hitam disimpan di ruang penyimpanan barang motosikal Honda Vario milik pegawai tersebut diparkir di BSI,” katanya.
Roszita berkata pegawai itu direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dengan semua pasport, motosikal dan telefon bimbit terlibat dirampas.
Pegawai AKPS di semua pintu masuk negara diingatkan untuk mematuhi arahan integriti jabatan dan tidak berkompromi dengan mereka yang ingkar perintah serta menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.
- Bernama
