Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang dakwa Belanjawan Melaka 2026 hanya 'copy and paste'
Diterbitkan:  Dec 8, 2025 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Ketua Pembangkang Melaka Yadzil Yaakub menyifatkan belanjawan 2026 negeri yang dibentangkan minggu lalu sebagai belanjawan “salin dan tampal” (copy and paste), dengan hanya sedikit ubah suai berbanding yang sebelumnya.

Yadzil berkata ketiadaan hala tuju ekonomi baru menjadikan belanjawan tersebut bergerak dalam kerangka lama dengan bergantung  pada hasil tanah, industri tradisional dan pelaburan fizikal.

"Dalam cabaran ekonomi dunia yang serba pantas, kerajaan negeri tidak menunjukkan keberanian untuk memposisikan diri sebagai negeri yang menerajui inovasi atau digitalisasi.

"Tidak ada strategi jelas terhadap sektor masa depan seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, ekonomi penjagaan (care economy) atau ekonomi kitaran (circular economy).

"Copy paste daripada belanjawan yang lama dengan sedikit ubah suai, tiada hala tuju ekonomi baru," katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Melaka 2026 di Ayer Keroh, hari ini.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh membentangkan Belanjawan Melaka 2026 dengan tema “Pembangunan terancang, demi rakyat, untuk rakyat”. 

Ab Rauf Yusoh

Ia memperuntukkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM528.8 juta manakala anggaran perbelanjaan pembangunan pula mencecah RM93 juta. 

Sebahagian besar peruntukan pembangunan diraih daripada hasil negeri dan geran pembangunan dengan tumpuan antaranya dalam bidang pertanian lestari, pelaburan, pelancongan dan digitalisasi.

Mengulas lanjut, Yadzil yang juga Adun Bemban berkata kerajaan negeri juga membentangkan belanjawan lebihan seperti tahun sebelumnya, dengan unjuran hasil RM528.9 juta dan jumlah anggaran perbelanjaan RM621.8 juta.

"Ini bermakna kerajaan Melaka akan defisit sebanyak RM92.9 juta bagi 2026. Daripada jumlah anggaran perbelanjaan pembangunan, RM56.6 juta adalah daripada hasil negeri. Ia suatu jumlah yang besar.

 "Persoalannya adakah sumber RM56.6 juta hasil negeri itu dari akaun kumpulan wang disatukan? Berapa pula baki akhir kumpulan wang disatukan tersebut?” soalnya.

Justeru, dia menggesa kerajaan negeri untuk menjelaskan tahap kemampanan rizab kewangan negeri selepas 2026.

Dia turut mengkritik pentadbiran Rauf yang menurutnya tidak menyediakan pelan transformasi jangka sederhana untuk meningkatkan produktiviti, automasi industri atau membina ekosistem ekonomi generasi baru.

Justeru ujarnya, ekonomi Melaka berdepan risiko kekal statik di saat ekonomi global yang semakin kompetitif.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS