Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes tembak Durian Tunggal: Perlu tubuh IPCMC atau tidak?

Insiden tembakan oleh pihak polis yang mengakibatkan kematian tiga suspek di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini kembali mencetuskan perbincangan mengenai reformasi polis dan cadangan pada 2019 untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ini susulan keluarga ketiga-tiga lelaki berkenaan mendakwa polis melakukan pembunuhan berdasarkan rakaman audio yang didakwa merakam detik-detik ketika suspek ditembak selepas ditahan.

Dua ahli Parlimen kerajaan yang bercakap kepada Malaysiakini percaya sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula cadangan IPCMC. Namun, beberapa aktivis pula mendesak tindakan segera melalui penubuhan pasukan petugas khas bersepadu bagi menyiasat insiden 23 Nov itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengulangi gesaannya supaya kerajaan menubuhkan IPCMC bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang disifatkannya sebagai “gagal” dan sekadar “kosmetik”.

“Saya yakin Malaysia memerlukan IPCMC. Banyak kejadian dan tragedi melibatkan kematian dalam tahanan serta tembakan rambang suspek yang memerlukan sebuah suruhanjaya kukuh dan berwibawa untuk menangani isu kekejaman dan penyalahgunaan kuasa polis.

“IPCMC ialah jawapannya. Sebagai seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan, saya sangat sedih dan merasa dikhianati apabila kerajaan PH 1.0 dahulu dan kini kerajaan PH 2.0 mengabaikan janji untuk membawa reformasi kepada agensi keselamatan negara seperti PDRM, selaras dengan agenda demokrasi dan hak asasi manusia,” katanya.

Hassan yang merupakan ahli parlimen PKR berkata, insiden di Durian Tunggal menunjukkan bahawa IPCMC tidak boleh lagi ditangguhkan.

“Jangan panggil kerajaan kamu kerajaan ‘harapan’ jika rakyat tidak merasakan sebarang harapan untuk melihat keadilan ditegakkan di negara tercinta ini,”katanya.

Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau (DAP) pula menegaskan bahawa integriti polis kini dipertaruhkan selepas insiden tersebut.

Menurutnya keyakinan awam terhakis apabila rakaman audio menggambarkan versi berbeza daripada dakwaan polis bahawa mereka bertindak mempertahankan diri.

“Siasatan bebas dan telus adalah sangat penting untuk memulihkan keyakinan terhadap pasukan polis kita.

“Inilah sebabnya penubuhan IPCMC – sebagai sebuah badan pemantau yang benar-benar bebas dan dihormati – lebih kritikal berbanding sebelumnya.

“Masyarakat sivil semakin bimbang tentang potensi kekerasan, salah laku, atau penyalahgunaan kuasa dalam pasukan polis.

“Hanya mekanisme siasatan yang berwibawa dan berkecuali dapat meredakan kebimbangan ini serta memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi juga dilihat dilaksanakan,” katanya.

Suhakam turut mengulangi gesaannya agar IPCMC ditubuhkan, kerana kerangka suruhanjaya itu dapat menyediakan mekanisme institusi yang lebih kukuh dan berwibawa untuk menangani tatakelaku polis dan mengukuhkan kepercayaan orang ramai.

Mereka juga menegaskan keperluan sebuah badan pemantau luar yang benar-benar bebas dan berkuasa, selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Reformasi mesti merangkumi sistem pemantauan dan pelaporan yang lebih kuat, ketelusan lebih tinggi dalam proses pengendalian aduan, serta kemahuan politik yang berterusan untuk melaksanakan perubahan budaya dan prosedur.

“Reformasi sebegini menjadi asas untuk mengukuhkan kepercayaan awam, menambah baik pemantauan dan memastikan akauntabiliti merentasi agensi penguatkuasaan,” kata Suruhanjaya itu dalam maklum balas ringkas kepada Malaysiakini.

Sementara itu, beberapa aktivis dan organisasi hak asasi manusia pula berpendapat IPCMC sahaja tidak mencukupi untuk menyiasat kes tembakan ini kerana dakwaan terhadap pegawai polis yang terlibat jauh lebih serius daripada salah laku biasa.

Pengerusi Edict (Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together), M Visvanathan berkata kes ini menunjukkan keperluan mendesak untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut.

“Saya berpandangan polis tidak boleh menyiasat diri sendiri, ia mengarut. Sama ada Bukit Aman atau Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (yang menyiasat dakwaan terhadap polis), ia langsung tidak masuk akal,” katanya.

Visvanathan menjelaskan bahawa idea asal IPCMC ialah untuk menyiasat salah laku pegawai, bukannya dakwaan seumpama jenayah.

Dalam kes Durian Tunggal, katanya, dakwaan terhadap pegawai yang terlibat tidak boleh diklasifikasikan sebagai ‘salah laku’ kerana itu akan “meremehkan” kesalahan jenayah, terutama apabila wujud rakaman audio dan transkrip yang menunjukkan dialog sebelum tembakan didakwa berlaku.

“Ia lebih daripada sekadar salah laku. Jadi mencadangkan IPCMC menyiasat kes ini adalah tidak tepat.

“Mesti ada jawatankuasa bebas, misalnya sebuah Suruhanjaya Diraja baharu jika perlu, untuk meneliti kelakuan polis secara keseluruhan atau menilai semula syor Suruhanjaya Diraja 2005.

“Untuk kes ini, kebimbangan utama ialah pendakwaan jenayah. Jadi pasukan petugas khas oleh polis yang benar-benar bebas dan menimbulkan keyakinan mesti mempunyai ahli-ahli yang dinamakan secara terbuka, seperti kes 1MDB,” katanya sambil menambah bahawa adalah baik jika seorang pendakwa raya kanan mengetuai pasukan itu.

Jika pasukan petugas khas ditubuhkan dan terdapat bukti mencukupi untuk pendakwaan jenayah, katanya, tanggungjawab kemudian beralih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pasukan itu mesti terlibat secara langsung dari awal untuk meyakinkan orang ramai bahawa pihak berkuasa benar-benar mahu “mendapatkan pelaku sebenar”.

“Itu salah satu caranya… Jika bukti atau keterangan tidak mencukupi untuk pendakwaan selepas siasatan, dan keluarga mangsa yakin pihak berkuasa terlibat, mereka boleh ke mahkamah koroner seperti diperuntukkan Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.

“Ada kalanya bukti tidak cukup untuk membawa pendakwaan, tetapi jika keluarga tetap yakin sesuatu telah berlaku, mereka harus melibatkan mahkamah. Itu pilihan kedua.

“Akhirnya, AGC boleh membuat keputusan untuk mendakwa berdasarkan bukti yang dikumpulkan, sama ada melalui pasukan petugas khas atau semasa inkues,” katanya.

Sementara itu, Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), Sashi Kumar berkata kes ini menguatkan lagi keperluan mendesak untuk sebuah suruhanjaya pemantau yang benar-benar bebas, berkuasa dan telus, yang boleh menyiasat salah laku polis tanpa campur tangan serta memastikan akauntabiliti sebenar.

“Tidak boleh mengharapkan polis menyiasat salah laku yang dilakukan oleh pegawai mereka sendiri.

“Kami di GHRF telah banyak kali mengalami kelemahan sistemik ini, apabila laporan salah laku atau penyalahgunaan sering terhenti begitu sahaja, dengan satu-satunya jawapan ialah ‘polis masih menjalankan siasatan’.

“Siasatan yang berlarutan atau terbantut menunjukkan bahawa mekanisme sedia ada tidak mempunyai ketelusan, kebebasan dan akauntabiliti,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk reformasi sebenar, katanya, negara memerlukan badan pemantau yang benar-benar bebas, mempunyai kuasa penyiasatan, dan tidak dipengaruhi hierarki polis.

Hanya badan sebegitu dapat memulihkan kepercayaan awam, memastikan akauntabiliti tulen dan menangani isu-isu berpanjangan yang telah dibangkitkan oleh mangsa serta masyarakat sivil selama bertahun-tahun.

Nada yang sama turut disuarakan oleh peguam hak asasi manusia, Charles Hector, yang menegaskan polis tidak boleh menjatuhkan hukuman walaupun mereka 100 peratus yakin akan kesalahan seseorang.

“Dalam kebanyakan kes tembak mati sebelum ini, polis bercakap tentang ‘rekod jenayah’. Tetapi rekod jenayah apa? Mahkamah hanya mengiktiraf rekod sabitan lampau oleh mahkamah.

“Tidak ada justifikasi untuk polis menghukum sesiapa terlebih dahulu, apatah lagi membunuh mereka, sedangkan terdapat langkah undang-undang yang boleh diambil pendakwa raya jika dakwaan rekod jenayah itu benar,” katanya, sambil menambah tugas polis hanyalah menangkap.

Katanya lagi, apabila ada dakwaan polis menembak seseorang hingga mati, ia mesti disiasat sebagai pembunuhan.

“Jika bukan pembunuhan, mahkamah akan meminda pertuduhan. Atau jika ia jenayah, ia tidak boleh ditangani sebagai salah laku.

“Kebanyakan tindakan polis yang dirujuk kepada IPCMC sebenarnya adalah jenayah, bukan salah laku kecil; sama ada rasuah, kematian dalam tahanan, tembakan polis, kegagalan menyiasat, atau pemusnahan bukti.

“Tiada siapa peduli tentang salah laku kecil seperti lewat hadir,” katanya.

Dia menambah, istilah salah laku dalam IPCMC tidak seharusnya ditafsir secara sempit hanya sebagai salah laku disiplin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS