Kekurangan penglihatan tidak menjadi penghalang buat Nur Hazirah Rusli, 24, untuk menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penuh cemerlang.
Graduan Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian itu membuktikan usaha dan keyakinan mampu membawa dirinya berdiri megah di pentas Konvokesyen UPM ke-49, malah muncul antara graduan paling mencuri perhatian dalam kalangan lebih 1,000 pelajar.
Hazirah berkata perjalanan sebagai pelajar OKU bukan mudah, namun sokongan luar biasa daripada pensyarah dan rakan-rakan menjadi tunjang kekuatannya sepanjang pengajian.
Malah menurutnya, para pensyarahnya juga memberikan perhatian yang lebih kepadanya supaya dia tidak ketinggalan dalam mata pelajaran.
Justeru dia memanjatkan rasa syukur kerana rakan-rakan dan pensyarah memahami keperluannya sebagai pelajar OKU.
“Walaupun saya OKU penglihatan, Alhamdulillah saya belajar sama seperti orang lain. Saya duduk dalam kelas bersama rakan sebaya, mengikuti kuliah dengan bantuan mereka dan pensyarah yang sangat cakna dengan keperluan saya,” katanya kepada Malaysiakini.
Tidak nampak bahan visual, bergantung pada teknologi
Hazirah mengakui tugasan di dalam kelas, khususnya yang melibatkan bahan visual, merupakan cabaran terbesar.
“Saya tak mampu melihat slide yang dipaparkan, jadi saya rujuk peranti sendiri,” jelasnya.
Menurut Hazirah, apabila pensyarah memuat naik bahan ke PutraBLAST iaitu portal yang digunakan oleh pelajar UPM untuk mengulangkaji pelajaran, dia akan membacanya daripada dekat menggunakan laptop atau telefon.
Katanya, rakan-rakan juga banyak membantu dalam subjek linguistik yang melibatkan simbol dan bentuk.
“Kalau pensyarah lukis simbol di papan putih, saya memang tak nampak. Rakan akan ambil gambar atau jelaskan kepada saya.
“Ada juga kawan yang pegang jari saya dan lukis bentuk simbol supaya saya dapat bayangkan,” katanya.
Bagi memudahkan pembelajaran, Hazirah menggunakan peranti biasa iaitu telefon pintar dan komputer riba dengan fungsi aksesibiliti seperti pembaca skrin (screen reader) untuk membaca teks dan Format Dokumen Mudah Alih (PDF).
Hazirah juga berkata dia menggunakan pembaca skrin untuk tugasan akademik kerana ia lebih tepat dan menjimatkan masa..
“Teruskan semangat dan jangan mudah putus asa. Fokus pada matlamat utama. Insha-Allah kita mampu tamatkan apa yang kita mulakan,” katanya yang menamatkan pengajian dengan CGPA 3.42.
Perasaan bangga seorang ibu
Ibunya, Noor Azizah Zakaria, 63, suri rumah, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak melihat anak bongsu daripada lima beradik itu menerima ijazah.
“Saya bangga kerana walaupun cacat penglihatan, dia berjaya seperti orang normal.
“Dalam lebih seribu graduan dalam sesi itu, dia seorang sahaja yang tak nampak,” katanya kepada Malaysiakini.
Azizah yang hadir bersama suami menyasikan detik Hazirah menerima sekalung ijazah mengimbau pesanan doktor ketika anaknya itu masih kecil:
“Doktor kata jangan ‘simpan’ dia dalam rumah. Biar dia belajar macam orang lain. Dari situ saya kuatkan hati saya,” ujarnya.
Hazirah kini menyimpan cita-cita untuk menjadi editor bahan Braille bagi membantu komuniti OKU penglihatan mendapatkan akses pembelajaran yang lebih berkualiti.
Menurutnya, sektor bahan bacaan Braille di Malaysia masih memerlukan lebih ramai tenaga mahir untuk memastikan ketepatan dan kesesuaian bahasa bagi pembaca OKU penglihatan.
Bagi Hazirah, akses kepada ilmu tidak seharusnya terbatas pada mereka yang mampu melihat.
“Kalau saya boleh menyumbang walaupun sedikit, saya mahu bantu lebih ramai pelajar dan individu buta merasai nikmat membaca,” katanya.
