Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, menolak dakwaan Anggota Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin bahawa penahanannya mempunyai campur tangan politik.
Malah, Mahfuz menyifatkan tuduhan itu sebagai naratif lama yang tidak lagi laku.
“Kes sudah didakwa di mahkamah, tapi masih tuduh kerajaan? Ini bukan hujah, ini sindrom penafian politik,” katanya.
Mahfuz berkata, bila pertuduhan sudah dibacakan di, ia menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pendakwa raya bertindak mengikut bukti.
“Kerajaan tidak campur tangan. Mereka yang masih menjerit politikal selepas kes masuk mahkamah sebenarnya cuba mencipta alasan untuk lari daripada realiti.
“Kalau ikut logik seperti ini, sampai saman trafik pun nanti kena salahkan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahfuz berkata demikian mengulas dakwaan Azman yang menyifatkan kes yang dikenakan terhadapnya mempunyai "unsur campur tangan politik" kerana tindakannya menegur kerajaan.
Dalam sidang media selepas prosiding di mahkamah semalam, pemimpin Bersatu itu menyifatkan pertuduhan terhadapnya dibuat tergesa-gesa.
Menurutnya, dia dimaklumkan seorang lagi individu yang dituduh, ahli perniagaan Amar Assuat Abu turut hairan kerana pada mulanya menjangka pertuduhan hanya pada Jan atau Feb tahun depan.
Terdahulu, Azman didakwa bersubahat dengan Amar untuk menerima rasuah bernilai RM400,000 dalam projek ladang ternakan lembu.
Menurut kertas pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan mengarahkan syarikat Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) untuk mengeluarkan surat tawaran kepada ahli perniagaan, Mohd Hassanaim Fauzi, yang membayar rasuah tersebut.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 23 Jun 2020, ketika Azman menjadi exco pertanian Kedah.
‘Anwar mangsa sebenar’
Sementara itu, Mahfuz turut menegaskan bahawa dakwaan pembangkang hari ini tidak selari dengan rekod negara, sambil merujuk dua tokoh nasional sebagai mangsa sebenar campur tangan politik pada masa lalu.
“Dalam krisis kehakiman 1988, kerajaan ketika itu menekan dan mencampuri institusi kehakiman sehingga Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan beberapa hakim kanan dipecat melalui tribunal yang penuh kontroversi.

“Itu campur tangan sebenar. Itu penyalahgunaan kuasa yang nyata.
“Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini turut menjadi mangsa era gelap tersebut.
“Beliau pernah merasai sendiri bagaimana penyiasatan, pendakwaan dan mahkamah boleh disalahguna untuk menghancurkan musuh politik.
“Itulah campur tangan sebenar. Itulah kezaliman yang terbukti dalam sejarah,” katanya.
Tegas Mahfuz, SPRM, Jabatan Peguam Negara dan mahkamah kini berfungsi secara bebas, namun pembangkang terus mengulang dakwaan bermotifkan politik sekali gus disifatkan sebagai cubaan menghina intelektual rakyat.
Dalam kenyataan yang sama, Mahfuz berkata imej Perikatan Nasional (PN) terjejas bukan kerana tindakan kerajaan, tetapi kerana isu yang melibatkan pemimpin parti itu sendiri.
“Kalau mahu bersihkan imej, mulakan di dalam parti. Jangan salahkan kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa pemimpin pembangkang supaya berhenti memainkan peranan sebagai mangsa dan membuktikan ketidakbersalahan di mahkamah.
“Jika benar tidak bersalah, buktikan di mahkamah. Jangan sembunyi di sebalik persepsi,” katanya.
